Tunggakan JPJ RM314 juta: Zetrix AI masih runding jumlah sebenar

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 9:35 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tunggakan JPJ RM314 juta: Zetrix AI masih runding jumlah sebenar Image from: Tunggakan JPJ RM314 juta: Zetrix AI masih runding jumlah sebenar hamden07/10/2026 - 09:35 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt - Jumlah sebenar tunggakan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) masih dalam proses dimuktamadkan antara kedua-dua pihak, menurut Zetrix AI Bhd dalam maklum balasnya terhadap pertanyaan Bursa Malaysia mengenai tunggakan tersebut.

 

Selain tunggakan, Bursa Malaysia turut mengemukakan pertanyaan mengenai penggantungan Zetrix dan anak syarikatnya, MyEG Sdn Bhd, sebagai ejen kutipan JPJ.

 

Berhubung pertanyaan Bursa mengenai sebab penggantungan dan keadaan yang membawa kepada tindakan tersebut, Zetrix memberikan jawapan yang sama, iaitu penggantungan itu berpunca daripada kelewatan dalam membuat bayaran kepada JPJ dan syarikat sedang dalam proses memuktamadkan jumlah tertunggak dengan JPJ.

 

Mengenai langkah yang diambil bagi menangani isu itu, kumpulan tersebut mengulangi bahawa pihaknya telah mengemukakan cadangan pembayaran untuk melangsaikan tunggakan berkenaan, manakala jumlah akhir dan terma penyelesaian masih tertakluk kepada perbincangan lanjut serta persetujuan rasmi dengan pihak berkuasa.

 

Mengenai tempoh penggantungan, Zetrix berkata ia akan kekal berkuat kuasa sehingga perbincangan dengan JPJ, Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa kerajaan berkaitan selesai.

 

"Syarikat menjangkakan penggantungan sementara itu akan ditarik balik selepas persetujuan bersama dan penerimaan terhadap rangka kerja penyelesaian yang dicadangkan syarikat kepada pihak berkuasa berkaitan," katanya.

 

"Syarikat sedang berunding secara aktif dengan JPJ, Kementerian Pengangkutan Malaysia dan pihak berkuasa kerajaan berkaitan bagi memuktamadkan perkara tertunggak serta rangka kerja penyelesaian yang dicadangkan secepat mungkin, dengan tujuan meminimumkan gangguan operasi. Syarikat akan membuat pengumuman lanjut selepas garis masa atau penyelesaian rasmi disahkan," tambah Zetrix.

 

Dari segi kesan terhadap operasi, kumpulan itu berkata penggantungan tersebut akan menyebabkan kehilangan sementara sumbangan hasil dan keuntungan daripada perkhidmatan JPJ pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 (4QFY2026), namun tidak memberikan sebarang anggaran.

 

Perkhidmatan yang terjejas termasuk pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu, permohonan Lesen Memandu Belajar, semakan dan bayaran saman, pertukaran hak milik kenderaan serta Ujian Teori Memandu Berkomputer Malaysia.

 

Pada Isnin, Loke mendedahkan bahawa Zetrix berhutang RM314 juta kepada JPJ selepas gagal membuat bayaran hasil kutipan — yang diwajibkan dibuat setiap hari, dalam tempoh satu hari bekerja selepas setiap transaksi — bagi tempoh Mei hingga September tahun ini.

 

Beliau berkata perkara itu menyebabkan kementerian dan JPJ mengadakan empat sesi perbincangan dengan syarikat berkenaan serta mengeluarkan 35 peringatan supaya tunggakan tersebut dijelaskan, namun tidak berhasil. 

 

Kerajaan kemudian menggantung Zetrix dan anak syarikatnya, MyEG Sdn Bhd, sebagai ejen kutipan JPJ.

 

Loke turut berkata Zetrix telah mengeluarkan cek bernilai RM231 juta kepada kerajaan pada September bagi melangsaikan tunggakan tersebut, namun bank tidak memproses cek itu selepas syarikat mengarahkan bank menghentikan pembayaran apabila cek tersebut dikreditkan pada 30 September.

 

Kerajaan akan terus menuntut tunggakan tersebut dan boleh mempertimbangkan tindakan sivil, manakala perkhidmatan JPJ oleh Zetrix tidak akan dipulihkan sehingga jumlah tertunggak diselesaikan, kata Loke. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved