
SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) berhasrat menawarkan rumah mampu milik pada harga bawah RM110,000 menerusi pembangunan sedia ada di Malaysia Vision Valley (MVV).
Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tawaran itu merupakan antara komitmen dalam manifesto BN bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang memiliki rumah pertama.
“Dulu kita pernah buat RM80,000, tetapi dengan kos bahan binaan sekarang, kalau dapat dijual di bawah RM110,000, pemaju tidak rugi, orang masih mampu beli, bank boleh biaya. Tangga gaji RM3,500 ke bawah sudah layak beli.
“Rumah pula mengandung tiga bilik dan dua bilik air dengan keluasan sekurang-kurangnya 1,000 kaki persegi,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan, di sini, hari ini.
Baru-baru ini, BN melancarkan manifestonya yang berpaksikan sembilan teras utama dan 88 inisiatif sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, dengan mengetengahkan naratif strategik untuk meneruskan agenda pembangunan negeri yang tergendala sejak 2018.
Bertemakan ‘Hebatkan Semula Negeri Sembilan: Kestabilan Dibina, Negeri Dijaga, Rakyat Dibela, Kemakmuran Dicipta’, manifesto itu turut menyasarkan pelaburan berjumlah RM30 bilion dalam tempoh lima tahun.
Selain itu, BN turut berjanji membina 25,000 unit rumah mampu milik serta mewujudkan sebuah syarikat utama di setiap daerah sekiranya diberi mandat mentadbir semula Negeri Sembilan. – UTUSAN
The post BN tawar rumah mampu milik bawah RM110,000 appeared first on Utusan Malaysia.






