Royole Flexpai memulakan era peranti boleh lipat. Ya ini ialah takhta milik Royole dan bukannya Samsung tetapi Samsung memegang majoriti segmen ini keran peranti mereka dipasarkan ke lebih banyak negara. Kerana selesa, peranti Samsung tidak menawarkan inovasi yang bermakna saban tahun. Akibatnya saya lihat pengeluar China yang lebih berani mencuba dan tahun ini Honor Magic V5 dipasarkan sebagai peranti lipat paling nipis dunia.

Tetapi Magic V5 tidak sekadar berharap kepada kenipisan dengan ia membawakan beberapa ciri menarik yang akan membuatkannya menjadi peranti yang bukan sekadar mampu mengalahkan Samsung Galaxy Z Fold7 tetapi mungkin boleh menjadi antara peranti lipat terbaik 2025. Ini ulasan penuh Honor Magic V5.
SPESIFIKASI
Honor Magic V5 Skrin Luar – 6.43″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.95″ OLED 120Hz
Dolby Vision, HDR10+Pemproses Snapdragon 8 Elite (3nm) Cip 2 X 4.32 GHz Oryon Phoenix L
6 X 3.53 GHz Oryon Phoenix MCip Grafik Adreno 830 RAM 16 Gigabyte LPDDR5x Muatan Dalaman 512GB UFS 4.1 Kamera Utama 54 MP, f/1.6, OIS (Sudut Lebar)
50 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
64 MP, f/2.5, OIS (Telefoto) 3x Zum Optical
4K 60pKamera Depan 20 MP f/2.2 (Depan)
29 MP f/2.2 (Dalam)
4K 60pBateri 5820 mAh
Pengecasan berwayar 66W
Pengecasan nirwayar50WSIM/Telefoni Dwi SIM Nano /5G NFC Ya Infra Merah Tiada Kalis Air IP59 Sistem Imbasan Cap jari terbina sisi Harga Jualan RM6999 (16/512 GB)
SKRIN
Skrin luar 6.43″ adalah dari keluarga OLED dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Skrin luar ini cukup lebar memudahkan ia digunakan untuk menaip. Ia masih lagi memanjang berbanding skrin peranti candybar namun jauh lebih baik berbanding nisbah skrin peranti lipat generasi terdahulu. Ia masih lagi sama dengan V3 sebelum ini. Di bahagian atas skrin terdapat lubang untuk kamera swafoto dan juga bezel yang agak nipis.

Di bahagian dalam pula skrin oleh 7.95″ OLED 120Hz disertakan. Masih terdapat kesan lipatan walaupun engsel dan lapisan skrin telah dikemaskini oleh Honor. Skrin nampak terang dengan paparan warna yang baik. Pengesanan jari juga jitu cuma masih terasa aneh apabila jari melalui bahagian engsel.

Kedua-dua skrin luar dan dalam menyokong paparan kandungan HDR10+ dan juga Dolby Vision. Saya dapat memaparkan kandungan HDR daripada Netflix, Prime Video, HBO Max dan YouTube tanpa sebarang isu. Sokongan stylus Honor Magic Pen juga diteruskan pada skrin luar serta dalam. Ini kelebihan paling ketara Magic V5 tahun ini kerana ia telah dihentikan pada Z Fold7. Stylus perlu dibeli secara berasingan.

BIOMETRI
Pengimbas cap jari sisi yang digunakan mengesan cap jari dengan cukup baik. Ianya pantas, konsisten dan mudah digunakan. Saya cuma kecewa setakat ini hanya Vivo sahaja menawarkan pengimbas cap jari bawah skrin. Terdapat imbasan wajah tetapi ia hanya berfungsi dengan baik dalam situasi pencahayaan yang sempurna.

REKAAN
Rekaan tubuh semakin tubuh kini hanya 4.1mm berbanding 4.4mm tahun lalu dalam keadaan terbuka dan 8.8mm berbanding 9.2mm dalam keadaan ditutup. Ia masih lebih nipis berbanding 4.2mm dan 8.9mm pada Z Fold7. Ini adalah perbezaan yang tidak ketara apabila kedua-dua peranti diletakkan bersebelahan.

Saya sebenarnya tidak berapa selesa mengatakan Magic V5 dan Z Fold7 benar-benar senipis siling 50 sen kerana ia sekadar mengira ketebalan tubuh tanpa bonggol kamera. Bonggol kamera Magic V5 sangat besar sehingga membuatkan peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Saya juga tidak mempunyai angkup Vernier untuk menyukat ketebalan peranti jika bonggol diambil kira.

Sisi Magic V5 nipis tetapi tidak rata sepenuhnya dengan sisi sedikit melengkung bagi memberikan ilusi ianya lebih nipis daripada realiti. Ini mendatangkan isu yang hanya wujud pada peranti nipis iaitu dua pintu Magic V5 sedikit sukar untuk dibuka. Terlalu nipis sehinggakan tidak ada luas permukaan untuk mengumpil skrin lipat dengan mudah. Pengalamannya mengingatkan saya kepada perasaan membuka bongkah Lego yang bersambung.
Harus saya nyatakan di sini isu ini juga wujud pada Z Fold7 cuma pada peranti Samsung ia lebih mudah dibuka kerana permukaan peranti yang benar-benar rata. Tetapi kedua-dua peranti ini lebih sukar dibuka berbanding Z Fold6 yang merupakan peranti lipat kegunaan saya sebelum ini. Saya bertanya kepada Amy Maizura mengenai pengalaman mengggunakan Magic V3 dan beliau mengatakan ini ialah isu sama tahun lalu. Peranti nipis mungkin lebih “hensem” dilihat tetapi jika terlalu nipis menjadi kurang praktikal.

Engsel skrin teguh dan tahan lasak. Ia direka untuk tahun dibuka dan ditutup sehingga 13 tahun serta boleh menahan berat sehingga 35 kilogram tanpa patah seperti tulang belakang Batman dibantai Bane. Honor turut berkata Magic V5 cukup tahan lasak untuk ia menahan berat sofa digantung. Saya tidak mencubanya sendiri tetapi engsel peranti memang terasa lebih teguh berbanding Magic V2 yang saya ulasan dua tahun lalu.

Kerana tubuh yang nipis ini, Magic V5 kehilangan pemancar infra merah. Lubang kekisi audio juga diletakkan pada pintu skrin yang berbeza menjadikan rekaan nampak kurang simetri. Tubuh melepasi piawaian IP59 di Malaysia yang adalah berita baik kerana sekali lagi lebih baik berbanding IP48 pada Z Fold7.

Bonggol besar di belakang diperbuat daripada bongkah logam yang terasa ampuh apabila diketuk dengan panel kaca besar menutupi tiga lensa kamera utama. Honor menyertakan kombinasi sensor 54+50+64 MP dalam bonggol lengkap dengan sistem zoom telefoto. Dua kamera swafoto pula sebesar 20MP. Spesifikasi kamera yang disertakan tidak mengecewakan.

Permukaan belakang peranti adalah kemas diperbuat daripada bahan seakan logam yang tidak mengumpul kotoran dengan mudah. Saya pasti bukan logam kerana Magic V5 menyokong pengecasan nirwayar.
Bateri pula sebesar 5820 mAh yang amatlah besar bagi peranti lipat.Ia JAUH lebih besar berbanding Z Fold7 dan 220 mAh lebih besar berbanding Oppo Find N5. Pengecasan berwayar adalah 66W dan nirwayar pula 50 mAh. Adalah mengejutkan Honor dan pengeluar China kini menawarkan bateri bersaiz lebih besar pada peranti lipat berbanding peranti candybar Samsung dan Apple.

PERISIAN DAN PENGALAMAN PENGGUNAAN
Peranti yang kami terima menggunakan MagicOS 9 berasaskan Android 15. Sedikit kecewa ia masih Android 15 sedangkan Android 16 telah dilancarkan sebulan lalu. Status peranti pertama dilancarkan dengan Android 16 dipegang oleh Z Fold7. Sistem operasi ini hadir dengan pelbagai ciri yang menjadikannya mudah digunakan. Pengalaman penggunaan adalah lancar dan lebih penting sekali tidak mendatangkan sebarang isu.

Dalam mod tablet, terdapat satu palang pintasan pantas aplikasi yang sering digunakan bersama dengan tiga aplikasi terakhir dibuka untuk pertukaran pantas. Palang ini boleh dibuka dengan menatal dari bawah skrin ke atas secara perlahan-lahan. Jika lebih daripada 2 aplikasi ingin dibuka, tarik sahaja ikon daripada palang ke atas. MagicOS 9 hanya membenarkan dua aplikasi dibuka serentak berbanding One UI 8 yang menyokong sehingga tiga.

Tetapi terdapat mod multi tugas MagicOS 9 yang membenarkan 3 aplikasi dibuka dengan saiz bersebelahan secara serentak. Ciri ini saya rasakan lebih berguna untuk proses multitugas berbanding implementasi Samsung. Saya cuma berharap sistem Taskbar yang diberikan pada peranti lipat Samsung, Google dan Oppo dibawa ke MagicOS secepat mungkin. Ia adalah lebih mirip sistem operasi desktop yang menjadikan pertukaran aplikasi dilakukan lebih pantas. Kenapa ia tiada di Magic V5 saya tak tahu.

Yang diberikan ialah sokongan menghantar fail rentas sistem operasi Android, iOS, HarmonyOS dan Windows. Trend pengeluar China menyokong ekosistem Apple dan Huawei adalah amat menarik bagi mereka yang memang agnostik kepada sistem operasi. Ia pembebasan daripada perlu menggunakan satu ekosistem sahaja. Syarikat China lebih awal memberikan pilihan ini yang menjadikan mereka lebih selari dengan keperluan DMA yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah (EU).

Ciri AI tidak ketinggalan kerana kita kini hidup di zaman pasca membuat kerja sendiri dan bergantung kepada AI sebagai ganti. Honor AI menawarkan ciri Magic Text, Magic Portal, AI Translate, Call Translation, AI Writing, AI Deepfake Detection dan banyak lagi. Malahan ciri melakukan animasi daripada gambar turut dibawakan kembali selepas menjadi bualan ramai pada siri Honor 400 beberapa bulan lalu.
Prestasi ciri Honor AI adalah setanding dengan yang ditawarkan peranti Android lain dan beberapa ratus langkah ke hadapan berbanding Apple Intelligence. Bagi peminat ekosistem Google, terdapat ciri menyeru Gemini dengan butang kuasa dan Google Circle to Search secara terbina.
Honor menjanjikan sokongan kemas kini empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti. Ianya adalah tidak sebaik Google dan Samsung yang menawarkan kemas kini tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti.
PENANDA ARAS
Sebagai peranti lipat mercu dengan Snapdragon 8 Elite, saya bandingkan Magic V5 dengan peranti-peranti di bawah. Saya sertakan sekali skor untuk Oppo Find N5 kerana ia satu-satunya peranti lipat dengan cip mercu dilancarkan di Malaysia setakat ini.
- Snapdragon 8 Elite ( 7 Teras) – Oppp Find N5
- Snapdragon 8 Elite – Xiaomi 15 Ultra
- Snapdragon 8 Elite for Galaxy – Samsung Galaxy S25 Ultra
- Dimensity 9400 – Oppo Find X8 Pro
- Apple A18 Pro – Apple iPhone 16 Pro Max
- Tensor G4 – Google Pixel 9 Pro XL

AnTuTu 3D
Cip Skor Honor Magic V5 1,732,200 Oppo Find N5 2,157,718 Xiaomi 15 Ultra 2,341,598 Samsung Galaxy S25 Ultra 1,946,864 Oppo Find X8 Pro 2,629,017 Apple iPhone 16 Pro Max 1,720,751 Google Pixel 9 Pro XL 1,016,712

Geekbench 6
Cip Satu Teras Multi Teras Honor Magic V5 1286 4926 Oppo Find N5 2866 7987 Xiaomi 15 Ultra 2918 8917 Samsung Galaxy S25 Ultra 2957 9435 Oppo Fin X8 Pro 2663 8959 Apple iPhone 16 Pro Max 3359 8129 Google Pixel 9 Pro XL 1916 4644

3DMark Wildlife Extreme
Cip Skor Honor Magic V5 6025 Oppo Find N5 5507 Xiaomi 15 Ultra Tidak boleh dilakukan Samsung Galaxy S25 Ultra 6135 Oppo Find X8 Pro 6251 Apple iPhone 16 Pro Max 4560 Google Pixel 9 Pro XL 2567

Skor yang dicatatkan dalam ujian Antutu 3D dan Geekbench 6 adalah amat aneh kerana lebih berbanding Xiaomi 15 Ultra dan Samsung Galaxy S25 Ultra yang dilengkapi cip Snapdragon 8 Elite yang sama. Malahan skor juga lebih rendah berbanding Oppo Find N5 dengan Snapdragon 8 Elite 7 teras. Dalam ujian lain barulah markah dicatatkan lebih konsisten dan setara. Mengapa? Mungkin kuasa dihadkan pada tahap perisian bagi mengelakkan kerosakan kerana peranti ini terlalu nipis.
Pelbagai aplikasi boleh dijalankan tanpa sebarang isu kerana cip mercu, saiz 16GB RAM LPDDR5x adalah amat besar serta memori pantas UFS 4.1. Memasang dan melancarkan aplikasi amatlah pantas lebih-lebih lagi jika anda mempunyai sambungan internet ultra laju.

Pelbagai permua turut mampu dijalankan pada tahap tertinggi. Cuma saya sedari peranti menjadi sedikit suam jika dibandingkan dengan peranti candybar Snapdragon 8 Elite yang lain. Adakah kerana tubuh terlalu nipis suhu meningkat ke sekitar 43 darjah Celsius dapat dirasa dengan lebih ketara? Tetapi tiada pengurangan pada prestasi dengan kadar bingkai stabil tak kira apakah permainan yang saya jalankan.
KAMERA
Tri kamera utama 50MP sudut lebar dengan OIS, 50MP ultra sudut lebar dan 64MP telefoto dengan OIS. Sementara itu di luar kamera 20MP digunakan sebuah lagi kamera 20MP diletakkan pada skrin boleh lipat. Terdapat pelbagai mod standard seperti potret, malam dan panorama yang boleh diakses oleh pengguna.

Kualiti gambar yang diambil adalah amat baik dalam situasi terang. Penghasilan semula warna adalah sedikit suam jika dibandingkan dengan situasi sebenar. Nampak sedikit kekuningan. Mod swafoto juga sangat memuaskan pada kedua-dua kamera. Penghasilan semula warna juga memberangsangkan dengan gambar nampak bermaya. Sistem HDR mampu mengimbangi cahaya terang dengan baik.
Dalam situasi pencahayaan sedikit kelam, gambar menjadi sedikit kelam juga. Algoritma Honor masih belum sebaik Oppo, Vivo, Huawei, Samsung dan Xiaomi yang boleh menghasilkan gambar lebih terang dalam kegelapan.



Mod potret adalah agak baik dengan imej latar boleh dipisahkan daripada subjek. Mod studio Harcourt kembali dengan kesan khas monokrom yang saya rasakan ingin bersaing dengan mod monokrom Leica. Saya lebih sukakan gambar monokrom Leica kerana lebih pelbagai tetapi kualiti Studio Harcourt juga boleh tahan sebenarnya.



Lensa ultra sudut lebar dipadakan dengan sensor 50MP tetapi gambar yang diambil masih nampak lembut jika tangan tidak stabil. Ketiadaan sistem OIS menjejaskan ketajaman lebih-lebih lagi dalam kawasan tertutup seperti dalam pusat beli belah di bawah.

Ini pula hasil tangkapan kamera dalam mod zum 1x, 3X, 6X, 10x, 30x dan 100X. Hasil tangkapan adalah agak baik baik sehingga 10X kerana terdapat sistem OIS. Pada tetapan 30X gambar mula sedikit aneh kerana sistem AI Zoom yang digunakan Honor. Pada tetapan 100X ia seakan lukisan air. Sistem AI menajamkan sesetengah kawasan gambar, memadam plat kereta tanpa disuruh dan tayar belakang kereta dilukis menaiki tebing tembok. AI Zoom boleh dimatikan jika anda tidak mahukan gambar nampak pelik.






BATERI
Bateri 5820 mAh yang amat besar ini memastikan telefon boleh bertahan sepanjang hari. Satu pencapaian yang besar kerana sebelum ini saya hanya menikmatinya dengan Oppo Find N5. SOT sehingga 10-11 jam adalah normal dalam penggunaan sederhana. Apabila dilenjan anak bermain Roblox menggunakan skrin besar, SOT sekitar 4.5 jam dapat dicapai yang adalah amat baik untuk telefon lipat.
Apabila bateri habis, pengecas 66W boleh mengecas semula bateri gergasi ini dalam masa sekitar 70 minit sahaja. Bukan yang terpaling pantas tetapi dengan kapasiti bateri hampir 6000 mAh ini adalah mengagumkan. Terdapat sokongan pegecasan 50W nirwayar. Pengecas 66W dengan kepala USB-A diberikan dengan setiap pembelian.

AUDIO
Kelantangan speaker fizikal adalah sekadar memuaskan dengan seperti yang saya nyatakan di beberapa perenggan di atas tidak seimbang. Satu speaker sisi di atas dan satu lagi di bawah. Apabila dipegang, salah satu kekisi audio akan ditutup tangan. Aneh sekali pilihan rekaan speaker Honor.

DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.
- 1x Honor Magic V5
- 1x Kerangka plastik
- 1x Pengecas 66W USB-A
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C
- 1x Manual
- 1x Pin SIM

KESIMPULAN
Honor Magic V5 ialah telefon lipat paling nipis, tahan lasak, kamera memuaskan dan mempunyai bateri yang tahan lama. Ini semua yang saya rasakan dimahukan pengguna telefon pintar biasa. Selama ini ciri-ciri ini tidak mampu dilihat pada peranti lipat tetapi Honor berjaya melakukannya. Pada harga RM6999 (16/512GB) sebuah memang ia agak mahal tetapi lebih murah berbanding Z Fold7 (RM8399) dan Find N5 (RM7999) dengan konfigurasi RAM/storan yang sama.

Kekurangan ialah ia masih menggunakan Android 15 dan sistem audio kurang memuaskan. Juga kerana tubuh yang terlalu nipis, proses membuka skrin menjadi agak sukar. Seperti mengumpil Lego.
Pro
- Skrin lipat paling nipis. Selesa dipegang dan lebih ringan.
- Spesifikasi tinggi Snapdragon 8 Eliite, memori 16GB RAM dan storan UFS 4.1 pantas.
- Prestasi kamera yang memuaskan.
- Bateri besar 5820 mAh tahan lama dengan pengecasan pantas 66W.
- Kalis air serta debu IP59.
- Sokongan 4 versi Android dan 5 tahun tampalan sekuriti.
Kontra
- Masih Android 15.
- Sukar dibuka kerana sisi terlalu nipis.
- Audio speaker tidak seimbang.
- Tiada lagi pemancar infra merah.


