Jika anda masih menunggu untuk membeli cip pemprosesan baru untuk komputer gaming ataupun komputer kerja, AMD baru-baru ini telah mengumumkan cip pemprosesan gaming paling berkuasa mereka setakat ini, iaitu AMD Ryzen 9 9950X3D2, yang kini dilihat hadir dengan memori L3 cache tambahan didalam kedua-dua bahagian komponen cip fizikal CPU tersebut.

Dari segi spesifikasi, ia masih hadir dengan 16 teras fizikal dan 32 bebenang kuasa yang sama seperti model AMD Ryzen 9 9950X3D sebelum ini, dengan kelajuan lewahjam maksima 5.6GHz, 100Hz lebih rendah berbanding dengan model sebelum ini. Walaupun begitu, ia tampil dengan penggunaan kuasa elektrik setinggi 200W, dan ini menjadikannya cip pemprosesan Ryzen yang paling lapar kuasa AMD setakat ini.
Perbezaan paling ketara yang diperlihatkan pada cip pemprosesan ini berbanding dengan model sebelumnya ialah jumlah memori cache L3 yang sangat banyak, iaitu 192MB, dan apabila digabungkan dengan memori cache L2 16MB, memberikannya 208MB memori cache terbina didalam CPU tersebut.
Secara ringkasnya, jumlah memori cache yang banyak ini membolehkan permainan-permainan komputer hadir dengan prestasi yang lebih baik dari segi kelancaran permainan seperti kadar bingkai yang lebih stabil kerana lebih banyak data permainan boleh dimuatkan secara terus kedalam CPU, dan tidak perlu dibaca dari RAM.

Nama X3D2 diberikan kerana tidak seperti model-model AMD Ryzen X3D sebelum ini, memori 3D V-cache yang digunakan kini ditindan didalam kedua-dua komponen CCD (kompleks teras), berbanding dengan satu bahagian sahaja sebelum ini. Ini juga menerangkan mengapa CPU ini hadir dengan kelajuan lewahjam sedikit lebih rendah, tetapi penggunaan kuasa elektrik yang lebih tinggi.
AMD juga mengatakan bahawa cip 9950 X3D2 baru ini hadir dengan peningkatan prestasi 10 peratus apabila dibandingkan dengan AMD Ryzen 9 9950X3D sebelum ini.
Walaupun cip pemprosesan ini diperkenalkan baru-baru ini, AMD telah mengesahkan bahawa cip pemprosesan ini akan dijual bermula 22 April kelak, pada tanda harga yang belum diumumkan lagi.


