Tuntutan cukai tambahan ke atas TNB tidak dipindahkan kepada pengguna melalui tarif - MOF

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Tuntutan cukai tambahan ke atas TNB tidak dipindahkan kepada pengguna melalui tarif - MOF Image from: Tuntutan cukai tambahan ke atas TNB tidak dipindahkan kepada pengguna melalui tarif - MOF johardy08/10/2026 - 09:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Okt - Tuntutan cukai tambahan terhadap Tenaga Nasional Bhd (TNB) tidak menyebabkan kos tersebut dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan tarif elektrik, menurut Kementerian Kewangan (MOF).

 

Kementerian itu memaklumkan tarif elektrik di Semenanjung ditentukan melalui kerangka Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) dan tertakluk kepada penelitian serta kelulusan kerajaan.

 

“Liabiliti cukai korporat TNB bukan merupakan kos yang secara automatik boleh dipindahkan kepada pengguna melalui tarif elektrik,” menurut MOF.

 

Kementerian itu menyatakan demikian melalui jawapan bertulis kepada pertanyaan lisan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai implikasi tuntutan cukai tambahan terhadap dividen pemegang saham dan tarif elektrik.

 

Menurut MOF, tuntutan tersebut juga tidak menjejaskan keupayaan TNB untuk terus membuat pembayaran dividen, yang mengambil kira prestasi kewangan, kedudukan tunai dan dasar dividen syarikat.

 

“Kerajaan akan terus memastikan kepentingan pengguna dilindungi melalui mekanisme kawal selia tarif sedia ada, tanpa menjejaskan keupayaan TNB untuk menyediakan bekalan elektrik yang selamat dan berdaya harap,” katanya.

 

Pertikaian kelayakan elaun cukai

Pertikaian antara TNB dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melibatkan kelayakan syarikat utiliti itu menuntut elaun pelaburan semula bagi perbelanjaan modal untuk mengembangkan dan memodenkan perniagaannya. Penolakan tuntutan tersebut membawa kepada taksiran cukai tambahan bagi beberapa tahun taksiran. 

 

Bagi tahun taksiran 2018, TNB menerima notis taksiran cukai tambahan berjumlah RM1.81 bilion, yang kemudian dikurangkan kepada RM1.25 bilion selepas LHDN mengetepikan penalti. 

 

Pada 2 Julai 2025, Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan LHDN dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan yang sebelum itu memihak kepada TNB. Mahkamah memutuskan insentif yang terpakai kepada TNB ialah elaun pelaburan di bawah Jadual 7B Akta Cukai Pendapatan 1967, bukannya elaun pelaburan semula di bawah Jadual 7A. 

 

Menurut laporan kewangan TNB bagi suku kedua 2025, syarikat itu telah menjelaskan cukai tambahan RM1.25 bilion bagi tahun taksiran 2018 pada 29 Julai 2025.

 

Secara berasingan, LHDN turut mengeluarkan notis taksiran tambahan sebanyak RM685.82 juta bagi tahun taksiran 2020 dan RM705.24 juta bagi 2021, berjumlah kira-kira RM1.39 bilion. 

 

Pada September 2025, TNB menarik balik permohonan semakan kehakiman terhadap kedua-dua notis itu dan memaklumkan bahawa ia telah mengemukakan permohonan insentif di bawah Jadual 7B susulan keputusan Mahkamah Persekutuan. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved