UAE Memperkenalkan Subjek AI Kepada Pelajar Tadika

TechnologyDigital
5 May 2025 • 9:10 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Bukan rahsia Emiriah Arab Bersatu (UAE) ingin menjadi antara hab kecerdasan buatan (AI) dunia dengan berbilion telah dibelanjakan bagi memastikan impian ini dapat dicapai. Oleh itu untuk memastikan UAE juga dapat menghasilkan tenaga pakar tempatan, subjek AI akan diperkenalkan kepada pelajar tadika hingga gred 12 (setaraf tingkatan 5) bermula tahun depan.

image is not available

Dalam kenyataan yang diterbitkan di X, Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum mengatakan langkah diambil bagi menyediakan generasi seterusnya untuk dunia yang berbeza dengan keadaan semasa. Antara matlamat pengenalan subjek AI sejak dari awal persekolahan adalah untuk mengajar anak-anak pemahaman mendalam tentang AI dari perspektif teknikal, di samping memupuk kesedaran mereka tentang etika teknologi baharu ini, meningkatkan pemahaman mereka tentang data, algoritma, aplikasi, risiko dan hubungannya dengan masyarakat serta kehidupan.

UAE kini di landasan sama dengan Malaysia dan China yang juga memperkenalkan subjek AI di sekolah. China akan memulakannya tahun ini dengan mewajibkan 8 jam mata pelajaran AI dalam tahun akademik 2025. Malaysia pula akan memperkenalkannya bermula 2027 di dalam model Fasih Digital yang merupakan salah satu daripada tujuh kepakaran yang perlu dikuasai pelajar sekolah.

Minggu lalu CEO NVIDIA Jensen Huang menyeru kerajaan Amerika Syarikat untuk melakukan pelaburan membangunkan tenaga kerja AI kerana sekitar 50% penyelidik bidang AI pada ketika ini berasal dari China.