Ujian Awal Pra-pengaktifan File Explorer Tidak Membuahkan Hasil Memberangsangkan

Technology
1 Dec 2025 • 2:05 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada minggu lepas, kami telah melaporkan bahawa Microsoft mungkin akan memperkenalkan sebuah fungsi baru dimana aplikasi File Explorer akan diaktifkan secara lalai untuk mempercepatkan proses pembukaan dan penatalan aplikasi tersebut.

Beberapa ujian awal telah dilakukan untuk memperlihatkan keberkesanan proses ini, dan ia didapati bahawa fungsi tersebut dilihat tidak memberi begitu banyak impak positif kepada pengguna. Ia didapati bahawa pra-pengaktifan File Explorer dilihat memakan lebih banyak memori, tetapi manfaat yang diperlihatkan tidak begitu berbaloi apabila dibandingkan apabila ia tidak diaktifkan secara lalai.

image is not available

Ujian oleh Windows Latest mendapati bahawa pengaktifan File Explorer secara lalai memakan sebanyak 67MB memori berbanding dengan 35MB memori sekiranya diaktifkan secara biasa, tetapi dari segi akses kepada pintasan, ikon, kandungan dan sebagainya, tidak banyak perbezaan yang dapat diperlihatkan diantara kedua-dua cara pengaktifan perisian tersebut.

Malah, pihak Windows Latest mengatakan bahawa perbezaan kelajuan hanya dapat diperlihatkan apabila rakaman video diantara kedua-dua variasi File Explorer diperlahankan ke kelajuan 0.25x. Secara ringkasnya, untuk pengguna biasa, perbezaan ini sukar untuk dijelaskan.

Lebih mengecewakan lagi ialah kelajuan dari segi tatalan menu dan mengakses kandungan tidak jauh berbeza juga, memperlihatkan bahawa “cara baru” untuk mempercepatkan akses dan penggunaan File Explorer tidak begitu berbaloi buat masa sekarang.