U Mobile hari ini telah memperlihatkan kemampuan mereka dalam membangunkan infrastruktur rangkaian 5G tersendiri melalui pengumuman hari ini, dimana mereka telah memperkenalkan Ultra5G, iaitu pengalaman rangkaian Internet 5G yang pantas khusus untuk para pelanggan U Mobile yang kini ditawarkan di dalam pusat membeli-belah Berjaya Times Square.

U Moible menggunakan pusat membeli-belah Berjaya Times Square untuk memperlihatkan kemampuan U Mobile untuk membangunkan rangkaian 5G yang sangat pantas untuk kegunaan para pelanggan mereka tidak kira dimana mereka berada di dalam bangunan tersebut, samada di kawasan membeli-belah, lif, tandas ataupun zon-zon meletakkan kenderaan di bawah tanah.

Ultra5G ini dikuasakan oleh teknologi rangkaian pintar bertaraf perusahaandan mampu memenuhi keperluan masa depan digital Malaysia yang semakin berkembang. Bagi menyerlahkan keupayaan rangkaian pengalaman Ultra5G, U Mobile telah mempersembahkan beberapa demonstrasi, termasuk penstriman langsung 4K yang pertama di Malaysia bagi roller coaster sepanjang 800 meter di Taman Tema Berjaya Times Square, iaitu roller coaster dalaman terpanjang di Asia Pasifik dengan pelbagai putaran terbalik yang berlangsung kira-kira dua minit setengah setiap sesi.

Demonstrasi ini memperlihatkan keupayaan rangkaian 5G U Mobile apabila menstrim kandungan pada kelajuan yang pantas, dan juga dari tingkat-ke-tingkat tanpa penstriman tersebut terpotong. Ia memperlihatkan bahawa tidak kira dimana anda berada, atau berapa laju anda bergerak, rangkaian 5G dalam-bangunan U Mobile bukan sahaja pantas, tetapi stabil dan mempunyai jarak sambungan yang menjanjikan sambungan tidak terputus-putus tidak kira dimana anda berada.

“U Mobile dengan bangganya melancarkan Ultra5G, nama baharu kami bagi pengalaman 5G yang dikuasakan oleh rangkaian generasi baharu kami. Sebagai penyedia rangkaian 5G terbaharu negara, U Mobile memfokuskan untuk memacu transformasi digital bagi pengguna dan juga perniagaan. ULTRA5G menawarkan pengalaman digital yang dipertingkat, daripada penstriman ultra mantap dan permainan video imersif sehinggalah kepada panggilan video berkualiti tinggi di kawasan sesak. Bagi sektor perusahaan, ULTRA5G membuka peluang kepada penggunaan aplikasi maju seperti XR, robotik, bandar pintar dan automasi IR 4.0. Dengan pelaksanaan yang mendahului jadual, U Mobile turut menggandakan usaha liputan dalaman bagi memastikan pengalaman 5G yang paling terluas dan menyeluruh di Malaysia,” kata Woon Ooi Yuen, Ketua Pegawai Teknologi U Mobile.

Pihak U Mobile mengatakan bahawa pengalaman Ultra5G ini kini boleh dinikmati oleh semua pelanggan rangkaian 5G U Mobile, tidak kira mereka menggunakan pelan pra- ataupun pasca-bayar. Pengalaman Ultra5G ini dijangka akan diperkenalkan di lebih banyak lagi kawasan tertutup strategik seperti lapangan terbang, hospital, pusat konvensyen, serta kawasan dalam dan luar bangunan berimpak tinggi di seluruh negara.

Buat masa ini, U Mobile mengatakan bahawa pengalaman Ultra5G ini boleh dinikmati di pusat membeli-belah Berjaya Times Square dan di sepanjang Jambatan Pulau Pinang, yang telah dipasang dengan rangkaian radio 5G SA (5G Stand Alone). U Mobile juga mempunyai pelan untuk meningkatkan capaian rangkaian 5G kedua mereka ke 80 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara menjelang penghujung 2026.




