
SEPANG – Kegembiraan bertukar duka apabila seorang calon ujian memandu motosikal maut selepas dipercayai hilang kawalan ketika menjalani ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sebuah institut latihan di Salak Tinggi, di sini.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh kakaknya menerusi akaun Threads, @melamyyy.b, memaklumkan adik bongsunya menghembuskan nafas terakhir secara mengejut ketika sedang menduduki ujian tersebut.
Menurutnya, arwah tidak mempunyai sebarang penyakit dan berada dalam keadaan sihat sebelum kejadian.
“Assalamualaikum, buat yang mengenali adik bongsu saya yang baik yang cantik ni. Adik kandung saya telah kembali ke rahmatullah dan menghembuskan nafas terakhir pagi semalam.
“Adik tak ada sakit dan sedang menjalani ujian JPJ motor di IKMAS, Salak Tinggi Sepang. Motor yang dibawa ketika ujian hilang kawalan dan adik meninggal di tempat kejadian.
“Dengan rendah hati, mohon doakan untuk adik bongsu saya dan sedekahkan Al-Fatihah buat adik saya,” tulisnya.
Dentuman kuat sebelum disahkan meninggal
Perkongsian tersebut mengundang sebak dalam kalangan netizen yang turut berada di lokasi kejadian.
Seorang individu mendakwa terdengar bunyi hentakan kuat sebelum menyedari berlaku kemalangan.
“Tak sure terpulas minyak ke apa, tapi terlanggar dinding tandas, kuat hentakan. Saya dengar bunyi je, kuat. Nampak dari side mirror sebab tengah ujian kereta juga masa tu,” katanya.
Pada masa sama, timbul persoalan dalam kalangan warganet sama ada ujian dijalankan ketika hujan, namun saksi memaklumkan keadaan cuaca ketika itu tidak hujan.
Netizen titip doa, kongsi rasa simpati
Ruangan komen dibanjiri ucapan takziah dan doa buat arwah serta keluarga.
“Semoga arwah ditempatkan bersama orang-orang beriman, terlepas dari seksa kubur dan dimasukkan terus ke syurga.”
“Mungkin kes pertama dengar meninggal masa ujian memandu motor. Sedih sangat.”
“Kuatkan keluarga arwah. Tak sangka ujian lesen pun boleh jadi tragedi macam ni.”
Rata-rata meluahkan rasa terkejut kerana kejadian seperti itu jarang berlaku ketika sesi ujian memandu.
Orang ramai turut menasihatkan calon-calon lain agar sentiasa berhati-hati serta memastikan keadaan diri benar-benar bersedia sebelum menjalani ujian.
Al-Fatihah buat arwah. Semoga keluarga diberi kekuatan menghadapi ujian berat ini. – The Malaysian Update
The post Ujian JPJ Bertukar Tragedi, Adik Bongsu Maut Hilang Kawalan Motor Di Sepang appeared first on The Malaysian Update.


