UEM Sunrise tawar ganjaran sehingga RM350,000 menerusi kempen pemilikan kediaman baharu
zulfadli
16/06/2023 - 14:49
KUALA LUMPUR 16 Jun - UEM Sunrise Bhd melancarkan kempen baharu yang dikenali sebagai ‘Happy Hunt’, bertujuan untuk menyediakan lebih banyak peluang kepada orang ramai memperoleh dan memenangi hadiah menarik bagi melengkapi proses pemilikan rumah mereka.
Happy Hunt merupakan kempen pemasaran bersepadu yang mana bakal pembeli berpeluang memperoleh ganjaran wang tunai dan hadiah-hadiah menarik bernilai sehingga RM350,000.
Para pembeli berpeluang mendapat ganjaran wang tunai sehingga RM150,000 dan hadiah berbentuk peralatan rumah apabila mereka membeli hartanah UEM Sunrise mulai sekarang sehingga 31 Disember 2023.
Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha pihaknya untuk memperkasa jenama ‘Menuju Bahagia’ dan melengkapi pengalaman pembelian kediaman para pelanggan dengan insentif menarik.
"Di dalam pencarian kediaman idaman dan di sepanjang proses pemilikan rumah mereka, pelanggan kami juga boleh memenangi pelbagai hadiah percuma dan ganjaran yang menarik hanya dengan menyertai kuiz dalam talian dan juga ketika melawat galeri jualan kami.
"Ini menambah elemen keseronokan dalam pengalaman mereka, sinonim dengan salah satu nilai jenama kami yang gemarkan keseronokan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, para pembeli boleh memilih hartanah daripada senarai projek yang mengambil bahagian dalam kempen ini.

Ia terdiri daripada pelancaran baharu dan projek yang sedang dalam pembinaan termasuk The MINH, Allevia, KAIA Heights, Serene Square, dan The Connaught One di Wilayah Tengah dan dari Wilayah Selatan seperti Senadi Hills Fasa 2A, Aspira Gardens Fasa 2, dan Aspira Square, serta banyak lagi projek yang akan datang.
Di samping itu, para pembeli juga berpeluang memenangi hadiah tambahan termasuk baucar beli-belah serta alatan elektronik pada setiap hujung bulan apabila melawat mana-mana Pameran Hartanah Happy Hunt, jerayawara atau galeri jualan UEM Sunrise untuk mendapat maklumat projek serta melawat unit pameran.

Berlangsung dari 20 hingga 25 Jun 2023 di ruang kreatif UEM Sunrise, Publika Shopping Gallery, Aras G2, Pameran Hartanah Happy Hunt bukan sahaja bakal mempromosi projek-projek UEM Sunrise, tetapi juga berfungsi sebagai ekspo kediaman.
Orang ramai boleh menggambarkan rumah idaman mereka dengan mudah, bersama perabot daripada IKEA serta peralatan kelengkapan rumah yang bakal dipamerkan oleh Electrolux dan Panasonic, sebagai jenama rakan kerjasama di dalam ‘Vendor Partnership Programme’ UEM Sunrise.

Selain itu, seramai 10 pembeli rumah pertama yang membeli hartanah UEM Sunrise di Pameran Hartanah ‘Happy Hunt’ akan menerima perundingan Reka Bentuk Dalaman percuma daripada IKEA bernilai RM1,000. - DagangNews.com


