UEM Sunrise lancarkan galeri jualan projek One Oval bernilai RM1.35 bilion di Perth

31/07/2025 - 18:00
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 31 Julai – UEM Sunrise Bhd mengorak langkah strategik ke pasaran Australia Barat dengan pelancaran galeri jualan bagi projek pembangunan bercampur sulungnya, One Oval yang terletak di Subiaco, Perth.
Projek berimpak tinggi itu mempunyai Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak A$450 juta (sekitar RM1.35 bilion) yang akan memperkukuhkan kedudukan UEM Sunrise sebagai pemaju hartanah global.
One Oval merangkumi dua blok kediaman dan ruang komersial seluas 340 meter persegi, dibina di atas dua lot tanah strategik.
Lot 1 menempatkan 245 unit kediaman termasuk 16 unit rumah bandar, manakala Lot 2 merangkumi 97 unit termasuk 41 unit perumahan mampu milik.
Unit kediaman pasaran terbuka yang ditawarkan berkeluasan antara 77 meter persegi hingga 273 meter persegi, dengan harga jualan bermula daripada A$640,000.
Pembinaan dijangka bermula pada tahun 2026 dengan Lot 2 dijadual siap pada suku pertama 2029, manakala Lot 1 pada tahun berikutnya.
Pegawai Bertanggungjawab merangkap Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman berkata, projek itu bakal mewujudkan persekitaran hidup yang inklusif dan dinamik, selari dengan visi pembangunan semula kawasan Subiaco East.
“Inilah projek pertama kami di negeri Australia Barat dan kami teruja dengan potensi yang ditawarkan kawasan ini.
“Kami juga seiring dengan aspirasi DevelopmentWA dalam melakukan transformasi landskap Subiaco menjadi kawasan kediaman masa depan yang lebih mampan dan berdaya huni,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Datuk Bandar Subiaco, David McMullen berkata, projek One Oval akan menjadi pelengkap kepada kemudahan sedia ada di bandar tersebut dan diyakini bakal diterima baik oleh komuniti tempatan.
Projek ini merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Rejuvenasi Subiaco East yang diterajui DevelopmentWA, agensi pembangunan utama kerajaan Australia Barat, melibatkan pemulihan semula kawasan seluas 35 hektar di sekitar bekas tapak Stadium Subiaco Oval yang dirobohkan pada tahun 2019. - DagangNews.com
standard



