
BALING – “Kami ramai-ramai tunggu dia, ingatkan lambat datang kerja, rupa-rupanya kawan kami itu sudah tiada akibat terlibat kemalangan jalan raya pada petang semalam.”
Demikian kata Siti Khadijah Abd. Rahman, 40, rakan sekerja kepada anggota Jabatan Sukarelawan (Rela), Rohani Hamid, 55, yang maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Simpang Batu 42, di sini kira-kira pukul 6.09 petang semalam.
Menurutnya, Rohani sepatutnya masuk bertugas pada pukul 6 petang di kolam memancing di Kampung Dalam Wang, di sini, namun kelibatnya tidak kelihatan sehingga mereka mula tertanya-tanya.
“Selalunya jika lewat dia akan hantar pesanan melalui WhatsApp, tetapi tak ada pun. Kami cuba hubunginya tetapi tiada jawapan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Baling, di sini hari ini.
Katanya, mereka kemudian memaklumkan kepada pegawai mengenai ketidakhadiran Rohani sebelum terus menunggu, namun tidak lama kemudian menerima perkhabaran mengenai kemalangan yang menimpa rakan mereka itu menerusi kumpulan WhatsApp.
“Kami sangkakan Rohani mengalami kecederaan ringan sahaja, namun sangkaan kami meleset apabila rakan yang kami tunggu itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah,” ujarnya.
Ujarnya, mereka hampir seminggu tidak berjumpa sebelum dijadualkan bertugas bersama semalam dan dia turut membawa bekal untuk makan bersama Rohani.
“Hampir seminggu kami tak jumpa dan semalam giliran kami bertugas bersama, saya bawa bekal nasi untuk kami makan bersama Rohani dan rakan-rakan yang lain, rupa-rupa tidak kesampaian,” katanya.
Menurut Siti Khadijah, arwah juga menunjukkan perubahan sejak beberapa hari lalu apabila lebih banyak mendiamkan diri berbanding sebelum ini yang gemar bersembang dan mesra dengan rakan sekerja.
Kosmo! semalam melaporkan anggota Rela, Rohani maut selepas motosikal yang dia tunggang bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Simpang Batu 42, Kampung Charok Kelian kira-kira pukul 6.09 petang. – KOSMO! ONLINE
The post Tunggu Rohani masuk kerja, rupanya sudah ‘tiada’ appeared first on Kosmo Digital.


