TV secara tradisinya statik di atas meja atau digantung pada permukaan dinding di rumah. Tetapi jika anda seorang yang eksentrik dan mahukan TV yang boleh dibawa kemana-mana sahaja, hari ini Samsung The Movingstyle LSM7F telah dilancarkan di Malaysia dengan ia adalah sebuah TV mudah alih yang juga mempunyai tangkai pemegang yang boleh dilaras.

Ini ialah model kemas kini kepada Samsung Moving Style Edge yang dilancarkan tahun lalu. Samsung The Movingstyle LSM7F hadir dengan skrin 27″ LED QHD serta sokongan sentuhan. TV ini hadir dengan tangkai pemegang yang juga direka untuk mudah dialihkan serta ketinggian boleh dilaras.

Terdapat pemegang terbina di belakang The Movingstyle dengan ia juga berfungsi sebagai tongkat apabila ia diletakkan di atas permukaan meja. Dalam mod ditanggalkan daripada tangkai, pek bateri terbina membolehkan TV berfungsi sehingga 3 jam sebelum perlu dicas.

Sistem operasi Tizen OS digunakan maka TV boleh menjalankan pelbagai perisian lazim seperti YouTube, Netflix, Disney+, Prime dan banyak lagi sama seperti TV Samsung lain di pasaran. Di Malaysia Samsung The Movingstyle LSM7F dijual pada harga RM 4999 untuk set lengkap TV dan tangkai pemegang.




