Turkiye Nafi Setuju Terima 10,000 Perlarian Rohingya

LocalPolitics
22 Nov 2026 • 8:18 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Turkiye Nafi Setuju Terima 10,000 Perlarian Rohingya

KUALA LUMPUR -  Turkiye menafikan dakwaan bahawa negara itu bersetuju menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.

Penafian tersebut sekali gus bercanggah dengan kenyataan dibuat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa persetujuan berkenaan telah dicapai antara kedua-dua negara.

Dalam kenyataan menerusi platform X malam tadi, Pusat Memerangi Maklumat Palsu, Direktorat Komunikasi Turkiye (DMM), menyifatkan laporan mengenai cadangan pemindahan pelarian berkenaan yang tersebar dalam media antarabangsa dan media sosial sebagai tidak berasas.

“Dakwaan bahawa 10,000 pelarian Rohingya akan dipindahkan ke Turkiye adalah tidak benar. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mempercayai maklumat palsu,” menurut kenyataan itu.

Penafian berkenaan menimbulkan persoalan mengenai status sebenar perbincangan antara Kuala Lumpur dan Ankara, lebih-lebih lagi selepas hantaran Zahid berhubung perkara itu dipadam daripada akaun media sosialnya tidak lama selepas diterbitkan.

Pada 20 November lalu, Zahid memaklumkan bahawa Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan pemindahan 10,000 pelarian Rohingya ke Turkiye menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang dijadual berlangsung selama tiga hingga enam bulan.

Menurut beliau, inisiatif itu susulan lawatan kerja rasmi beliau ke Turkiye baru-baru ini, dengan latihan berkenaan bertujuan memberikan kemahiran kepada peserta berdasarkan keperluan sektor perindustrian negara berkenaan.

Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pelarian turut menyatakan bahawa Turkiye bersetuju menerima pelarian terbabit.

Bagaimanapun, hantaran berkenaan dipadam kira-kira sejam selepas diterbitkan tanpa sebarang penjelasan, sekali gus mencetuskan desakan supaya kerajaan memperincikan sama ada Ankara benar-benar memberikan persetujuan rasmi terhadap cadangan itu.

Setiausaha Akhbar Zahid, Shuhaimi Mohamed, kemudian menjelaskan bahawa usaha melaksanakan inisiatif berkenaan masih diteruskan, namun memerlukan penelitian lanjut serta penyelarasan dengan pihak berkaitan.

“Kenyataan terdahulu dikeluarkan kerana kita sememangnya sedang mengusahakan inisiatif ini yang akhirnya bertujuan menjaga kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan kekal komited terhadap cadangan berkenaan dan akan mengeluarkan kenyataan lanjut selepas semua proses yang diperlukan selesai.

Percanggahan kenyataan antara kedua-dua pihak mengundang perhatian terhadap kedudukan sebenar cadangan berkenaan, termasuk sama ada wujud perjanjian rasmi, pihak yang akan menanggung kos pelaksanaan program serta bentuk perlindungan undang-undang yang bakal diberikan kepada pelarian terbabit.

Pakar migrasi, Mahi Ramakrishnan, berkata kerajaan perlu memberikan penjelasan menyeluruh berhubung perkara tersebut, khususnya kepada komuniti Rohingya yang mungkin terkesan dengan cadangan berkenaan.

“Kerajaan Malaysia bertanggungjawab memberikan penjelasan lengkap kepada masyarakat umum dan lebih penting lagi, kepada pelarian Rohingya yang terlibat,” katanya.

Mahi turut menggesa Putrajaya mendedahkan terma sebarang perjanjian yang dimeterai, selain memperjelaskan status undang-undang pelarian berkenaan serta jaminan perlindungan yang bakal mereka nikmati sekiranya ditempatkan di Turkiye.

“Sekiranya pengumuman itu dibuat terlalu awal, kerajaan perlu menjelaskannya. Jika perjanjian sudah dimeterai, terma perjanjian itu perlu didedahkan berserta perincian mengenai langkah perlindungan yang disediakan,” katanya. - Getaran, 22 November 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved