TVET Mara sasar lebih ramai graduan bergaji premium

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 3:04 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: TVET Mara sasar lebih ramai graduan bergaji premium

PETALING JAYA – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan terus mempergiat kerjasama strategik dengan pelbagai syarikat bagi memastikan lebih ramai graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Mara memperoleh pekerjaan bergaji premium melebihi RM3,000 sebulan.

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, dalam perkembangan terkini beberapa syarikat ternama sudah menyatakan kesediaan mengambil graduan-graduan TVET Mara.

“Antaranya Samsung SDI Energy Malaysia memerlukan kira-kira 700 tenaga kerja mahir bagi menyokong operasi dan pengembangan syarikat.

“Bagi memenuhi keperluan tersebut, Mara melalui rangkaian TVET Mara dan GiatMara telah membangunkan kerjasama strategik bagi membekalkan bakat Bumiputera yang memenuhi standard industri,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Asyraf Wajdi berkata, sehingga kini, seramai 200 graduan berjaya disalurkan kepada Samsung melalui Program ‘Fast Track & Direct Industry Intake’ (Program Laluan Pantas dan Pengambilan Terus Industri).

“Peserta dipilih daripada graduan TVET Mara dan GiatMara di seluruh negara berdasarkan kompetensi teknikal serta keperluan khusus yang ditetapkan oleh Samsung dalam bidang elektrik, elektronik, mekanikal, pembuatan dan mekatronik,”

Mengulas lanjut, beliau berkata melalui program ini, peserta akan memulakan kerjaya sebagai juruteknik junior sepanjang tempoh latihan industri selama enam bulan dengan gaji melebihi RM2,800 sebulan.

Katanya, setelah berjaya memenuhi penilaian prestasi syarikat, pelajar akan diserap sebagai juruteknik sepenuh masa bagi tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dengan gaji permulaan melebihi RM3,500 sebulan.

“Dalam masa yang sama, bagi menyokong pertumbuhan pesat industri Data Centre di Malaysia, Mara menjalinkan kerjasama strategik dengan DayOne Data Centre bagi membangunkan tenaga kerja mahir dalam sektor yang menjadi pemacu ekonomi digital negara.

“Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dalam bidang elektrik, mekanikal, chargeman, HVAC (Heating, Ventilation and Air Conditioning) serta penyelenggaraan bangunan, yang merupakan kompetensi kritikal dalam operasi pusat data bertaraf antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata menerusi program ini, seramai 70 orang pelajar TVET Mara akan menjalani latihan industri secara intensif sebelum diserap terus ke dalam syarikat sebagai juruteknik dan jurutera, dengan gaji permulaan sekitar RM4,500 sebulan.- KOSMO! ONLINE

The post TVET Mara sasar lebih ramai graduan bergaji premium appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved