
Seramai 10,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia bakal ditempatkan di Türkiye menerusi program latihan kemahiran berstruktur sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan menangani isu pelarian di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan tersebut susulan hasil lawatan kerja rasminya ke Türkiye baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing (JKKPA) berkata, inisiatif berkenaan merupakan pendekatan strategik kerajaan dalam menangani keberadaan pelarian Rohingya secara lebih tersusun, berkesan dan berperikemanusiaan.
Persetujuan Türkiye
Menurutnya, persetujuan kerajaan Türkiye untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya itu merupakan perkembangan positif dalam usaha Malaysia mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu berkenaan.
“Persetujuan Kerajaan Türkiye untuk menerima 10,000 pelarian Rohingya ini merupakan satu perkembangan yang amat positif dalam usaha Kerajaan Malaysia mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ahmad Zahid menjelaskan, pelarian yang terlibat akan mengikuti program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan, dengan bidang kemahiran diselaraskan mengikut keperluan pelbagai sektor industri di Türkiye.
Peluang kemahiran praktikal
Katanya, pendekatan itu bukan sekadar memindahkan pelarian ke negara ketiga, sebaliknya memberi peluang kepada mereka memperoleh kemahiran praktikal dan meningkatkan kebolehpasaran untuk menyertai pasaran pekerjaan di negara penerima.
Bagaimanapun, peluang pekerjaan tersebut tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa di Türkiye.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya dilihat daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira aspek kemanusiaan.
Ahmad Zahid berkata, inisiatif tersebut juga selari dengan pendekatan penyelesaian jangka panjang oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya menerusi penempatan semula di negara ketiga.
The post 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia bakal ditempatkan di Türkiye – Zahid appeared first on The Reporter.






