
MADRID – Selepas 13 tahun meninggalkan Real Madrid, Jose Mourinho kembali ke Santiago Bernabeu dengan satu ‘hutang’ yang masih belum terbayar, iaitu menghadiahkan trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) kepada gergasi Sepanyol itu.
Lebih menarik, pengendali kelahiran Portugal itu akan membuka kempen Eropah bersama Real Madrid dengan menentang bekas kelabnya, Inter Milan pada aksi di Santiago Bernabeu, awal pagi esok.
Mourinho, yang kini memulakan tugas untuk kali kedua bersama Real, sedar legasinya di kelab itu turut diukur berdasarkan trofi, dengan cabaran utama musim ini adalah memastikan Los Blancos kembali menguasai pentas Eropah.
Dalam tempoh pertamanya bersama Real Madrid, Mourinho berjaya memecahkan dominasi Barcelona kendalian Pep Guardiola dalam saingan domestik apabila membantu kelab itu menjuarai La Liga, namun gagal menghadiahkan trofi UCL.
“Saya gembira kerja saya memberi sedikit impak positif kepada beberapa jurulatih selepas itu. Saya tidak mahu mengambil kredit kerana kejuaraan itu milik Carlo Ancelotti, Zinedine Zidane, pemain dan penyokong,” katanya.
Mourinho meninggalkan Real Madrid pada 2013 selepas tiga musim di kelab itu tanpa berjaya membawa pulang trofi Liga Juara-Juara, sekali gus menyaksikan misi memburu gelaran Eropah ke-10 kelab berkenaan diserahkan kepada penggantinya.
Trofi yang diburu itu akhirnya hadir menerusi Ancelotti pada 2014 sebelum Zidane mengukuhkan dominasi Real Madrid dengan tiga kejuaraan berturut-turut antara 2016 hingga 2018.
Secara keseluruhan, Real Madrid kini memiliki 15 kejuaraan UCL dan Mourinho berdepan tugas besar untuk membuktikan bahawa dia masih mampu membawa kelab itu kembali berada dalam kelompok elit Eropah.
“Menamatkan musim tanpa trofi di Real Madrid bukanlah musim yang berjaya,” kata Mourinho, yang kini turut berdepan cabaran untuk menghalang Paris Saint-Germain (PSG) daripada mempertahankan kejuaraan Eropah buat kali ketiga berturut-turut. – AGENSI
The post UCL: Mourinho tekad bayar ‘hutang’ appeared first on Kosmo Digital.



