Ulasan Fender MIX – Gergasi Gitar Memasuki Gelanggang Audio Pengguna

EntertainmentTechnology
3 Apr 2026 • 11:07 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Jika anda seorang peminat ataupun pemain muzik, jenama Fender sudah semestinya tidak asing lagi buat anda semua, kerana ia terkenal untuk menghasilkan kelengkapan muzik, khususnya gitar elektrik. Baru-baru ini, Fender telah memperkenalkan sejumlah produk audio baru dalam bentuk pembesar suara dan juga fon kepala nirwayar.

image is not available

Kami telah diberi peluang untuk menguji salah satu produk ini, iaitu Fender MIX, sebuah fon kepala kelas premium yang hadir dengan ciri unik dimana kesemua bahagian fon kepala ini adalah modular dan boleh dicabut dan dipasangkan kembali dengan mudah.

Spesifikasi Dan Rekaan

Fender MIX
JenisFon telinga belakang tertutup
Pemandu40mm Graphene
Mikrofon2 mikrofon
Bateri52 Jam ANC/100 jam tanpa ANC
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarTiada
CODECAAC, SBC, LHDC
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaAuracast Assistant
Pad KawalanButang Fizikal Lima Arah
Kemampuan kalis airTidak
Harga Jualan RM 1399

Bermula dengan rekaan fon kepala ini, dari sekilas pandangan, Fender MIX hadir dengan rekaan fon kepala yang tidaklah begitu unik. Ia kelihatan seperti banyak fon-fon telinga yang lain di pasaran, tetapi terdapat beberapa aspek pada fon kepala ini yang membuatkannya sangat berbeza dengan penawaran audio lain dalam segmen ini.

image is not available

Pertama ialah butang 5-arah yang berfungsi sebagai butang kuasa, butang sambungan Bluetooth, butang kawalan kelantangan audio dan butang skip semua dalam satu. Terdapat satu lagi butang di tepinya yang berfungsi sebagai butang pilihan mod Active Noise Cancelling dan Ambient Sound, yang membolehkan anda mendengar audio yang dimainkan dan juga bunyi persekitaran anda pada masa yang sama.

image is not available

Keunikan fon kepala Fender MIX ini hadir melalui ciri modular, dimana bahagian-bahagian fon kepala ini boleh dicabut dengan mudah, dan membolehkan pengguna untuk menggabungkan corak warna berbeza pada fon kepala ini.

Bahagian-bahagian yang boleh dicabut termasuklah bahagian penutup telinga dan juga bahagian headband. Bermula dengan bahagian penutup telinga, ia melekap ke bahagian fon kepala menggunakan magnet yang kuat.

Apabila dicabut, pengguna bukan sahaja boleh menukar penutup telinga tersebut, tetapi ia juga menepatkan bateri fon kepala di bahagian kanan, manakala di bahagian kiri pula terdapat penyesuai USB yang memberi sokongan Auracast yang membolehkan fon kepala ini disambungkan ke peranti pintar ataupun komputer secara automatik melalui sambungan WiFi, dan membolehkan audio berkualiti tinggi pada format lossless atau nirhilang dimainkan dengan mudah.

image is not available

Dari segi spesifikasi dalaman, fon kepala Fender MIX ini hadir dengan dua pemacu audio yang diperbuat dari bahan graphene dengan saiz 40mm, yang mana Fender menjanjikan kualiti olahan audio yang baik dan seimbang.

image is not available

Untuk bahagian bateri pula, Fender mengatakan fon kepala ini boleh digunakan selama 100 jam secara berterusan tanpa mod ANC atau Ambient Sound dipasang, manakala dengan mod ANC diaktifkan, ia boleh digunakan selama kira-kira 50 jam secara berterusan. Pengecasan selama 15 minit membolehkan fon kepala ini digunakan selama 14 jam tanpa ANC dan selama 8 jam dengan ciri ANC diaktifkan.

Bateri ini juga boleh digantikan sekiranya perlu di masa hadapan dengan hanya mencabut penutup telinga sebelah kanan dan mengakses penutup bateri di dalamnya.

Pengalaman Pengguna

Kemampuan modular Fender MIX dilihat cukup baik sekali, tetapi bagaimanakah kualiti audio fon kepala ini apabila ia digunakan? Bermula dengan keselesaan penggunaan, fon kepala ini hadir dengan sepan yang cukup tebal untuk memastikan bahawa bahagian plastik keras tidak dirasai dari sisi ataupun atas kepala apabila dipakai.

image is not available

Walaupun begitu, kedapan untuk pembatalan bunyi hingar pada pendapat saya adalah tidak sehebat penawaran dari jenama-jenama audio lain seperti Sony ataupun Bose yang sudahpun berkecimpung dalam industri ini untuk sekian lamanya.

Walaupun fungsi ANC diaktifkan, kadang-kala saya masih dapat mendengar bunyi hingar di sekeliling saya khususnya apabila bunyi tersebut datang dari kedudukan yang sangat dekat dengan saya. Dari segi kualiti audio, pada pendapat saya fon kepala ini lebih sesuai digunakan untuk mendengar lagu-lagu dalam genre rock ataupun ballad, dan mana-mana genre lain yang mahukan kelantangan nota bass yang tinggi.

image is not available

Pada pendapat saya juga, lagu-lagu dalam genre pop mungkin tidak begitu sesuai didengari dengan fon kepala ini, kerana lagu-lagu dalam genre tersebut seringkali mementingkan nota treble, dan fon kepala ini hadir dengan fokus terhadap nota bass yang lebih kuat.

Pada banyak fon kepala dan fon telinga yang lain, kualiti audio sebegini boleh diubahsuai menggunakan fungsi equalizer yang terkandung di dalam aplikasi fon kepala. Cuma isu untuk fon kepala Fender MIX ini ialah ia tidak mempunyai aplikasi yang boleh dimuat-turun buat masa ini. Ia sedikit sebanyak bermakna bahawa kualiti audio lalai yang diperdengarkan tidak boleh diubahsuai, dan ini merupakan satu kekurangan yang pada pendapat saya cukup ketara pada fon kepala ini.

image is not available

Dan ini bukan sahaja kerana pengguna tidak boleh mengubahsuai kualiti audio yang diperdengarkan, ia juga bermakna bahawa fon kepala ini tidak boleh menerima kemas kini perisian pemandu baru untuk memperbaiki mutu audio ataupun ciri-ciri tambahan lain di masa hadapan.

Kami telah membaca laporan bahawa Fender akan memperkenalkan aplikasi audio mereka tersendiri di masa akan datang, tetapi ia tidak diketahui bilakah ia akan diperkenalkan. Apabila ia dilancarkan kelak, saya harap bahawa ia akan sedikit sebanyak membantu memperbaiki isu-isu ini.

image is not available

Beralih kepada satu lagi ciri menarik pada fon kepala ini, iaitu kemampuan modularnya. Bahagian-bahagian seperti penutup telinga, pemandu audio dan tangkai kepala boleh dicabut dan digantikan sekiranya diperlukan. Komponen bateri disimpan pada bahagian kiri fon kepala dan boleh digantikan sekiranya diperlukan, manakala penyesuai

Kebolehan membuka dan menukar penutup telinga dengan cepat dan mudah adalah sesuatu yang hairan mengapa jenama audio lain seperti Bose, B&W, Sony dan sebagainya belum ataupun tidak hadir dengan konsep sebegini.

image is not available

Bergantung kepada berapa sering anda akan gunakan fon kepala anda, kebolehan untuk menukar penutup telinga sekurang-kurangnya adalah satu kelebihan yang sangat baik. Dan kelebihan kepada Fender ialah fon kepala MIX juga hadir dengan kemampuan untuk menukar bateri fon kepala dengan mudah juga.

Satu-satunya fon kepala yang saya tahu hadir dengan rekaan modular seperti ini ialah Apple AirPods Max, yang mana kesemua bahagian-bahagian fon kepala ini juga boleh dicabut dengan mudah, tetapi mempunyai tanda harga yang jauh lebih premium.

Dikala dunia kini sedang cuba mengurangkan kadar penghasilan sampah elektronik, kemampuan modular pada sesebuah peranti kini dilihat sangat penting. Sekiranya hanya satu bahagian yang rosak, seperti penutup telinga ataupun sebelah pemandu audio, ciri ini membolehkan pengguna untuk menggantikan bahagian yang rosak dengan cepat dan mudah tanpa perlu membuang aksesori sedia ada dan membeli yang baru.

image is not available

Dari segi jangkahayat fon kepala, Fender mengatakan bahawa fon kepala MIX ini hadir dengan jangkahayat selama 100 jam dengan satu pengecasan penuh tanpa menggunakan fungsi ANC, dan sehingga 52 jam dengan fungsi ANC diaktifkan. Ini merupakan salah satu fon kepala yang hadir dengan jangkahayat bateri paling panjang pernah saya gunakan, dan saya boleh katakan bahawa sepanjang ujian fon kepala ini, saya tidak perlu mengecas fon kepala ini sekali pun.

Apa Dalam Kotak?

Ini adalah apa yang ditawarkan apabila anda membeli sepasang fon kepala Fender MIX.

image is not available
  • 1x fon kepala Fender MIX
  • 1x kotak simpanan fon kepala
  • 1x kabel pengecasan USB Type-A ke Type-C
  • 1x penyesuai dua pin palam penerbangan
  • 1x kabel audio 3.5mm

Penutup

Fon kepala Fender MIX merupakan salah satu aksesori elektronik kegemaran saya pada tahun ini. Segmen audio, khususnya fon kepala sepatutnya sudahpun hadir dengan konsep modular sebegini beberapa tahun lepas.

Gabungan rekaan modular, kualiti audio yang mantap, jangka hayat bateri yang panjang dan ciri-ciri tambahan premium seperti pembatalan bunyi hingar aktif dan mod transparency menjadikannya sebuah fon kepala yang berbaloi dengan tanda harga RM1399 yang diminta.

image is not available

Cuma satu kekurangan utama fon kepala ini, iaitu ketiadaan aplikasi mudah-alih yang boleh digunakan untuk mengubah pelbagai tetapan fon kepala dengan mudah dan cepat. Fender dikatakan akan menawarkan aplikasi tersebut kelak, tetapi buat masa ini ia tidak diketahui bilakah ia akan tiba.

Pro:

  • Kualiti binaan dan fungsi modular yang mantap
  • Kualiti audio yang sedap bergantung kepada genre
  • Fungsi audio premium seperti ANC dan mod transparency
  • Butang kawalan yang mudah digunakan
  • Jangka hayat bateri panjang

Kontra:

  • Tiada aplikasi untuk menukar tetapan fon kepala
  • Kedapan pembatalan bunyi pasif yang tidak begitu baik
image is not available