UCL: Fabregas anggap impian jadi kenyataan

Football
21 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: UCL: Fabregas anggap impian jadi kenyataan

COMO – Pengendali Como, Cesc Fabregas menyifatkan peluang menerima kunjungan Manchester United dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) sebagai satu impian yang menjadi kenyataan, sekali gus mencerminkan kebangkitan luar biasa kelab itu dalam tempoh tiga tahun.

Bekas bintang Arsenal itu berkata, pertemuan menentang gergasi England tersebut sukar dibayangkan ketika Como masih bersaing dalam Serie B, namun kini mereka bakal beraksi di pentas yang jauh lebih besar di Stadium Sinigaglia, awal pagi Khamis.

“Mereka pasukan yang hebat. Hanya tiga tahun lalu, ketika kami berada di Serie B, adalah sesuatu yang sukar dibayangkan Manchester United akan datang ke Sinigaglia. Namun, itulah yang bakal berlaku pada Rabu. Bagi kami, ini impian yang menjadi kenyataan dan kami akan merebut peluang yang ada,” katanya.

Kebangkitan Como cukup luar biasa apabila kelab berusia 119 tahun itu tidak pernah beraksi dalam mana-mana pertandingan Eropah sebelum ini, malah pernah berdepan dua episod kebankrapan dalam tempoh dua dekad lalu sebelum kembali bersaing dalam Serie A.

Bagaimanapun, Fabregas menegaskan pasukannya tidak boleh terlalu dibuai keterujaan beraksi menentang kelab ternama kerana saingan Serie A kekal menjadi keutamaan utama Como musim ini.

“Persiapan menghadapi perlawanan sehebat ini memang sesuatu yang luar biasa, tetapi kami tidak boleh melupakan bahawa Serie A adalah perkara paling penting buat kami. Setiap hari merupakan langkah penting dalam perkembangan pasukan,” ujarnya.

Como memulakan kempen UCL dengan kemenangan 4-1 ke atas Leipzig di laman sendiri sebelum tewas tipis 2-3 kepada Feyenoord minggu lalu dengan Fabregas mengakui penyertaan dalam pertandingan itu hadir lebih awal daripada perancangan asal mereka. – AGENSI

The post UCL: Fabregas anggap impian jadi kenyataan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved