UEM Sunrise, EXSIM KLCC bekerjasama laksana pembangunan hartanah premium di KLCC

3 Jul 2026 • 5:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UEM Sunrise, EXSIM KLCC bekerjasama laksana pembangunan hartanah premium di KLCC Image from: UEM Sunrise, EXSIM KLCC bekerjasama laksana pembangunan hartanah premium di KLCC hamden03/07/2026 - 17:39 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Julai - UEM Sunrise Berhad memeterai Perjanjian Hak Pembangunan (DRA) dengan EXSIM KLCC Sdn. Bhd. bagi membangunkan Lot 149, tanah pegangan bebas seluas 1.6 ekar yang terletak di persimpangan Jalan Ampang dan Jalan P. Ramlee, berhampiran Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

 

Menerusi perjanjian itu, UEM Sunrise akan memberikan hak kepada EXSIM KLCC untuk melaksanakan dan menyiapkan pembangunan di tapak berkenaan, sekali gus menggabungkan aset tanah strategiknya dengan kepakaran pemaju yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam pembangunan hartanah premium di kawasan KLCC.

 

Sebagai balasan, UEM Sunrise akan menerima hak terjamin sebanyak RM415 juta, selain berpeluang menikmati pulangan tambahan menerusi mekanisme perkongsian keuntungan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

 

 

 

 

Syarikat berkata, struktur perjanjian tersebut membolehkan UEM Sunrise mengambil bahagian dalam kejayaan komersial projek berkenaan, di samping menyelaraskan kepentingan jangka panjang kedua-dua pihak.

 

Menurutnya, DRA itu dipilih selepas syarikat menjalankan penilaian menyeluruh terhadap pelbagai pilihan pembangunan serta proses usaha wajar yang ketat bagi memastikan struktur komersial terbaik dari segi penciptaan nilai, pengurusan risiko dan pulangan kepada pemegang saham.

 

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Shaharul Farez Hassan berkata, kerjasama strategik tersebut mencerminkan pendekatan syarikat yang berdisiplin dalam mengurus portfolio aset dan peruntukan modal.

 

"Kerjasama strategik ini membolehkan kami merealisasikan potensi penuh aset strategik sambil terus mengambil bahagian dalam kejayaan pembangunan tersebut.

 

"Pada masa sama, kami dapat memanfaatkan kepakaran EXSIM KLCC yang mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan hartanah premium di kawasan KLCC, sekali gus mempercepatkan pembangunan tapak ini tanpa menjejaskan tumpuan kami terhadap projek-projek utama lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tumpuan Koridor Pertumbuhan Strategik

Beliau berkata, langkah itu turut membolehkan UEM Sunrise memberi tumpuan kepada saluran pembangunan sedia ada di koridor pertumbuhan strategik syarikat, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju hartanah yang memberi penekanan kepada penciptaan nilai mampan untuk jangka panjang.

 

Menurut Farez, Kuala Lumpur dan Lembah Klang kekal menjadi pasaran penting bagi syarikat dengan projek pembangunan sedang dijalankan di Mont'Kiara, Kiara Bay dan Cheras.

 

Selain itu, UEM Sunrise turut memperluaskan kehadirannya di Petaling Jaya menerusi pembangunan di tapak bekas kilang Dutch Lady serta projek baharu di Kelana Jaya.

 

Di selatan tanah air pula, syarikat terus memacu pertumbuhan di Iskandar Puteri sebagai pemilik tanah terbesar dan pemaju induk bagi bandar bersepadu Gerbang Nusajaya dan Puteri Harbour.

 

UEM Sunrise turut meneruskan pembangunan Gerbang Nusajaya Industrial Park bagi memanfaatkan peluang ekonomi yang bakal diwujudkan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

 

 

 

Syarikat berkata, keutamaan akan terus diberikan kepada pelaksanaan projek secara berdisiplin, pengurusan portfolio yang sistematik serta pembangunan yang memenuhi perubahan keperluan pasaran.

 

Menurutnya, penyelarasan projek dengan koridor ekonomi utama dan peluang pertumbuhan serantau dijangka terus mengukuhkan kedudukan pasaran UEM Sunrise, selain menyokong pertumbuhan ekonomi mampan negara dalam jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved