
PETALING JAYA: Pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan minggu depan ditangguhkan susulan situasi jerebu yang melanda negara.
Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, keputusan itu diambil susulan kebimbangan ibu bapa dan penjaga terhadap kesihatan anak-anak khususnya mereka yang perlu hadir ke sekolah untuk menduduki UASA.
“Memandangkan UASA merupakan pentaksiran kendalian sekolah, pihak sekolah diberikan ruang untuk menyusun semula jadual pelaksanaannya.
“Jadual baharu akan dimaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga,” katanya hari ini.
KPM berkata, pihaknya memahami dilema yang dihadapi ibu bapa susulan perkembangan terkini keadaan jerebu di seluruh negara.
“Mereka mahu melindungi kesihatan anak-anak tetapi pada masa yang sama bimbang sekiranya ketidakhadiran ke sekolah menyebabkan anak-anak terlepas pentaksiran.
“KPM akan terus mengutamakan kesihatan dan keselamatan murid, di samping memastikan pentaksiran mereka dapat dilaksanakan dengan teratur,” katanya. – UTUSAN
The post Ujian Akhir Sesi Akademik appeared first on Utusan Malaysia.





