
PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan supaya pelaksanaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) yang dijadualkan pada minggu hadapan ditangguhkan susulan situasi jerebu yang masih melanda negara.
KPM dalam kenyataannya memaklumkan, keputusan ini mengambil kira kebimbangan ibu bapa dan penjaga terhadap kesihatan anak-anak, khususnya mereka yang perlu hadir ke sekolah untuk menduduki UASA.
“Memandangkan UASA merupakan pentaksiran kendalian sekolah, pihak sekolah diberikan ruang untuk menyusun semula jadual pelaksanaannya. Jadual baharu akan dimaklumkan kepada ibu bapa dan penjaga.
“KPM memahami dilema dihadapi ibu bapa. Mereka mahu melindungi kesihatan anak-anak, tetapi pada masa sama bimbang sekiranya ketidakhadiran ke sekolah menyebabkan anak-anak terlepas pentaksiran,” menurut KPM hari ini.
Sehubungan itu, KPM akan terus mengutamakan kesihatan dan keselamatan murid, di samping memastikan pentaksiran mereka dapat dilaksanakan dengan teratur.
UASA adalah pentaksiran yang dilaksanakan di sekolah-sekolah bawah KPM untuk menilai tahap penguasaan dan pencapaian akademik murid pada akhir sesi persekolahan.
Ia melibatkan murid sekolah rendah tahap dua iaitu tahun empat, lima dan enam serta pelajar menengah rendah iaitu tingkatan satu, dua dan tiga di sekolah menengah. – KOSMO! ONLINE
The post Jerebu: KPM tangguh pelaksanaan UASA appeared first on Kosmo Online.






