Uji adrenalin di atas puncak 300 meter, ini 5 aktiviti menarik kasi tapau di Menara Kuala Lumpur

LocalTravel
4 Sep 2024 • 8:00 AM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

image is not available

BANGUNAN ikonik yang menjadi mercu tanda ibu kota, Menara Kuala Lumpur sudah terbukti antara persinggahan destinasi pelancongan popular negara sejak dibuka kepada umum pada 23 Julai 1996.

Lebih membanggakan, menara telekomunikasi ketujuh tertinggi di dunia yang dirasmikan oleh mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1Oktober 1996 itu menjadi asas kemampuan negara dalam pembinaan kemudahan berteknologi tinggi.

Untuk rekod, binaan bersejarah berkenaan turut menerima pelbagai pengiktirafan termasuk Anugerah Kualiti SIRIM 2017, Anugerah Piawaian Pelancongan Lestari ASEAN 2017 dan Anugerah World Federation of Great Towers dalam kategori Anugerah Digital 2019.

image is not available

Menara Kuala Lumpur juga menerima Anugerah Jenama Terbaik BrandLaureate (2021/2022) dan Pencahayaan Menara Terbaik sempena Anugerah Khas Datuk Bandar Kuala Lumpur 2023.

Berkongsi keistimewaan bangunan setinggi 421 meter itu, Ketua Pegawai Eksekutif Menara KL, Nazli Saad berkata, pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan dalam tempoh sehari jika berkunjung ke Menara Kuala Lumpur.

Antara tarikan 'laku keras' yang menjadi pilihan ramai ialah Sky Deck, Sky Box, Observation Deck dan Tower Walk 100.

image is not available

Sky Deck tak perlu diperkenalkan lagi kerana ia pelantar terbuka yang menjadi port wajib singgah para pengunjung lokal dan antarabangsa. Pada ketinggian 300 meter dari paras tanah, orang ramai boleh menghayati panorama indah 360 darjah bandaraya Kuala Lumpur.

image is not available

“Lagi satu, uji keberanian kalian dengan berada di dalam Sky Box, kotak kaca pada ketinggian 300 meter dan rakamlah sebanyak mungkin momen tak dilupakan tersebut. Jangan risau, terdapat dua Sky Box dengan latar belakang bangunan Merdeka 118 dan Menara Kembar Petronas,“ katanya.

Nazli juga mengajak orang ramai khususnya anak muda untuk mengatasi rasa gayat dengan meniti pelantar Tower Walk 100 pada ketinggian 30 meter.

image is not available

“Percayalah, keunikan pelantar terbuka tersebut mampu melonjakkan adrenalin kalian. Jangan bimbang, ia dilengkapi dengan sistem keselamatan harness dan dipandu jurulatih bertauliah.

“Banyak lagi tarikan yang kami tawarkan seperti Observation Deck, ARAS Restaurant, TEMU Banquet Hall, panggung mini, panggung terbuka, gerai cenderahati dan kafe,“ ujarnya.

image is not available

Terbaharu, Menara Kuala Lumpur menawarkan Tower Shoppe yang menyajikan pelbagai jenis coklat dan manisan sebagai buah tangan buat pengunjung.

“Selain pengalaman yang tak akan dilupakan, kami juga menawarkan pelbagai koleksi cenderamata eksklusif yang boleh dibawa pulang oleh para pengunjung sebagai tanda kenangan melawat ke Menara Kuala Lumpur,“ beritahu Nazli.

image is not available

Sebagai halwa mata yang cukup mengasyikkan, Menara Kuala Lumpur juga menjadi tumpuan umum untuk acara Tower Lighting dengan sinaran lampu LED warna-warni pada seluruh bangunan itu.

image is not available