SpaceX berjaya melancarkan Starship V3 – roket paling berkuasa dalam sejarah- dari Starbase Texas pada awal pagi 23 Mei lalu waktu Malaysia. Ini adalah kali pertama Starship versi ketiga dilancarkan dengan ia membawa pelbagai penambahbaikan berdasarkan lima pelancaran Starship V2 yang dilancarkan sejak 2024.

Ini adalah kali pertama SpaceX melancarkan Starship sejak Oktober 2025 dengan ujian tidak berjalan sepenuhnya seperti dirancang. Satu enjin Raptor pada roket Super Heavy dan satu enjin pada Starship gagal berfungsi. Sungguhpun begitu Starship berjaya mencapai orbit sebelum melancarkan 20 dami satelit dan 2 satelit Starlink sebenar ke orbit bumi rendah (LEO).
Kehilangan satu enjin Super Heavy memaksa pusat kawalan SpaceX mengarahkannya terhempas di Teluk Mexico bagi mengelakkan berlaku kemalangan semasa cuba ditangkap oleh mekanisme pengapit chopstik oleh tapak pelancaran seperti misi-misi sebelum ini.

Dua satelit Starlink yang dilancarkan dilengkapi kamera untuk memeriksa jubin pelindung haba semasa berada di angkasa serta melakukan penstriman secara langsung pelancaran satelit menerusi lubang di sisi Starship. Proses melancarkan kesemua 22 satelit mengambil masa sekitar 10 minit. Usai pelancaran, Starship diarahkan kembali ke bumi dengan ia kemudiannya dihempaskan ke permukaan Lautan Hindi seperti profil misi terdahulu.
Walaupun misi ini tidak membawa demonstrasi baharu yang besar, kejayaan penerbangan pertama V3 dianggap penting kerana ia merupakan reka bentuk yang dipertingkatkan dengan pelbagai perubahan struktur dan sistem. Ini adalah perlu kerana Starship yang mengalami kelewatan telah menyebabkan Misi Artemis III ke bulan kini ditangguh ke Artemis IV pada tahun 2028.

Bagi SpaceX pula, kejayaan misi ini adalah amat perlu kerana syarikat baru sahaja memfailkan dokumen untuk memfailkan IPO di Amerika Syarikat. IPO SpaceX diramalkan menjadi yang paling bernilai dalam sejarah dengan syarikat menyasarkan nilai pasaran mencecah $1.75 trilion.
