DUA minggu kebelakangan ini, Merak perhati jalan raya di sekitar bandar-bandar utama sudah mula ‘merah’ memanjang dalam aplikasi navigasi. Kalau kebetulan lalu di hadapan pusat beli-belah atau butik-butik tersohor, jangan ceritalah. Nak cari ruang parkir pun dah macam main kerusi muzik, berpusing-pusing berebut sana sini.
Puncanya satu sahaja iaitu demam membeli baju raya secara fizikal nampaknya sudah kembali!
Kalau kita imbas balik dua atau tiga tahun kebelakangan ini, meriah betul orang kita memborong baju raya dalam talian. Pantang ada live di media sosial atau jualan murah di platform e-dagang, berduyun-duyun jari telunjuk pantas menekan 'troli maya' atau 'beg kuning'.
Konsepnya mudah; duduk di rumah, bayar dan tunggu bungkusan sampai.
Tetapi tahun ini, Merak nampak trend itu mula beralih arah ke titik asal. Pusat beli-belah kembali padat, butik-butik baju raya sesak dengan lautan manusia.
Merak percaya, peralihan ini berlaku kerana ramai mungkin sudah serik terkena sindrom ‘indah khabar dari rupa’.
Bab saiz pula satu hal. Tulis ukuran ‘L’, tapi bila disarung ke badan, ketatnya sampai nak bernafas pun susah. Nak dipulangkan semula, prosesnya leceh dan memakan masa.
Apabila membeli di kedai fizikal, nilai kepuasannya jauh berbeza. Orang kita rindu nak sentuh fabrik pakaian, rindu nak masuk ke bilik persalinan (fitting room) dan rindu nak melihat sendiri jatuh kain di badan.
Bagi yang berkeluarga, kepuasannya berganda. Di sinilah ketua keluarga berpeluang menjadi 'tukang pegang beg kertas' sambil isteri sibuk memadankan tona warna baju anak-anak dan suami secara depan-depan. Boleh nampak terus adakah warna sedondon itu sedap mata memandang atau sebaliknya.


