
Kota Kinabalu: Seorang wanita warga China berusia 38 tahun didenda RM3,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret pada Khamis kerana menawarkan diri bagi tujuan pelacuran.
Lin Xiangfei mengaku bersalah di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali atas pertuduhan melakukan kesalahan itu di sebuah pusat urut di Tanjung Aru kira-kira jam 7.20 malam pada 6 Ogos lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu pihak pendakwaan bahawa polis yang menjalankan Ops Noda di premis berkenaan menemui Lin bersama seorang pelanggan lelaki di dalam sebuah bilik dengan kedua-duanya tidak berpakaian dan sedang melakukan aktiviti pelacuran.
Hasil pemeriksaan mendapati Lin memiliki permit kerja sebagai ahli refleksologi di premis lain dan bukannya di pusat urut tempat dia ditahan.
Pihak pendakwaan berkata tertuduh telah melanggar syarat permit kerjanya selain terbabit dalam aktiviti pelacuran.
Peguam Alex Lee yang mewakili Lin memohon agar mahkamah mengenakan denda lebih rendah dengan alasan anak guamnya merupakan ibu tunggal kepada dua anak berusia 12 dan 10 tahun yang kini dijaga oleh ibunya yang sudah lanjut usia di China.
Menurutnya Lin tiba di Sabah kira-kira dua bulan lalu untuk bekerja sebagai tukang urut menyesali perbuatannya dan mahu pulang ke China untuk bersama keluarganya.
Lee berkata anak guamnya juga telah membeli tiket penerbangan pulang pada 15 Ogos.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan Muhammad Munir Khan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang bersifat pencegahan.
Dalam kes berasingan seorang lelaki berusia 43 tahun dihukum penjara tiga bulan kerana memiliki jam tangan curi jenama Tissot milik abangnya.
Md Hazris Md Yussop mengaku bersalah memiliki jam tangan perak Tissot Sea Star milik Md Aslam Md Yussop di hadapan sebuah restoran di Taman Jumbo, Putatan, kira-kira jam 7.30 malam pada 29 Julai lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa pengadu mendapati jam tangan Tissot miliknya yang disimpan di atas meja di ruang tamu rumahnya di Taman Ceriamas, Putatan hilang pada 28 Julai.
Pengadu mengesyaki jam tangan itu dicuri oleh adiknya Hazris sebelum membuat laporan polis.
Jam tangan berkenaan dianggarkan bernilai RM4,000.
Polis menahan Hazris pada keesokan harinya di Taman Jumbo, Putatan dan menemui semula jam tangan tersebut dalam milikannya.
Pengadu kemudian mengenal pasti jam tangan itu sebagai miliknya.





