Perkara pertama yang saya lakukan apabila mula menggunakan Realme C100 ialah menurunkan jangkaan. Saya sedar ia bukan telefon kelas mercu, jadi tidak wajar dibandingkan dengan peranti mercu atau pertengahan premium. Realme C100 sememangnya ditujukan untuk pengguna permulaan. Sepanjang penggunaan, telefon ini terasa tahan lasak dan mesra bajet. Baterinya tahan lama, binaannya kukuh, dan skrin besar memberi keselesaan ketika menonton video atau membaca mesej. Ia sesuai untuk mereka yang lebih mengutamakan ketahanan dan kegunaan harian berbanding prestasi tinggi. Inilah ulasan penuh tentang Realme C100.

Pengalaman Penggunaan
Saya masih ingat kali terakhir mengulas siri C daripada Realme iaitu Realme C12 sekitar tahun 2018 kerana ketika itu konsepnya jelas iaitu sebuah telefon bajet yang menekankan kepada ketahanan bateri serta binaan lasak. Kini, dengan kehadiran Realme C100, konsep tersebut seolah-olah disambung kembali. Telefon ini sekali lagi menekankan bahawa ia bukanlah dibuat untuk mengejar prestasi tinggi, tetapi lebih kepada memberi keyakinan kepada pengguna yang mahukan telefon yang boleh diharap untuk tugasan harian. Ia mengekalkan identiti siri C sebagai pilihan bajet yang praktikal dengan fokus kepada bateri besar, paparan skrin luas, dan ketahanan asas yang sesuai untuk kegunaan seharian.

Sepanjang lebih seminggu saya menggunakan Realme C100, pengalaman terasa seperti kembali ke asas. Telefon ini memang bukan pilihan bagi mereka yang mahukan kamera canggih atau prestasi permainan yang hebat. Namun begitu, untuk tugasan harian seperti membuat panggilan, menghantar mesej, menonton video, atau melayari media sosial, ia dirasakan sudah cukup memadai.

Tubuh Realme C100 terasa kukuh di tangan sehingga seakan-akan memberi mesej bahawa ia mungkin bukan yang terpantas tetapi mampu bertahan sepanjang hari. Pengalaman memegangnya juga selesa kerana tidak banyak kelemahan yang boleh dikritik malah rekaan tubuhnya menunjukkan konsistensi Realme dalam menghasilkan peranti yang mesra pengguna. Gabungan tubuh berkotak dengan sisi bersegi turut memberikan genggaman yang baik kerana ia tidak menyakitkan tangan dan terasa lebih stabil ketika dipegang. Komen sebegini sering saya berikan pada peranti dengan rekaan bersegi atau berkotak, dan Realme C100 sekali lagi berjaya mengekalkan keseimbangan tersebut melalui rekaan ringkas yang selesa digunakan.

Susun atur butang dan port pada Realme C100 masih mengekalkan gaya kebiasaan Realme kerana pada bahagian kanan terdapat butang kuasa bersama laras audio, manakala bahagian kiri pula dibiarkan kosong. Seterusnya, di bahagian bawah terletak pembesar suara, ruang slot SIM dan port USB-C yang kini menjadi standard pada kebanyakan telefon pintar. Walau bagaimanapun, satu perkara yang benar-benar menarik perhatian ialah kehadiran bicu audio 3.5mm kerana pada tahun 2026 telefon pintar dengan bicu audio sudah dianggap jarang ditemui. Malah, kebanyakan jenama telah membuang ciri tersebut dan menggantikannya dengan port USB-C.

Meskipun ada yang berpendapat bahawa kewujudan bicu audio pada masa kini tidak lagi relevan, bagi saya ia tetap sesuatu yang menarik kerana ciri ini memberikan nilai tambah yang tidak lagi ditawarkan oleh banyak peranti moden. Tambahan pula, penggunaan fon telinga berwayar kini kembali menjadi tumpuan dan dianggap sebagai gaya baharu. Justeru, keputusan Realme untuk mengekalkan bicu audio 3.5mm ini boleh dianggap tepat serta memberi kelebihan kepada pengguna yang masih mengutamakan pengalaman audio tradisional.

Sekiranya saya boleh memberikan komen tentang kebolehan sistem audionya, Realme C100 hadir dengan pembesar suara mono yang mampu mencapai tahap bunyi sehingga kira-kira 300 peratus. Meskipun begitu, kualiti bunyinya tidak begitu meyakinkan kerana kedengaran agak hambar dan kurang lantang. Sebagai contoh, ketika mendengar jeritan ikonik Chester Bennington pada korus terakhir dalam lagu Given Up oleh Linkin Park, bunyinya kedengaran berselerak, tidak seimbang malah agak bingit.

Audio yang dihasilkan terasa pecah serta tidak cukup kuat untuk memberikan pengalaman mendengar yang memuaskan. Secara keseluruhan, sistem audio Realme C100 boleh dianggap sekadar memadai untuk kegunaan asas seperti menonton video atau menjawab panggilan. Namun begitu, ia bukanlah pilihan bagi mereka yang mementingkan kualiti bunyi yang mantap untuk muzik atau hiburan.

Kalau menyentuh tentang skrin, Realme C100 sebenarnya tiada masalah dari segi saiz kerana ia hadir dengan paparan 6.7 inci yang boleh dianggap standard bagi kebanyakan telefon pintar masa kini. Saiz ini memberikan keselesaan ketika dipegang serta digenggam, selain memudahkan aktiviti harian seperti menonton video, membaca mesej, atau melayari media sosial. Namun begitu, resolusi yang ditawarkan hanyalah HD+, menjadikan paparan kurang tajam dan tidak begitu menyerlah jika dibandingkan dengan resolusi lebih tinggi. Walaupun demikian, untuk kegunaan asas harian, ia masih memadai dan tidak menjejaskan fungsi utama peranti.

Realme turut mempromosikan kadar segar semula sehingga 144Hz. Secara teori, kadar segar semula tinggi sepatutnya memberikan kelancaran ketika menatal dan berinteraksi dengan skrin. Namun, pengalaman sebenar tidak sepenuhnya menepati jangkaan kerana terdapat masalah tatalan yang tidak lancar dan kerap tersekat. Hal ini menunjukkan bahawa kadar segar semula tinggi bukanlah satu keperluan penting kerana tidak semua aplikasi menyokong sehingga 144Hz. Akhirnya, penggunaan tetapan lebih rendah menjadikan paparan lebih stabil serta konsisten dalam masa nyata.

Senang kata, skrin Realme C100 memberikan pengalaman yang sederhana. Saiznya besar dan selesa digunakan, tetapi resolusi HD+ serta prestasi kadar segar semula yang tidak begitu menyerlah menjadikannya lebih sesuai untuk pengguna yang mahukan fungsi asas berbanding kelancaran paparan premium. Seterusnya, sensor cap jari sisi berfungsi dengan baik dari segi kelajuan imbasan, walaupun proses tetapan awal agak lambat. Walau bagaimanapun, hal ini tidak terlalu mengganggu kerana kedudukannya lebih praktikal.
Perkakasan Dalaman – Mediatek Dimensity 6300
Realme C100 dengan cip MediaTek Dimensity 6300, memori 4GB RAM dan storan dalaman 256GB sesuai untuk tugasan asas tetapi di tahun 2026 kapasiti RAM sebegitu terasa agak ketinggalan. Banyak aplikasi moden dan sistem operasi kini lebih lancar dengan sekurang-kurangnya 6GB atau 8GB RAM, jadi 4GB membuatkan pengalaman multitugas terasa terbatas. Dalam ujian prestasi, skor Antutu yang berhenti sekitar 85% selepas lima minit menunjukkan tahap prestasi sederhana walaupun ia kembali berjalan seperti biasa selepas itu. Dari segi suhu, tiada masalah kepanasan melampau, hanya terasa sedikit suam, yang boleh dianggap positif untuk telefon bajet.
- Samsung Galaxy A37 5G – Exynos 1480 (4nm)
- Infinix Note Edge – Dimensity 7100 (6nm)
- Honor 600 Lite – Dimensity 7100 Elite (6nm)
- Nothing Phone (3a) – Snapdragon 7s Gen 3 (4nm)
AnTuTu 3D
| Peranti | Skor |
| Realme C100 | 577,629 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1,059,377 |
| Honor 600 Lite | 726,401 |
| Infinix Note Edge | 805,806 |
| Nothing Phone (3a) | 803,992 |
Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Realme C100 | 663 | 1758 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1138 | 3489 |
| Honor 600 Lite | 867 | 2660 |
| Infinix Note Edge | 972 | 2827 |
| Nothing Phone (3a) | 1146 | 3123 |
3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Realme C100 | 383 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1042 |
| Honor 600 Lite | 640 |
| Infinix Note Edge | 692 |
| Nothing Phone (3a) | 1043 |
Pengalaman menaip pada Realme C100 masih menunjukkan sedikit kelewatan, dengan lag beberapa saat sebelum respons muncul. Menonton video pada resolusi 1080P boleh dianggap memadai, tetapi tidak sepenuhnya lancar. Aktiviti menaip juga terasa agak perlahan, sekadar “okay okay” sahaja dan tidak sepantas peranti kelas lebih tinggi. Oleh itu, cip Mediatek Dimensity 6300 yang digunakan pada Realme C100 memberikan prestasi asas yang mencukupi untuk kegunaan harian. Telefon ini sesuai bagi pengguna bajet yang mahukan fungsi stabil, tetapi kurang sesuai untuk mereka yang mengutamakan kelancaran atau prestasi tinggi.


Realme C100 turut menjalankan realme UI 7.0 berasaskan Android 16. Antara ciri yang ditawarkan termasuklah antaramuka baharu dengan rekaan ringkas serta moden, pilihan mod paparan seperti Vivid dan Neutral serta kadar segar semula sehingga 144Hz (walaupun pengalaman sebenar tidak sepenuhnya lancar). Selain itu, sistem ini menyediakan pengurusan bateri yang lebih cekap, termasuk penggunaan tenaga rendah ketika berada dalam Standby Mode. Telefon ini juga dilengkapi dengan sensor cap jari sisi yang diintegrasikan dengan antara muka untuk imbasan pantas. Pengguna turut diberikan tetapan paparan bebas bagi menukar kadar segar semula mengikut keperluan, di samping fungsi keselamatan asas seperti perlindungan sistem dan kawalan keselamatan standard.

Namun begitu, tidak semua ciri penuh realme UI 7.0 hadir pada Realme C100 kerana ia merupakan sebuah telefon bajet. Ciri-ciri premium seperti integrasi rentas peranti dengan iPhone atau Mac, penyesuaian mendalam termasuk animasi cap jari boleh ubah serta paparan Always-On Display menarik dan fungsi fotografi berasaskan AI yang lebih canggih tidak ditawarkan.
Kamera Dan Kualiti Gambar
Sebagai sebuah telefon bajet, sistem kamera Realme C100 memberikan pengalaman yang sederhana. Dari segi kualiti gambar, tahap kecerahan dan kepekatan warna kelihatan lebih seimbang serta tidak terlalu tinggi, sekali gus menjadikan hasil tangkapan tampak lebih semula jadi. Namun begitu, kelemahan tertentu masih jelas kelihatan khususnya apabila dibandingkan dengan peranti kelas pertengahan atau premium.



Dalam keadaan cahaya rendah, gambar mudah memperlihatkan hingar walaupun tahapnya masih boleh diterima. Sebaliknya, apabila berada dalam pencahayaan terang, hasil tangkapan cenderung terlebih dedahan dengan highlight yang agak tinggi. Selain itu, ketajaman imej juga kurang memuaskan, khususnya apabila gambar dizum atau dipotong kerana pengesanan tepi tidak begitu tepat. Tambahan pula, penggunaan zum digital menambahkan lagi hingar walaupun pada waktu siang.


Fungsi asas kamera UI pada Realme C100 hanya menawarkan zum digital, mod biasa, dan mod potret asas. Namun demikian, aplikasi kamera terasa agak perlahan dan kadang-kadang mengalami lengah masa, sekali gus menjejaskan pengalaman keseluruhan. Fungsi yang disediakan juga bersifat asas semata-mata tanpa ciri tambahan yang menarik.





Fungsi kamera pada Realme C100 jelas menunjukkan ia lebih kepada kegunaan asas berbanding ciri premium. Live Photo hanya boleh digunakan dalam mod biasa tanpa penuras, manakala alatan suntingan dalam realme UI 7.0 sekadar menyediakan fungsi asas seperti crop, adjust dan filter ringkas. Ia cukup untuk ubah suai cepat sebelum dikongsi di media sosial, tetapi tidak menawarkan ciri lanjutan seperti AI Framing Master atau suntingan berlapis yang biasanya ada pada model lebih mahal.
Untuk rakaman video, Realme C100 hanya menyokong sehingga 1080p pada 30fps di mana sesuai untuk kegunaan harian tetapi terhad jika dibandingkan dengan telefon pertengahan yang sudah menyokong 4K. Kamera utama pula boleh menghasilkan gambar resolusi tinggi sehingga 50MP, namun ketiadaan lensa ultra lebar mengehadkan kebebasan. Cara terbaik untuk mendapatkan hasil yang konsisten ialah menggunakan jarak fokus 1x tanpa dipangkas.
Bateri Dan Pengecasan
Realme C100 hadir dengan kapasiti bateri besar 7000mAh yang pada pandangan pertama kelihatan mengagumkan, seolah-olah mampu bertahan seharian tanpa masalah. Namun, apabila digunakan dalam kehidupan harian, prestasinya tidaklah sehebat yang dijangka. Dalam penggunaan biasa, bateri bertahan sekitar 7 hingga 9 jam (SOT) selepas dicas penuh, terutamanya jika digunakan untuk menaip atau melakukan panggilan video yang panjang. Sebagai contoh, bateri pernah turun daripada 44% ke 35% dalam masa kira-kira dua jam lebih, dan kemudian berkurangan lagi ke 25% dalam masa hampir dua jam.
Daripada corak ini, jelas bahawa kapasiti besar tidak semestinya menjamin ketahanan sebenar yang mantap. Angka 7000mAh memang meyakinkan di atas kertas, tetapi prestasi sebenar bergantung pada cara penggunaan, tahap optimisasi perisian, serta kecekapan sistem telefon mengurus tenaga. Kesimpulannya, bateri Realme C100 cukup baik untuk kegunaan harian sederhana. Ia boleh bertahan sepanjang hari dengan aktiviti biasa, tetapi jika digunakan untuk aplikasi berat atau panggilan video berjam-jam, ketahanannya mungkin lebih cepat susut daripada jangkaan.
Kesimpulan
Realme C100 boleh dianggap sebagai sebuah telefon bajet yang menekankan kepada ketahanan bateri, paparan skrin besar, dan prestasi asas yang stabil. Ia hadir dengan bateri 7000mAh, paparan 6.7 inci dengan kadar segar semula sehingga 144Hz, serta cip Mediatek Dimensity 6300 bersama memori 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Semua ini menjadikan peranti ini sesuai untuk kegunaan harian seperti mesej, media sosial, panggilan video, dan tontonan kandungan.

Bagaimanapun, kelemahan jelas dapat dilihat pada kamera yang sederhana, resolusi skrin HD+ yang tidak begitu tajam, serta prestasi yang kadang-kadang menunjukkan lag ketika menaip atau menatal. Tambahan pula, walaupun kadar segar semula tinggi dipromosikan, pengalaman sebenar tidak sepenuhnya lancar kerana sokongan aplikasi yang terhad. Kamera pula hanya menyokong rakaman video 1080p pada 30fps tanpa lensa ultra lebar sekali gus menjadikan pilihan fotografi agak terbatas.
Secara keseluruhan, Realme C100 patut dipertimbangkan jika anda mencari telefon bajet dengan bateri besar yang mampu bertahan lama, sesuai untuk kegunaan asas dan tidak terlalu menitikberatkan aspek kamera atau kelancaran premium. Namun, bagi pengguna yang mengutamakan fotografi canggih, paparan resolusi tinggi, atau prestasi yang lancar, telefon ini mungkin tidak memenuhi jangkaan. Dengan harga yang mampu milik, ia lebih sesuai untuk pelajar, pekerja yang memerlukan telefon kedua, atau pengguna yang mahukan peranti praktikal untuk tugasan harian. Ia mengekalkan identiti siri C sebagai telefon bajet yang ringkas, tahan lasak, dan boleh diharap untuk kegunaan seharian.
Pro
- Bateri besar 7000mAh cukup untuk harian.
- Paparan 144Hz dengan pilihan Vivid/Neutral.
- Rekaan ringkas dan moden, sesuai untuk telefon bajet.
- Cip Dimensity 6300 cukup untuk tugasan asas harian.
- Antaramuka terkini dengan kawalan bateri lebih cekap.
- Sensor cap jari sisi yang pantas dan praktikal.
Kontra
- Prestasi sederhana.
- Kamera asas, hingar rendah, highlight berlebihan.
- Suntingan asas tanpa AI tambahan.
- Aplikasi kamera kadang-kadang perlahan dan mengalami lag.
- Audio asas dengan kualiti biasa.




