Tuntutan 40 peratus hak Sabah perlu diselesai sebelum PRU-Mustapha

LocalPolitics
7 Jun 2026 • 5:43 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Tuntutan 40 peratus hak Sabah perlu diselesai sebelum PRU-Mustapha
Mustapha dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan (PH) Sabah di Kota Kinabalu pada Ahad.

KOTA KINABALU - Penyelesaian tuntutan 40 peratus hak Sabah diharap dapat dimuktamadkan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) berikutan implikasi yang boleh timbul sekiranya isu itu terus berlarutan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, beliau akan berusaha sebaik mungkin bagi memastikan perkara itu dapat diselesaikan dalam tempoh berkenaan.

"Kalau boleh, sebelum PRU lah, sebab kita tahu ini banyak implikasinya. Komitmen Perdana Menteri yang telah meningkatkan RM900 juta lagi (daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion) itu satu peningkatan yang baik.

"Cuma kita faham rakyat Sabah masih menuntut agar 40 peratus ini dilaksanakan mengikut Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Majlis Pimpinan Negeri Pakatan Harapan (PH) Sabah di sini pada Ahad.

Menurutnya, rakyat Sabah masih menaruh harapan agar pembayaran penuh 40 peratus yang termaktub dalam Perlembagaan dapat direalisasikan.

"Namun, kita juga membawa aspirasi daripada rakyat Sabah keseluruhannya bahawa kita masih menekankan pembayaran penuh 40 peratus itu mesti dilaksanakan.

"Saya sendiri sebagai menteri yang bertanggungjawab diminta oleh rakan-rakan pimpinan supaya memastikan pelaksanaannya dapat disegerakan. Saya akan terus mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat, terutama Kementerian Kewangan, untuk bagaimana mempercepatkan pelaksanaan pembayaran 40 peratus ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap pemberian khas interim sebanyak RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dapat disalurkan mengikut garis masa yang ditetapkan.

"Kalau disebut oleh Perdana Menteri semasa Pesta Kaamatan tempoh hari, masanya adalah antara Jun dan Disember tahun ini. Maksudnya dalam masa itulah.

"Saya akan pantau perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk memastikan bayaran mengikut garis masa yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata, pemberian khas interim itu wajar dimanfaatkan untuk menangani isu-isu asas yang masih dihadapi rakyat Sabah.

"Secara amnya, buat masa ini kita menyambut dan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri atas RM1.5 bilion sebagai interim.

"Kita harap peruntukan ini akan digunakan secara khusus untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan infrastruktur asas yang kita sedang alami di negeri ini, terutama masalah air, bekalan elektrik dan juga jalan raya yang masih tidak memenuhi aspirasi rakyat Sabah," katanya.