Pada acara CES 2026 yang sedang berlangsung di Las Vegas, pihak Dolby mengumumkan Hisense, TCL dan Philips akan menjadi pengeluar televisyen terawal menawarkan sokongan untuk format HDR terbaru Dolby Vision 2. Format Dolby Vision 2 adalah penambahbaikan kepada Dolby Vision dan akan bersaing secara langsung dengan HDR10+ Advanced.
Hisense akan menjadi yang pertama menawarkan TV Dolby Vision 2 menerusi TV RGB mini-LED keluaran tahun 2026 mereka. Model-model yang terlibat termasuklah siri UX, UR9, dan UR8. Bagi model mini-LED yang lebih mampu milik, sokongan tersebut dijangka akan hadir melalui kemas kini perisian di masa hadapan.

TCL pula menyokongnya pada siri TV X QD-mini LED dan siri C keluaran 2026 menerusi kemas kini yang akan diberikan kelak. Sementara itu Philips pula akan menyertakan sokongan ini secara terus pada rangkaian TV OLED 2026 mereka, iaitu model OLED811, OLED911, dan OLED951.
Dolby Vision 2 membawakan ciri Precision Black untuk isu imej pada skrin kelihatan terlalu gelap. Melalui teknologi ini, imej akan nampak lebih jelas dan ketara dalam apa jua keadaan persekitaran tontonan.
Seterusnya ialah Light Sense memperhalusi kualiti gambar secara pintar. Ia menggunakan pengesanan cahaya persekitaran untuk mengoptimumkan tetapan televisyen anda secara automatik.
Akhir sekali, Sports and Gaming Optimization membawakan penambahbaikan baharu khusus untuk kandungan sukan dan permainan video yang direka khas untuk memenuhi keperluan aksi pantas dalam siaran sukan langsung serta gaming.
Kerana format ini masih lagi baharu Peacock akan menawarkan kandungan dalam format Dolby Vision 2 dan Dolby AC-4 menjelang penghujung tahun ini dengan platform lain belum lagi menyuarakan komitmen.




