TWL Avenue dapat pembiayaan RM67.64 juta bina projek Rumah Selangorku di Kapar

29/05/2025 - 17:18
Gambar/TWL Holdings Bhd Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 29 Mei - Anak syarikat TWL Holdings Bhd, TWL Avenue (Kapar) Sdn Bhd, menerima kemudahan pembiayaan berjumlah RM67.64 juta daripada Alliance Bank Malaysia Bhd bagi membangunkan projek perumahan mampu milik di Kapar, Selangor.
Menurut syarikat, pembiayaan tersebut termasuk pinjaman jangka masa pendek dan panjang dengan tempoh bayaran balik antara tiga hingga 15 tahun.
"Dana ini akan digunakan untuk membeli semula tanah, membiayai kos pembinaan, serta menampung bayaran awal bagi projek Rumah Selangorku Kapar yang melibatkan 153 unit rumah," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
TWL menjelaskan, sejumlah RM20 juta pinjaman berkenaan akan digunakan untuk menebus dua lot tanah, RM6 juta bagi sebahagian kos pembinaan dan RM5 juta untuk kerja awal seperti pembersihan tapak dan pembinaan galeri pameran.
Sementara itu, pinjaman jangka pendek berjumlah RM30 juta akan digunakan untuk menampung 17% daripada kos pembinaan.
Pinjaman berkenaan dijamin oleh syarikat induk TWL Holdings, Pengerusi Eksekutif Datuk Tan Wei Lian, serta tanah projek dan hasil sewaan dari sebuah pasar raya besar.
TWL berkata, pembiayaan tersebut tidak akan menjejaskan jumlah saham atau keuntungan sesaham syarikat, tetapi akan meningkatkan nisbah hutang kepada 0.29 kali berbanding 0.16 kali jika semua pinjaman digunakan. - DagangNews.com
standard



