Propel Global lancar projek Riverpoint GDV RM64 juta di Kuantan

22 Jun 2026 • 6:18 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Propel Global lancar projek Riverpoint GDV RM64 juta di Kuantan Image from: Propel Global lancar projek Riverpoint GDV RM64 juta di Kuantan hamden22/06/2026 - 18:18 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 22 Jun - Propel Global Berhad memperluaskan sayap perniagaan ke sektor pembangunan hartanah menerusi pelancaran projek Riverpoint di Kuantan, Pahang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM64 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, projek berkenaan dibangunkan oleh anak syarikat milik penuh kumpulan, Propel Global Development Sdn Bhd, sekali gus menandakan kemasukan pertama syarikat itu ke segmen pembangunan hartanah komersial.

 

Majlis pecah tanah projek Riverpoint diadakan hari ini sebagai simbol permulaan pembangunan projek yang terletak di Jalan Tanah Putih, Kuantan.

 

Riverpoint merupakan antara pembangunan lot kedai komersial tepi sungai premium terawal di Kuantan, dengan penawaran terhad sebanyak 31 unit sahaja berstatus pegangan bebas.

 

Setiap unit direka dengan keluasan binaan bermula kira-kira 4,202 kaki persegi, menampilkan konsep ruang hadapan luas, tingkap pameran besar serta susun atur fleksibel bagi kegunaan runcit, restoran dan pejabat.

 

Menurut kumpulan, projek tersebut disasarkan kepada usahawan, pelabur, pengusaha makanan dan minuman (F&B), peruncit serta penyewa korporat yang mencari lokasi komersial berprofil tinggi di kawasan strategik.

 

Lokasi Riverpoint yang terletak berhampiran laluan utama dan ikon “Welcome to Kuantan” menawarkan akses trafik tinggi serta sambungan baik ke pusat bandar Kuantan melalui Jalan Gambang.

 

Kedudukan Kuantan dalam koridor pembangunan Pantai Timur, disokong oleh projek infrastruktur seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta peranan Pelabuhan Kuantan, dijangka meningkatkan daya tarikan projek tersebut dari segi pelaburan dan aktiviti komersial.

 

Mencipta Nilai Melalui Pembangunan Strategik

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Propel Global, Angeline Lee, berkata projek Riverpoint merupakan langkah penting dalam strategi kepelbagaian perniagaan kumpulan di luar sektor minyak dan gas serta kejuruteraan.

 

“Riverpoint mencerminkan keyakinan kami terhadap potensi pertumbuhan jangka panjang Kuantan serta keupayaan kumpulan untuk mencipta nilai melalui pembangunan yang strategik,” katanya.

 

Beliau berkata, kumpulan akan memanfaatkan kepakaran dalam bidang kejuruteraan, pembinaan dan pengurusan projek bagi memastikan pelaksanaan pembangunan berjalan lancar serta berpotensi menjadi mercu tanda komersial baharu di bandar itu.

 

Selepas siap, Riverpoint dijangka menjadi pembangunan komersial ikonik yang menggabungkan elemen lokasi strategik, reka bentuk moden dan nilai pelaburan menarik, sekali gus menyokong pertumbuhan jangka panjang serta penciptaan nilai kepada pemegang saham. - DagangNews.com

Terkini standard