Honor kembali mencuri perhatian dengan melancarkan sebuah lagi model baru iaitu Honor 200 Lite. Peranti ini merupakan telefon pintar terbaru yang menjanjikan prestasi dan kemampuan yang mengujakan dalam segmen peranti kelas pertengahan. Penawaran harga juga dirasakan cukup berpatutan bersama dengan prestasi dan spesifikasi yang tidak kurang hebatnya. Justeru itu, dalam artikel ulasan kali ini, kemampuan prestasi Honor 200 Lite akan kami dikongsikan.
SPESIFIKASI
Honor 200 Lite Skrin 6.7″ AMOLED, FHD+, 90Hz. 2412 x 1080 pixel Pemproses Mediatek Dimensity 6080 (6 nm) Cip 2x 2.4 GHz Cortex-A76
6x 2.0 GHz Cortex-A55Cip Grafik Mali-G57 MC2 RAM 8/12GB LPDDR4X Muatan Dalaman 256GB UFS 2.2 Kamera Utama 108 MP, f/1.8 (Lebar)
5 MP, f/2.2 (Ultra-lebar)
2 MP, f/2.4 (Makro)Kamera Swafoto 50MP f/2.1 (lebar) Bateri 4500 mAh
Pengecasan berwayar 35WSIM/Telefoni Dwi Nano/5G NFC Ya Bicu Audio Ya Kalis Air IP54 Sistem Imbasan Pengimbas cap jari bawah skrin
Pengimbas WajahHarga Jualan RM1,299 (8/256GB)
SKRIN
Artikel ulasan ini saya mulakan dengan berkongsi mengenai skrin peranti sebesar 6.7” AMOLED dengan resolusi FHD+ bersama kadar segar semula 90Hz yang boleh ditetapkan mengikut kesesuaian dengan beberapa pilihan sama ada Dynamic, Standard atau High dengan ia boleh direndahkan kepada 60Hz. Skrin yang terbina juga menunjukkan tindak balas yang sangat responsif untuk setiap sentuhan dan mampu memberikan pengalaman menonton kandungan video yang baik.

Bezel pada skrin pula dilihat tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis serta nampak sekata. Luas paparan skrin nampak menyeluruh dengan tahap kecerahan puncak 1200 nits yang masih lagi dapat memaparkan kandungan dengan terang walaupun digunakan di kawasan yang terdedah dengan cahaya matahari terik. Terdapat satu bulatan hitam berbentuk bujur di bahagian atas skrin yang menempatkan kamera hadapan dan juga lampu swafoto.
BIOMETRI
Sistem imbasan cap jari juga terbina di bahagian sisi peranti yang turut merangkap sebagai butang kuasa dengan ia dapat mengesan cap jari dengan baik dan pantas tanpa isu asalkan jari tidak kotor dan basah. Sistem imbasan wajah yang terbina juga berfungsi dengan baik dalam banyak keadaan.
REKAAN
Honor 200 Lite hadir dengan rekaan yang seolah-olah diinspirasikan daripada kilauan bintang yang berkelip-kelip dalam latar belakang biru lembut yang tampak cantik. Meskipun begitu, kami secara peribadi merasakan rekaan seumpama ini mungkin akan lebih digemari oleh pengguna wanita berbanding lelaki. Ini kerana rekaan panel belakang seumpamanya dilihat lebih menonjolkan elemen feminin. Justeru itu, Honor menawarkan peranti ini di pasaran dengan dua pilihan warna iaitu Starry Blue dan Midnight Black.

Bagi rekaan yang lebih elegan, warna Midnight Black boleh dijadikan pilihan. Apa yang kami suka pada corak tubuh belakang peranti dalam warna Starry Blue ini ialah kami tidak perlu berhadapan dengan masalah tubuh mudah kotor dengan kesan cap jari. Meskipun, panel tubuh belakang adalah plastik, ilusi corak rekaan yang terbina menjadikan kesan cap jari langsung tidak kelihatan. Peranti juga sangat ringan dan nipis iaitu dengan berat 166g dan ketebalan 6.78mm.

Tubuhnya selesa dipegang dan mudah untuk dikendalikan dengan sebelah tangan. Terdapat juga satu bonggol lensa kamera yang menempatkan sistem tiga kamera pada bahagian belakang. Bahagian sisi pula menempatkan butang laras suara dan butang kuasa juga menempatkan sistem imbasan cap jari. Talam dwi SIM nano pula terletak di bahagian sisi kiri.
Pada bahagian atas hanya terdapat satu lubang kecil untuk fungsi pembatalan hingar manakala bahagian bawah pula menempatkan lubang pengecasan USB-C dan speaker. Rekaan peranti secara keseluruhan memperlihatkan perbezaan yang agak ketara dengan model Honor 200 dan 200 Pro tetapi ia hadir dengan rekaan istimewa yang tersendiri.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN
Honor 200 Lite ini menjalankan sistem operasi MagicOS 8.0 berasaskan kepada Android 14. Paparan antaramukanya kemas dengan beberapa fungsi tambahan seperti Multi Window, Multi Window Dock, Split Screen dan Floating Window.
Kemampuan cip pemproses MediaTek Dimensity 6080 yang terbina bersama juga memberikan keupayaan prestasi yang baik meskipun ia merupakan sebuah cip pemproses yang agak lama. Honor 200 Lite ini juga dilengkapi dengan saiz memori 8GB RAM dan saiz storan 512GB. Semua aplikasi dapat dijalankan dengan baik serta boleh dimuat turun dengan lancar tanpa isu.

Terdapat juga beberapa ciri AI yang tersedia padanya dengan kami rasakan beberapa daripadanya adalah cukup berguna. Antaranya ialah, AI Magic Portal dan AI Blur Private Info. Terdapat juga Magic Capsule dengan fungsi seakan-akan Dynamic Island yang ada pada iPhone. Kesemua ciri ini berfungsi dengan baik sekaligus menambah baik pengalaman penggunaan.
PENANDA ARAS
Berikut adalah skor daripada hasil ujian penanda aras yang direkodkan oleh Honor 200 Lite menggunakan Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark. Perbandingan pula dilakukan dengan Oppo Reno11 F 5G (Dimensity 7050) dan Redmi Note13 5G (Dimensity 6080).
Antutu 3D Benchmark
- Honor 200 Lite – 412,679
- Oppo Reno11 F 5G – 606,353
- Redmi Note 13 5G – 414,290
Geekbench 6
- Honor 200 Lite – 782/2075
- Oppo Reno11 F 5G – 884/2164
- Redmi Note 13 5G – 776/2019
WildLife Extreme
- Honor 200 Lite – 366
- Oppo Reno11 F 5G – 2176
- Redmi Note 13 5G – Tidak Disokong

Hasil catatan skor dan juga perbandingan yang ditunjukkan menunjukkan rekod yang agak seimbang. Namun, sepanjang tempoh ujian tiada isu yang mengecewakan dari segi kelancaran paparan dan aplikasi dapat dijalankan dengan baik. Keseluruhannya dari segi prestasi, Honor 200 Lite memiliki kemampuan prestasi yang baik untuk sebuah peranti kelas pertengahan.
TELEFONI & GPS
Peranti ini menyokong rangkaian 5G dan WiFi 6 dimana ia memberikan pengalaman penggunaan GPS yang sederhana. Tidak terlalu pantas dan tidak juga terlalu perlahan sepanjang tempoh penggunaan. Sambungan rangkaian 5G adalah stabil dalam banyak keadaan.
KAMERA
Persediaan kameranya hadir dengan 108MP untuk kamera utama, 5MP kamera ultra lebar dan mikro manakala 2MP untuk kedalaman. Secara keseluruhan, pengalaman menggunakan kameranya adalah memuaskan dengan hasil gambar yang jelas dan terang.

Warna sains setiap objek dalam gambar juga dilihat realistik dengan ketajaman yang baik. Ciri zum juga tidak mengecewakan dengan hasil gambar yang masih lagi tajam pada tingkat zum sehingga 3X. Meskipun apabila gambar dengan zum 10X menjadikan hasil gambar nampak sedikit lembut, tetapi secara asas gambar masih jelas dan boleh diterima baik.







Kamera hadapannya pula hadir dengan 50MP. Hasil gambar kamera hadapan juga tidak mengecewakan. Lebih menarik lagi apabila kamera hadapannya turut memiliki lampu flash yang menjadikan hasil gambar tetap terlihat terang walaupun gambar swafoto diambil dalam keadaan ruangan yang gelap.

BATERI
Kapasiti baterinya hadir dengan saiz 4500mAh dengan ketahanan bateri yang memuaskan. Sokongan pengecasan 35W yang disediakan pula mengambil masa sekitar satu jam lebih untuk penuh dari peratusan bateri 1% ke 100%. Bagi penggunaan biasa seperti melayari media sosial menjadikan bateri mampu bertahan agak lama, tetapi memainkan permua secara berulang-kali menjadikannya baterinya lebih dahagakan pengecasan.

AUDIO
Sistem audio peranti pula dilengkapi dengan speaker stereo yang menghasilkan bunyi audio yang baik. Walau bagaimanapun, kami dapati bunyinya sedikit perlahan sehingga dalam banyak keadaan tetapan audio perlu dipertingkatkan pada kadar yang agak tinggi. Meskipun begitu, apabila audio dipertingkatkan ke tetapan yang tinggi, bunyinya masih kedengaran lunak dan sedap didengar.

PERANTI PESAING
Honor 200 Lite Oppo Reno11 F 5G Redmi Note 13 5G 6.7″ AMOLED, FHD+, 90Hz. 2412 x 1080 pixel 6.7″ OLED, HDR10+, 120HZ 6.67” AMOLED, 2400 x 1080, 120Hz, 1000 nits Mediatek Dimensity 6080 (6 nm)
2×2.4 GHz Cortex-A76
6×2.0 GHz Cortex-A55Dimensity 7050 (6nm)
2 X 2.6 GHz Cortex-A78
6 X 2.0 GHz Cortex-A55MediaTek Dimensity 6080 (6nm)
2×2.4 GHz Cortex-A76
6×2.0 GHz Cortex-A55Mali-G57 MC2 Mali-G68 MC4 Mali-G57 MC2 8GB 8GB 6/8 GB 512GB UFS 2.2 256GB UFS 3.1 128/256GB Kamera Utama
108 MP, f/1.8 (Lebar)
5 MP, f/2.2 (Ultra-lebar)
2 MP, f/2.4 (Makro)Kamera Utama64MP, f/1.7 (Utama)
8MP, f/2.2 (Ultra-lebar)
2MP (Makro)Kamera Utama 108MP, f/1.7,OIS (Sudut Lebar)
8MP, f/2.2, (Ultra Sudut lebar)
2MP, f/2.4, (Makro)Kamera Hadapan
50MP f/2.1 (lebar)Kamera Hadapan 32MP f/2.4 Kamera Hadapan 16MP f/2.4 Tiada IP65 IP54 Tiada bicu audio Tiada bicu audio Bicu audio Audio Stereo Audio Mono Audio Stereo 4500 mAh (Berwayar 35W) 5000 mAh (Berwayar 67W) 5000 mAh (Berwayar 33W) RM1299 (8/256GB) RM 1399 (8/256GB) RM1099 (8GB/256GB)
APA DALAM KOTAK?
- 1x Honor 200 Lite.
- 1x Pengecas 35W.
- 1x Kabel USB-A ke USB-C.
- 1x Kerangka Lutsinar.
- 1x Pin SIM.
- 1x Set buku panduan / keselamatan.
KESIMPULAN
Sebagai kesimpulan, setelah seminggu mengujinya, kami boleh katakan bahawa Honor 200 Lite ini merupakan sebuah peranti yang memiliki spesifikasi yang baik dengan penawaran harga juga dirasakan berbaloi dengan apa yang ditawarkan. Rekaan tubuh yang ringan, cantik dan unik serta keupayaan prestasi juga tidak menghampakan.

Honor 200 Lite kini dijual dengan harga RM1299 sekaligus menjadikannya sebagai pesaing dalam peranti kelas pertengahan di pasaran hari ini dengan harga yang cukup berpatutan. Kami rasakan peranti ini adalah sebuah telefon pintar yang cukup sesuai buat mereka yang sedang mencari telefon pintar yang berbaloi dengan prestasi yang tidak mengecewakan.
PRO
- Skrin pantas dan responsif.
- Rekaan cantik.
- Prestasi lancar.
- Prestasi kamera memuaskan.
KONTRA
- Tiada bicu audio 3.5mm.
- Tiada kemampuan kalis air.
- Pengecasan 35W.

