UIS, Media Selangor jalin kerjasama, perkasa bakat muda dalam industri

16 Nov 2026 • 8:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

UIS, Media Selangor jalin kerjasama, perkasa bakat muda dalam industri

KAJANG, 16 NOV: Universiti Islam Selangor (UIS) dan Media Selangor memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan bakat muda dalam bidang komunikasi serta membuka lebih banyak peluang latihan industri kepada mahasiswa.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UIS Dr Abdul Razif Zaini berkata kerjasama menerusi Fakulti Sains Sosial (FSS) itu menjadi penghubung antara pembelajaran di universiti dengan keperluan sebenar industri media.

“Dengan adanya kerjasama ini, banyak peluang boleh diteroka, khususnya dalam menyediakan pendedahan kepada pelajar bidang komunikasi menerusi Media Selangor, selain peluang latihan industri, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoU berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerjasama itu membuka ruang kepada pelajar tahun akhir dan graduan FSS untuk mendapatkan pendedahan secara langsung dalam persekitaran kerja media, memandangkan pengalaman industri sukar diperoleh sekiranya pembelajaran hanya tertumpu di universiti.

Image from: UIS, Media Selangor jalin kerjasama, perkasa bakat muda dalam industri
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Dr Abdul Razif Zaini bercakap kepada Media Selangor selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Fakuliti Sains Sosial Universiti Islam Selangor (UIS) dengan Media Selangor di Dewan Majlis Senat UIS, Hulu Langat pada 16 November 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Katanya, peluang menjalani latihan industri membolehkan mahasiswa memahami suasana serta tuntutan kerja sebenar, sekali gus membantu mereka membuat persediaan lebih baik sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Dr Abdul Razif berkata, pemeteraian MoU itu turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak melaksanakan pelbagai program bersama termasuk inisiatif pembangunan pelajar dan tanggungjawab sosial korporat.

Beliau berharap kerjasama itu dapat memperkukuh hubungan antara UIS dengan Media Selangor, selain membantu graduan universiti berkenaan memperoleh peluang serta menyesuaikan diri dengan keperluan industri.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved