Turkiye kini mengikuti trend global dalam mengetatkan kawalan umur demi keselamatan dalam talian generasi muda. Negara itu mencontohi Australia yang sejak Disember 2025 menetapkan umur minimum 16 tahun bagi akaun media sosial. Hasil pelaksanaan undang-undang tersebut, lebih 4.7 juta akaun bawah umur berjaya ditutup hanya dalam tempoh sebulan selepas ia berkuat kuasa.

Kini Türkiye mengambil langkah lebih ketat dengan melarang akses media sosial untuk individu berumur bawah 15 tahun bermula 1 November 2026. Langkah ini digariskan bagi melindungi mereka daripada kandungan berbahaya, mengurangkan risiko buli siber serta mengekang ketagihan media sosial. Peraturan yang diterbitkan dalam Resmi Gazete pada 10 Oktober mewajibkan setiap platform mengesahkan umur pengguna melalui sistem e-Government (e-Devlet). Semua akaun bawah umur akan ditutup menjelang 31 Mac 2027 sekali gus menegaskan komitmen Türkiye terhadap keselamatan digital generasi muda.

Sementara itu, bagi remaja berusia 15 hingga 17 tahun yang masih dibenarkan menggunakan media sosial, mereka akan tertakluk kepada perlindungan tambahan di bawah peraturan baharu ini. Akaun mereka akan dikunci secara automatik sebagai private, senarai pengikut dan akaun diikuti tidak lagi boleh diakses umum dan mereka dilarang membuat siaran langsung atau menerima iklan diperibadikan. Selain itu, mesej langsung (direct message) hanya boleh diterima daripada akaun yang mereka ikuti.
Pendekatan ini memperlihatkan kesungguhan Türkiye menutup ruang penyalahgunaan ruang maya, sekali gus mengurangkan pendedahan awal terhadap bahaya siber yang semakin meruncing di era media sosial.
Sumber: Türkiye Today

![[VIDEO] ‘Selamba bawa kereta seperti tiada apa yang berlaku’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-12-at-1.13.18-PM-1024x766.jpeg)



