Siri komputer riba Lenovo Yoga cukup terkenal untuk rekaan yang membolehkan bahagian paparannya untuk dipusing 360 darjah dan digunakan sebagai sebuah tablet gergasi untuk tujuan kolaborasi dan perkongsian maklumat yang mudah.

Terkini, kami telah diberi peluang untuk mengulas komputer riba Lenovo Yoga 7a 2-in-1 Gen11 yang hadir dengan rekaan serba nipis dan ringan dan dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD yang terbaru. Komputer riba yang ditawarkan Lenovo sering hadir dengan gimik yang unik, dan kali ini, gabungan dengan komponen AMD adalah sesuatu yang cukup menarik sekali.
Spesifikasi Dan Rekaan
| Nama Model | Lenovo Yoga 7a 2-in-1 Gen 11 |
| Saiz Paparan | 14.0 2880×1800, 16:10, 60Hz, 500 nits |
| Pemproses | AMD Ryzen AI 7 445 16 Teras |
| Cip Grafik | AMD Radeon 8400M |
| RAM | 24GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 512GB M.2 NVMe PCIe 4.0 SSD |
| Kamera | Full HD 1080P |
| Palam I/O | 2 x USB 3.2 Gen 2 Type-C 1 x USB 3.2 Gen 1 Type-A 1 x HDMI 2.1 1 x bicu audio 3.5mm 1 x pembaca kad MicroSD |
| Sistem Operasi | Windows 11 Home |
| Sekuriti | Kamera (Windows Hello) |
| Bateri | 70WHrs, 4-cell Li-ion Pengecas 65W |
| Harga | RM5450.59 |
Bermula dengan spesifikasi komputer riba ini, Lenovo Yoga 7a 2-in-1 yang dihantar kepada kami hadir dengan paparan skrin OLED PureSight Pro dengan ciri sesentuh pada saiz 14 inci dengan resolusi 19201200 dengan kadar segar semula 60Hz dan nilai kecerahan 500 nits. Pengguna juga mempunyai pilihan paparan OLED dengan resolusi 3K dan kadar segar semula 120Hz sekiranya mereka mahu.

Dari segi olahan warna, paparan PureSight Pro ini tampil dengan kebolehan untuk mengolah 100 peratus daripada gamut warna sRGB dan DCI-P3 dan 99 peratus daripada gamut warna Adobe RGB dengan delta kejituan warna E<1. Ini sedikit sebanyak bermakna bahawa tidak kira anda gunakan komputer riba ini untuk tujuan membuat kerja rekaan 2D, 3D ataupun untuk menonton video-video, siri televisyen dan filem kegemaran anda, paparan skrin ini akan memaparkan visual yang terbaik dalam sebuah komputer riba.
Apa yang saya suka juga ialah oleh kerana panel yang digunakan berasaskan OLED, ia juga mempunyai sudut pandangan yang sangat lebar sekali, jadi anda boleh menetapkan kedudukan komputer riba ini mengikut keselesaan anda tanpa perlu risau tentang sudut pandangan. Ini juga memudahkan anda untuk berkongsi paparan untuk tujuan kolaborasi berkumpulan bersama-sama rakan sekerja anda.

Dari segi konfigurasi dalaman pula, komputer riba ini dimuatkan dengan cip pemprosesan AMD Ryzen AI 7 445, 24GB memori LPDDR5X dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 512GB. Untuk bahagian grafik pula, APU ini tampil dengan cip grafik AMD Radeon 840M terbina yang cukup berkuasa untuk menggerakkan sejumlah permainan pada resolusi 720p dan 1080p, bergantung kepada resolusi dan tetapan grafik.

Dari segi rekaan komputer riba ini pula, Lenovo Yoga 7a ini hadir dengan rekaan yang tidak begitu berbeza dengan model-model Lenovo Yoga yang pernah kami ulas sebelum ini. Tetapi ini bukanlah sesuatu yang tidak baik kerana ia masih lagi sebuah komputer riba yang ringan dan tampil dengan pelbagai ciri-ciri yang menjadikan komputer riba ini mudah digunakan.
Dari segi sokongan palam pula, tablet ini tampil dengan dua palam USB Type-C 10Gbps dengan sokongan pengecasan, satu palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1 yang boleh disambungkan ke paparan skrin beresolusi 4K60, satu pembaca kad microSD dan satu palam audio 3.5mm.


Dalam pada itu, butang kuasa komputer riba ini juga dimuatkan pada bahagian sisi kiri komputer riba ini, sama seperti semua komputer riba Lenovo Yoga yang lain sebelum ini.
Dari segi bateri, Lenovo Yoga 7a Gen 11 dimuatkan dengan bateri bersaiz 70WHr yang mungkin dilihat tidak begitu berbeza apabila dibandingkan dengan banyak komputer riba lain, tetapi dalam pengalaman saya menggunakan komputer riba ini, saya boleh mendapatkan jumlah masa penggunaan kira-kira 13-14 jam dengan satu pengecasan penuh, dengan nilai kecerahan paparan ditetapkan pada kira-kira 50 peratus.
Paparan PureSight Pro komputer riba ini yang boleh diterbalikkan 360 darjah ini pada pendapat saya masihlah suatu gimik, akan tetapi, apabila digunakan dalam mod tertentu seperti mod khemah (Tent), ia boleh dijadikan sebuah paparan skrin “tablet” yang boleh berdiri dengan sendiri yang sesuai digunakan untuk menonton video, siri televisyen dan filem kegemaran di platform-platform penstriman video kegemaran anda.

Berat 1.4kg, untuk sebuah komputer riba adalah cukup ringan sekali, akan tetapi apabila komputer riba ini digunakan dalam mod tablet, saya sedikit risau apabila memegangnya pada bahagian paparan kerana risau genggaman tersebut akan merosakkan paparan ini. Walaupun begitu, kami tidak menghadapi masalah tersebut sepanjang penggunaan komputer riba ini.

Jika anda seorang artis digital, anda juga boleh membeli aksesori pena stylus Lenovo Yoga Pen 2 yang merupakan sebuah pena stylus aktif AES 3.0 dengan bateri terbina dan sokongan sebanyak 8192 tahap tekanan dan menyokong input condongan 3D dari pelbagai arah, sangat sesuai untuk pelbagai jenis input khususnya untuk lukisan digital.
Pengalaman Pengguna
Siri komputer riba Lenovo adalah diantara jenama kegemaran saya kerana fokus kepada prestasi dan keselesaan penggunaan. Saya akan selalu mengatakan bahawa bahagian papan kekunci komputer riba Lenovo adalah antara yang terbaik di pasaran sekarang untuk komputer riba, dan ia tidak berubah dengan Lenovo Yoga 7a Gen 11 ini.

Sebagai seorang penulis yang menaip setiap hari, rekaan papan kekunci bersaiz ‘Chiclet’ dengan lengkungan klasik dengan jarak pengaktifan kekunci yang dalam. Keselesaan papan kekunci ini, pada pendapat saya masih belum dapat ditandingi oleh mana-mana jenama komputer riba lain setakat ini, dan ini adalah satu kelebihan utama untuk Lenovo.
Dari segi prestasi perkomputeran pula, Lenovo Yoga 7a dengan cip pemprosesan AMD Ryzen AI 7 445 dan 24GB RAM terbina mempunyai prestasi yang cukup lancar sekali. Sebagai sebuah komputer riba produktiviti pejabat, komputer riba ini mungkin dilihat sebagai sedikit overkill kerana cip pemprosesan yang digunakan mungkin dilihat lebih sesuai digunakan sebagai sebuah cip untuk komputer riba kelas gaming ataupun pemprosesan AI.

Bercakap tentang gaming saya boleh menggerakkan permainan-permainan seperti Honkai Star Rail dan Zenless Zone Zero tanpa begitu banyak masalah pada resolusi 1080p. Walaupun begitu, menggerakkan permainan-permainan komputer sebegini akan menyebabkan komputer riba menjadi panas apabila dimainkan walaupun pada jangkamasa yang tidak begitu lama (1-2 jam).
Dari segi kualiti audio pula, komputer riba ini dilengkapi dengan empat pembesar suara 2W di bahagian sisi, dan pada pendapat saya, mempunyai kelantangan audio yang cukup kuat tetapi masih mengekalkan kualiti audio yang jelas. Dari segi bass pula, bagi saya ia mungkin sedikit kurang kerana ketiadaan komponen bass tersendiri, tetapi ia bukanlah isu yang begitu besar.

Untuk penggunaan keseluruhan, saya suka bahawa komputer riba ini hadir dengan prestasi produktiviti dan riadah yang sangat baik, dan kebolehan untuk melakukannya dengan jangka hayat bateri yang sangat lama. Berat yang ringan juga membolehkan komputer riba ini dibawa kemana-mana didalam beg galas, yang mana untuk tahun 2026, boleh dikatakan sebagai satu keperluan wajib untuk mana-mana komputer riba produktiviti moden.
Penanda Aras
Ini adalah skor penanda-aras untuk komputer riba Lenovo Yoga 7a 2-in-1 Gen 11.
PCMark 10

CrystalDiskmark

Ada Apa Dalam Kotak

Ini adalah apa yang ditawarkan didalam kotak apabila anda membeli komputer riba Lenovo Yoga 7a 2-in-1 Gen 11 ini:
- 1x Lenovo Yoga 7a 2-in-1 Gen 11
- 1x bongkah pengecas dan kabel pengecasan USB Type-C
- Manual
Seperti yang kami katakan sebelum ini, pena Lenovo Yoga Pen 2 boleh dibeli secara berasingan.
Penutup
Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba dengan fokus produktiviti, rekaan yang ringkas tetapi masih mempunyai ciri-ciri menariknya tersendiri, Lenovo Yoga 7a 2-in-1 Gen 11 ini mungkin adalah sesuatu yang anda boleh pertimbangkan.

Di laman web Lenovo Malaysia, komputer riba ini dengan konfigurasi yang kami ulas ini ditawarkan pada harga RM5,540.85, yang menariknya adalah salah satu daripada konfigurasi yang tertinggi. Anda juga boleh memilih untuk menggunakan model CPU yang berbeza, yang juga akan menurunkan tanda harga komputer riba ini sedikit.
Pro:
- Rekaan yang ringkas dan padat
- Prestasi produktiviti dan riadah yang sangat baik
- Papan kekunci yang selesa digunakan
- Peranti cerah dengan olahan warna jitu, boleh dipusing 360 darjah
- Bateri tahan lama
Kontra:
- Cepat panas sewaktu sesi gaming






