Apabila anda mempunyai sebuah setup gaming yang lengkap dengan komputer (desktop atau riba) yang berkuasa, paparan skrin dengan resolusi dan kadar semula tinggi, dan juga papan kekunci dan tetikus yang diharap dapat membantu isu kemampuan dalam bermain permainan video multi-pemain, ada satu lagi aksesori penting yang anda perlukan untuk pengalaman permainan yang benar-benar mengasyikkan.
Ia adalah mikrofon, alat komunikasi dalam dunia gaming moden yang secara lazimnya digunakan untuk bercakap dengan rakan-rakan atas talian, dan komunikasi yang jelas kadang-kala adalah perbezaan antara kemenangan dan kekalahan pasukan anda.

HyperX telah menghantar mikrofon HyperX QuadCast 2 mereka kepada kami untuk diulas, dan kami telah mencubanya untuk pelbagai jenis tujuan, dari komunikasi dalam platform seperti Discord, dan juga untuk rakaman pelbagai jenis video.
Rekaan Dan Spesifikasi
HyperX QuadCast 2 Elemen: 3x 14mm kondenser kapsul elektret Corak pola: Cardioid, Stereo, Bidirectional, Omnidirectional Sensitiviti: -7.5dB Sambungan: USB Type-C, 3.5mm audio Berat: ~335 gram Harga: RM699
Mikrofon HyperX QuadCast 2 ialah sebuah mikrofon condenser yang hadir dengan rekaan yang agak padat dan cukup sesuai jika anda mahu mengekalkan susunan estetika minimalis berwarna hitam ataupun putih.

Dari segi rekaan, ia hadir dengan rangka yang diperbuat daripada logam aluminum yang berwarna hitam dan putih. Model berwarna hitam tampil dengan lampu LED berwarna merah, manakala model berwarna putih hadir dengan lampu LED berwarna biru. Warna LED ini juga ada fungsinya yang akan kami jelaskan sebentar lagi.
Dari segi sambungan, anda boleh menyambungkan mikrofon ini ke komputer anda menggunakan kabel USB Type-C ke Type-C yang disertakan dengan mikrofon ini dengan penyesuai palam Type-C ke Type-A. Jika anda pernah memiliki mikrofon HyperX QuadCast sebelum ini, palam Micro-USB yang hadir pada model sebelum ini telah digantikan dengan palam USB Type-C pada model terbaru.


Sama juga seperti model sebelumnya, mikrofon QuadCast 2 hadir dengan tapak yang juga menjadi penyerap gegaran untuk memastikan bahawa kedudukan mikrofon stabil, dan tidak menangkap atau menghasilkan bunyi hingar.
Jika anda mahu menggunakan tapak mikrofon anda sendiri, anda juga boleh mencabut mikrofon ini daripada tapak asal dengan mudah. Anda hanya perlu memusing kepala mikrofon tersebut sedikit dan menariknya keluar. Dalam pada itu, anda juga masih boleh menggunakan shock mount bersama tapak sedia ada anda, dengan hanya membuka tapak permukaan mikrofon ini.

Di bahagian atas mikrofon ini ialah butang bisu audio untuk membolehkan pengguna membisukan mikrofon mereka dengan cepat. Lampu pencahayaan LED di sekeliling mikrofon ini akan malap sekiranya fungsi bisu diaktifkan, dan akan kembali menyala seperti biasa apabila ia dimatikan.
Sebagai mikrofon USB serbaguna, HyperX QuadCast ini juga hadir dengan empat pola penggunaan berbeza, termasuklah Cardioid, untuk penggunaan ataupun rakaman sendiri, Omnidirectional untuk rakaman ataupun perbualan berkumpulan dari pelbagai sudut, Bi-directional untuk rakaman perbualan muka ke muka dan Stereo untuk rakaman nyanyian vokal, instrumental dan rakaman audio yang memerlukan audio yang lebih mendalam.

Satu lagi ciri baru dapat diperlihatkan pada butang tombol laras kelantangan audio di bahagian bawah mikrofon. Butang tombol ini hadir dengan beberapa fungsi, termasuklah untuk melaraskan tahap audio pada mikrofon dan juga fon telinga yang boleh dipasang melalui palam audio 3.5mm yang terbina pada mikrofon ini.
Butang tombol ini juga boleh ditekan seketika untuk mengubah jenis input, manakala jika butang ini ditekan dengan lama, ia boleh mengubahsuai mod pola mikrofon ini. Bergantung kepada mod yang digunakan, lampu pencahayaan di bahagian atas akan menandakan mod apakah yang digunapakai pada masa tersebut. 1 lampu untuk mod Cardioid, dua lampu bertentangan menegak untuk mod Bidirectional, dua lampu bertentangan mendatar untuk mod Stereo dan empat lampu menyala untuk mod Omnidirectional.

Anda juga boleh menggunakan perisian HyperX Ngenuity yang membolehkan anda mengubahsuai pola penggunaan dan juga corak lampu pada mikrofon ini.
Pengalaman Penggunaan
Mikrofon HyperX QuadCast 2 ini sangat mudah digunakan. Secara teknikalnya, anda hanya perlu mencucuk mikrofon ini kepada komputer anda melalui kabel USB yang disediakan, dan anda boleh terus menggunakannya.
Seperti yang dikatakan, semua ciri-ciri yang boleh diakses pada mikrofon ini sudahpun boleh diakses secara terus daripada mikrofon, seperti pembisuan, mengubah radius rakaman suara mikrofon, menguatkan kelantangan fon telinga yang disambungkan kepada mikrofon dan mengubah pola rakaman mikrofon.

Untuk pengguna biasa yang menggunakan mikrofon ini untuk panggilan Discord, TeamSpeak dan sebagainya, kualiti rakaman sedia ada pada mikrofon ini cukup berkualiti dan tiada perubahan yang perlu dilakukan.
Tetapi katakan anda mahu memulakan siri video podsiar anda sendiri, ataupun mahu menggunakan mikrofon ini untuk video temubual dan sebagainya, anda boleh menggunakan pelbagai jenis perisian ubahsuai tetapan mikrofon seperti Voicemeeter Potato untuk mengubahsuai kualiti rakaman audio melalui mikrofon ini.
Dalam pada itu, mikrofon ini juga boleh disambungkan kepada pelbagai jenis komputer dan peranti, termasuklah PC Windows, MacOS, konsol Sony PlayStation 5, Microsoft Xbox Series X/S, Nintendo Switch dan konsol-konsol PC mudah-alih seperti ASUS ROG Ally ataupun Lenovo Legion Go.




Satu lagi ciri yang sangat membantu, khususnya jika anda seorang penstrim profesional yang sudahpun mempunyai setup meja sendiri yang lengkap dengan pemegang mikrofon, anda boleh menggunakan pemegang anda sendiri untuk melengkapkan setup penstriman anda dengan mikrofon ini.
Satu lagi ciri yang saya cukup suka pada mikrofon ini adalah berkaitan dengan mod-mod pola rakaman mikrofon. Seperti yang dikatakan, lampu yang menyala pada bahagian atas akan menandakan mod yang digunakan. Tetapi lebih daripada itu, ia juga menandakan lokasi komponen elemen yang aktif, dan ini memberitahu anda apakah kedudukan paling optimal untuk rakaman terbaik.
Kualiti rakaman dalam mod Cardioid dan Bidirectional pada pendapat saya adalah cukup baik, tetapi untuk mod Omnidirectional yang digunakan untuk merakam lebih daripada dua suara yang duduk di lokasi-lokasi berlainan, mikrofon ini mungkin akan menghadapi sedikit masalah untuk menangkap suara jika peserta duduk jauh daripada kedudukan mikrofon.

Untuk kualiti rakaman terbaik, anda akan perlu meningkatkan tahap sensitiviti rakaman mikrofon dan pastikan semua peserta perbualan duduk di sekeliling mikrofon pada jarak yang sama.
Satu lagi kritikan saya mengenai mikrofon HyperX QuadCast 2 ini mungkin hanyalah berkenaan perisian HyperX Ngenuity, dimana pada pendapat saya fungsinya terlalu sedikit untuk justifikasi memasang perisian khusus untuknya.

Saya juga mengharapkan bahawa perisian HyperX Ngenuity tampil dengan fungsi mengubahsuai kualiti audio mikrofon untuk memberi pengguna lebih banyak pilihan berkenaan kualiti audio rakaman mikrofon ini.
Kualiti Rakaman Suara
Kami telah menguji kualiti rakaman suara mikrofon HyperX QuadCast 2, dan ini adalah sampel rakaman tersebut yang dirakam terus ke komputer.
Cardioid
Bidirectional
Omnidirectional
Ada Apa Dalam Kotak

Ini adalah apa yang anda akan dapat apabila anda membeli mikrofon HyperX QuadCast 2:
- 1x mikrofon HyperX QuadCast 2
- 1x kabel USB Type-C ke USB Type-C
- 1x penyesuai USB Type-C ke USB Type-A
- Manual pengguna
Penutup

Mikrofon HyperX QuadCast 2 kini ditawarkan di pasaran tempatan pada harga RM699. Harganya agak keras, tetapi melihat kepada kemampuannya untuk memenuhi pelbagai jenis penggunaan, bagi saya ia agak berbaloi jika anda mahu menaiktarafkan setup penstriman anda kepada aksesori-aksesori yang lebih berkualiti.
Pro:
- Mudah dipasang dan digunakan
- Kualiti rakaman audio baik
- Banyak fungsi rakaman
- Boleh digunakan dengan perisian pengubahsuaian kualiti rakaman audio pihak ketiga
- Kualiti binaan baik
Kontra:
- Perisian tidak menawarkan fungsi pengubahsuaian mencukupi
- Tidak begitu sesuai untuk perbualan beramai-ramai di sekeliling mikrofon


