
Fakta yang tidak boleh dinafikan ialah siri Galaxy Ultra sudah beberapa tahun mengitar semula spesifikasi lama. Fakta juga perubahan yang dilakukan adalah minimalis jika dibandingkan dengan yang dilakukan pengeluar dari China. Satu lagi fakta ialah tumpuan Samsung akhir-akhir ini ialah pada perisian yang disokong lebih lama serta eksklusif untuk satu tempoh. Maka tahun ini mereka akhirnya berani menawarkan ciri baharu tetapi adakah semuanya sudah terlambat?
SPESIFIKASI
| Samsung Galaxy S26 Ultra | |
| Skrin | 6.9″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO WQHD+, 120Hz, HDR10+ Corning Gorilla Armor 2 |
| Pemproses | Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy (3nm) |
| Cip | 2x Oryon V3 Phoenix L 4.74 GHz 6 xOryon V3 Phoenix M 3.62 GHz |
| GPU | Adreno 840 |
| RAM | 12/16GB LPDDRR5x 12GB Memori maya |
| Storan | 512/1000 GB UFS 4.0 |
| Kamera Utama | 200MP f/1.4, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/1.9 (Ultra Sudut Lebar) 10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X) 50MP f/2.9, OIS (Telefoto 5X) |
| Kamera Hadapan | 12 MP f/2.2 |
| Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 60W Pengecasan nirwayar 25W Berbalik 4.5W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM/5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin ultrasonik Imbasan wajah |
| Harga | RM 6799 (12/512GB) RM 7999 (16/1000GB) |
SKRIN
Skrin adalah sebesar 6.9″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz LTPO dan sokongan HDR10+. Sama seperti. tahun lalu dengan bezel nipis, lapisan anti pantulan DX dan sokongan stylus S-Pen secara terbina. Paparan warna adalah terang dan cantik. Di bawah sinaran matahari yang terik, skrin cukup terang untuk dilihat. Terdapat lapisan anti pantulan yang membantu skrin untuk kelihatan lebih jelas.

Hero tahun ini ialah sistem Privacy Display yang menyukarkan skrin diintip atau diintai orang bersebelahan. Ia berfungsi seperti diiklankan dengan terdapat dua mod tetapan boleh diaktifkan. Mod pertama ialah hanya diaktifkan pada aplikasi tertentu, notifikasi yang diterima, skrin kata laluan atau memasukkan corak skrin kunci. Mod kedua meningkatkan tahap privasi dengan ia diaktifkan setiap masa.

Ciri ini berguna bagi mereka yang menaiki pengangkutan awam untuk ke tempat kerja atau benci skrin dilihat rakan sekerja. Namun begitu apabila Privacy Display diaktifkan sepanjang masa, warna skrin nampak sedikit kelam dan keterangan dikurangkan.
BIOMETRI

Sebuah pengimbas cap jari ultrasonik diletakkan di bawah skrin dengan kedudukannya memudahkan jari diimbas apabila diperlukan. Cukup ergonomik lebih-lebih lagi apabila peranti digunakan hanya di sebelah tangan. Sistem imbasan wajah juga pantas dan tepat. Dalam keadaan sedikit kelam ia masih cukup berkemampuan mengesan wajah.
Hanya dalam keadaan gelap gelita wajah perlu hampir depan kamera supaya cahaya skrin boleh menerangkan wajah. Kedua-dua sistem biometri berfungsi dengan pantas tetapi hanya imbasan cap jari boleh digunakan untuk aplikasi perbankan atau pengesahan identiti akaun seperti Google.
REKAAN
Bucu telefon semakin dibulatkan dan sedikit demi sedikit DNA Galaxy Note yang berkotak dikikis. Saya hanya akui saya lebih sukakan rekaan skrin dan tubuh empat segi kerana ia kelihatan lebih teguh, cantik dan unik. Tidak banyak peranti dengan tubuh empat segi tanpa bucu bulat di pasaran.
Kerangka titanium tidak lagi diteruskan dengan kita kembali kepada Armour Aluminium yang diperkenalkan tiga tahun lalu. Peranti terasa sedikit lebih berat tetapi masih selesa dalam tangan. Sebagai pengguna kerangka tahan lasak, saya tidak merindui kehilangan kerangka titanium. Saya masih percaya ia sekadar gimik yang dipinjam daripada Apple.

Tubuh berkotak di bahagian sisi memberikan ruang meletakkan jari yang cukup luas. Pada sisi kanan terdapat butang laras audio dan butang kuasa merangkap seruan Google Gemini/Bixby. Pada bahagian atas terdapat butang mikrofon. Kekisi speaker atas diletakkan berhampiran lubang kamera swafoto.
Sementara itu di bawah terletak tempat simpanan S-Pen, talam dwi-SIM NANO, port pengecasan USB-C dan satu lagi kekisi speaker. USB-C menyokong pemindahan data USB 3.2 yang pantas serta output DisplayPort 1.2 membolehkan mod desktop Samsung DeX digunakan pada sebuah monitor ataupun TV.

Kerana bucu yang semakin bulat, bahagian belakang S Pen kini sedikit sendeng bagi mengikut bentuk tubuh. Jika S Pen tidak dipasang dengan orientasi yang betul, ia akan nampak aneh. Inilah sebab kenapa selama ini tubuh Galaxy Note dan Galaxy Ultra adalah berkotak bagi mengelakkan isu seperti ini.
Kamera belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP, ultra sudut lebar 50MP, telefoto 5X periskop 50MP dan telefoto 3X 10MP. Di hadapan sekali lagi sensor 12MP digunakan. Penambahbaikan hanya dilakukan pada lensa yang kini lebih pantas berbanding S25 Ultra. Tiga kamera yang disusun menegak kini diletakkan dalam bonggol kamera berbentuk bujur seperti yang digunakan pada Z Fold7 dan siri Galaxy A tahun lalu.

Bersebelahan dua lagi kamera terdapat sensor untuk NFC. Tiada logo NFC diletakkan seperti Sony Xperia tetapi pembaca perlu tahu bagi memudahkan pembayaran kad menggunakan Samsung Wallet dan menambah nilai kad Touch n’ Go. Panel belakang diperbuat daripada bahan polikarbornat untuk menyokong pengecasan nirwayar Qi. Tiada magnet terbina seperti pada iPhone maka anda perlu membeli kerangka dengan magnet jika ingin S26 Ultra lebih serasi digunakan dengan sistem pengecasan MagSafe.

Tubuh peranti pula melepasi piawaian kalis debu serta airIP68. Adalah canggung melihat Samsung sekali lagi menawarkan IP68 sahaja sedangkan Oppo, Vivo, Xiaomi, Tecno dan Honor sudah menawarkan peranti IP69 sejak dua tahun lalu.
PENGGUNAAN DAN PERISIAN
Sistem operasi One UI 8.5 digunakan dengan ia berasaskan Android 16 dengan perubahan dapat dilihat pada ikon, susunan menu pada talam aplikasi, rekaan talam pintasan pantas dan pelbagai lagi ikonografi yang kini semakin menghampiri Google Pixel.
Kustomasi rupa, skrin kunci dan bentuk widget kini menggunakan rekaan Material 3 Expressive yang diperkenalkan tahun lalu. Indentiti Samsung masih adalah pada rekaan pintasan pantas dan Side Panel yang membolehkan aplikasi dan beberapa ciri tambahan diakses. Kepada mereka yang pernah (atau sudah) menggunakan peranti Samsung ini semua bukan perkara baharu cuma terus disokong.

Satu perubahan besar yang berguna adalah pada Screen Recorder. Ia kini membenarkan hanya bahagian tertentu skrin dirakam. Katakanlah anda hanya mahu merakam pengumuman Hari Raya di YouTube, Screen Recorder secara automatik merakam hanya bahagian video YouTube/TikTok/Reels yang sedang ditonton. Tak perlu lagi anda melalukan suntingan dan crop menggunakan Gallery seperti sebelum ini. Sebagai pengguna tegar Screen Recorder ciri ini amatlah berguna walaupun langsung tidak diiklankan oleh Samsung.

Gemini semakin berguna dengan integrasi aplikasi Samsung dan Google secara lebih baik. Tetapi ciri paling menarik Gemini masih belum boleh digunakan di Malaysia. Semasa dilancarkan, ciri ejen AI Google Personal Intelligence diperlihatkan. Ia menjadi ejen AI yang boleh memanggil perkhidmatan Uber atau membeli barangan di atas talian dengan hanya arahan suara.
Kesemua ini amatlah menarik kerana ia yang pernah dijanjikan Apple tetapi masih belum ditawarkan kepada semu. Personal Intelligence pada waktu ini hanya boleh digunakan pengguna S26 yang tinggal di Amerika Syarikat dan Korea Selatan. Samsung belum memberikan garis masa bila ia akan tiba ke negara-negara lain. Dua tahun lalu kita dijanjikan sokongan Bahasa Melayu akan tiba dalam masa terdekat. Sehingga kini ia belum tiba dengan hanya Bahasa Indonesia sahaja diberikan.

Ciri AI Now Brief yang memberikan rumusan harian pada waktu pagi, tengah hari, malam dan lewat malam. Ia memberikan agenda harian, ramalan cuaca, ringkasan tahap kesihatan dan pola tidur. Bagi mereka yang ingin melihat ringkasan harian mereka secara setempat ini ciri yang berguna sebelum memulakan atau mengakhiri hari.

Wujud juga Now Bar yang memaparkan maklumat masa nyata seperti keputusan perlawanan bola terus dari skrin kunci. Ia bolehlah dilihat sebagai Dynamic Island tetapi dengan belon bujur di bahagian bawah skrin. Ia sekadar notifikasi Google Chrome yang kini lebih besar dan ketara. Now Bar juga boleh mengawal muzik yang sedang distrim. Ia masih belum 100% seperti Dynamic Island kerana tiada ciri notifkasi Grab secara masa nyata seperti yang wujud pada iPhone dan peranti Oppo.

Samsung meneruskan janji menawarkan kemas kini 7 versi Android dan tampalan sekuriti selama 7 tahun. Di saat ini hanya Samsung, Google dan Honor memberikan sokongan jangka panjang pada peranti keluaran mereka. Ia menjadi semakin penting kerana harga peranti yang semakin meningkat disebabkan krisis RAM menyebabkan ia perlu digunakan lebih lama. Bercakap mengenai RAM, peranti ditawarkan dengan pilihan 12GB atau 16GB RAM. Jika ini tidak mencukupi, RAM Plus boleh menambah memori sebanyak 2, 4, 6, 8 atau 12GB secara maya.

Chat Assist masih boleh mengubah karangan yang ditaip ke bahasa terpilih secara automatik sebelum ia dihantar menerusi WhatsApp dan Messages. Note Assist boleh melakukan rumusan dokumen yang dihasilkan secara automatik bagi mereka yang tidak mempunyai masa mencukupi untuk membaca.
Suntingan gambar dan video menggunakan AI juga ditambah baik. Imej janaan dalam Photo Studio nampak lebih realistik berbanding tahun lalu dengan pilihan gaya yang lebih pelbagai. Dalam rakaman video pula, Audio Eraser boleh memadam bunyi bising di belakang secara automatik. Ini amatlah berguna jika rakaman luar dilakukan dan anda tidak mahu video dipadam oleh platform kerana melanggar hak cipta lagu yang berkumandang.
Audio Eraser juga boleh diaktifkan ketika menonton video YouTube atau platform penstriman lain. Video yang sebelum ini mungkin bingit akan menjadi lebih selesa ditonton kerana ia menapis audio bising secara masa nyata. Ini adalah teknologi yang wujud pada TV pintar Samsung dan kini ditawarkan juga pada telefon mercu mereka.
PENANDA ARAS
Seperti biasa empat aplikasi penanda aras telah saya gunakan untuk melihat prestasi Snapdragon 8 Elite for Galaxy pada S26 Ultra. Markah yang dicatatkan kemudian dibandingkan dengan telefon dengan cip-cip seperti senarai di bawah.
- Xiaomi 17 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Realme GT8 Pro – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- iQOO 15 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Honor Magic8 Pro – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Vivo X300 Pro – Dimensity 9500
- OnePlus 15 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Oppo Find X9 Pro – Dimensity 9500
- Apple iPhone 17 Pro – A19 Pro
AnTuTu 3D
| Peranti | Skor |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Xiaomi 17 | 3,530,586 |
| Realme GT8 Pro | 3,066,488 |
| iQOO 15 | 3,726,305 |
| Honor Magic8 Pro | 3,424,247 |
| Vivo X300 Pro | 3,507,869 |
| OnePlus 15 | 3,720,096 |
| Oppo Find X9 Pro | 3,472,342 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10,819 |
| Xiaomi 17 | 3294 | 9416 |
| Realme GT8 Pro | 3482 | 8153 |
| iQOO 15 | 3480 | 9789 |
| Honor Magic8 Pro | 3587 | 9853 |
| Vivo X300 Pro | 3507 | 10469 |
| OnePlus 15 | 3553 | 10484 |
| Oppo Find X9 Pro | 3158 | 9298 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Xiaomi 17 | 5491 |
| Realme GT8 Pro | 5461 |
| iQOO 15 | 6788 |
| Honor Magic8 Pro | 7659 |
| Vivo X300 Pro | 7075 |
| OnePlus 15 | 6741 |
| Oppo Find X9 Pro | 6127 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |

Pengalaman penggunaan peranti adalah sangat pantas dan lancar selari dengan markah penanda aras yang dicatatkan di atas. Peranti mercu yang menggunakan Snapdragon 8 Gen 5 adalah tidak mengecewakan dari segi prestasi menjalankan aplikasi lazim atau permua prestasi tinggi. Walaupun hanya dilengkapi 12GB RAM (berbanding peranti China dengan 16GB RAM) saya merasakan ia tidak mendatangkan impak yang besar pada prestasi.
Permainan seperti COD Mobile, Wuthering Waves dan Genshin Impact semuanya boleh dimainkan pada tetapan tinggi tanpa sebarang isu besar. Peranti masih menjadi agak suam tetapi saya rasakan tidaklah sampai ke tahap ia tidak selesa dipegang dalam tangan.
KAMERA
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 200MP f/1.4 (OIS), ultra sudut lebar 50MP f/1.9, telefoto 3X 10MP f/2.4 (OIS) dan telefoto periskop 50MP f/2.9 (OIS). Ini dipadankan dengan kamera hadapan 12MP f/2.2. Tiada perubahan pada saiz sensor tetapi lensa sudut lebar dan zoom periskop pada S26 Ultra lebih pantas berbanding S25 Ultra.

Mulakan dengan apa yang saya suka. Kamera mempunyai mod zum yang sangat stabil dan paling mudah digunakan di Android. Peranti lain mungkin ada zum 100X tetapi proses meletakkan objek dalam viewfinder adalah paling mudah pada peranti Samsung kerana mereka yang hasilkan sensor dan mereka pelopor zum melampau dalam industri telefon pintar.
Gambar yang diambil cantik dalam pelbagai situasi dan tanpa mengira tahap pencahayaan. Mod HDR cemerlang mengimbangi kawasan gelap dan terang. Dalam dilihat mod potret yang semakin bijak membezakan objek dengan bahagian latar. Kamera pantas dan sangat berguna kerana mempunyai empat lensa berbeza.
Saya paling kerap gunakan ciri Document Scan untuk melakukan kerja. Walaupun duduk di sisi pentas, apabila ciri ini diaktifkan gambar akan diratakan seperti saya betul-betuk di depan pentas tanpa ralat. Ia juga sangatlah berguna bila perlu mengimbas dokumen siaran berita, MyKad dan resit untuk melakukan tuntutan perbelanjaan di hujung bulan. Ciri ini ada pada peranti lain tetapi sistem Samsung yang paling konsisten, mudah dan mantap. Anda boleh lihat sendiri di bawah sampel yang sempat saya rakam.

Tetapi izinkan saya mengomel sedikit mengenai negatif. Saya gunakan telefon Samsung untuk gambar “resipi Samsung”. Saya suka gambar telah diproses walaupun nampak tidak semula jadi dan tajam. Ini yang saya mahukan pada kamera kegunaan kerja. Tak perlu sunting gambar pakai Photoshop sebelum digunakan dalam artikel.
Pada Galaxy S26 Ultra, Samsung semakin ke arah Apple. Gambar yang nampak semula jadi tetapi membosankan. Perlu disunting untuk nampak pop dan cantik. Saya tidak menggemari kamera ala Apple dan keputusan Samsung untuk mengikut langkah Apple adalah mengecewakan.
Xiaomi ada gaya Leica, Realme ada gaya Ricoh, Oppo ada Hasselblad, Vivo pula ada Zeiss dan Huawei pun ada Xmage sendiri. Kenapa Samsung seolah-olah malu dengan gaya Samsung yang ramai peminat mereka tak pernah merungut? Ikutkan sangat komen pengguna Apple yang tidak gunakan kamera anda. Samsung perlu lebih ada jati diri dengan color science, algoritma dan perisa sendiri.
Kalau susah sangat letakkan satu butang “Classic Samsung Look” seperti “Leica Original” pada peranti Xiaomi. Dengan ini peminat Samsung boleh gunakan algoritma lama yang disukai sejak sekian lama.









Berikut pula ialah gambar yang diambil pada tetapan zum 1x, 3x, 10x, dan 30x. Gambar yang diambil masih mempunyai tahap ketajaman yang memuaskan sehingga 10X sahaja. Pada tetapan 30X imej mula pecah dan pada 100X sahaja saya rasakan imej langsung tidak boleh diterima kualitinya.




BATERI
Bateri masih lagi sekadar 5000 mAh dengan pengecasan dipertingkatkan ke 60W berbanding 45W tahun lalu. Pengecasan nirwayar pula ialah 25W berbanding 15W tahun lalu. Sedikit lebih pantas dan hasilnya waktu pengecasan berkurangan daripada 80 minit menjadi 60 minit pada suhu yang optimum.

Dalam penggunaan lebih berat, SOT sehingga 8-9 jam dapat dicapai secara konsisten dan dalam penggunaan lebih santai peranti boleh bertahan sepanjang hari. Walaupun prestasi bateri adalah masih baik, bayangkan jika Samsung menggunakan bateri berkapasiti lebih besar pasti ianya jauh lebih baik.
Sudah kedengaran ura-ura Samsung sudah memulakan ujian menghasilkan bateri SiC berkapasiti tinggi mereka sendiri. Tahun ini tiada revolusi bateri dan sekali lagi kini menantinya berlaku tahun depan.
PESAING
| Samsung Galaxy S26 Ultra | Xiaomi 17 Ultra | Honor Magic8 Pro |
| 6.9″ Dynamic LTPO AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+, 2600 nit | 6.9″ LTPO AMOLED, 120Hz Dolby Vision, 3500 nit | 6.71″ LTPO OLED, 120Hz Dolby Vision, 6000 nit |
| Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy (3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.74 GHz 6 xOryon V3 Phoenix M 3.62 GHz | Snapdragon 8 Elite Gen 5(3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.6 GHz 6x Oryon V3 Phoenix M 3.62 GHz | Snapdragon 8 Elite Gen 5(3nm) 2x Oryon V3 Phoenix L 4.6 GHz 6x Oryon V3 Phoenix M 3.62 GHz |
| Adreno 840 | Adreno 840 | Adreno 840 |
| 12/16 GB LPDRR5X | 16 GB LPDRR5X | 12/16 GB LPDDR5X |
| 512/1000 GB UFS 4.0 | 512/1000 GB UFS 4.1 | 512/1000 GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama 200MP f/1.4, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/1.9 (Ultra Sudut Lebar) 10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X) 50MP f/2.9, OIS (Telefoto 5X) | Kamera Utama 50 MP, f/1.7 (Sudut Lebar), OIS 50 MP, f/2.2 (Ultra Lebar), 200 MP, f/2.0-3.0 (Telefoto 4.3X), OIS Lensa Leica | Kamera Utama 50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.0 (Ultra Lebar) 200MP f/2.6, OIS (Telefoto 3.7x) |
| Kamera Hadapan 12 MP f/2.2 | Kamera Hadapan 50 MP f/2.2 | Kamera Hadapan 50MP f/2.0 |
| IP68 | IP69 | IP69K |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 5000 mAh Berwayar 80W Nirwayar 25W Berbalik 4.5W | 6000 mAh Berwayar 90W Nirwayar 50W Berbalik 10W | 7100 mAh SiC Pengecasan berwayar 100W Pengecasan nirwayar 80W Pengecasan berbalik 5W |
| RM 5,999 (12/256GB) RM 6,799 (12/512GB) RM 7,999 (16/1000GB) | RM5,499 (16GB/512GB) RM5,999 (16GB/512GB) | RM4,599 (12/512 GB) RM5,199 (16/1000 GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Samsung Galaxy S26 Ultra
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

KESIMPULAN
Fakta akhir dalam ulasan ialah tahun ini memang ada perubahan yang menjadi S26 Ultra unik daripada peranti lain iaitu teknologi skrin privasi yang digunakan. S26 Ultra ialah peranti yang sangat kompeten bagi peminat tegar ekosistem Samsung kerana ia secara default yang terbaik di pasaran sekarang. Perisian disokong untuk tempoh yang lama, pelbagai ciri tambahan menarik, S Pen yang terbaik di dalam kelasnya dan akhirnya pengecasan yang lebih pantas (walaupun hanya 10 minit lebih laju).

Tetapi saya tidak boleh mengatakan sistem kamera lebih baik berbanding S25 Ultra walaupun lensa lebih pantas digunakan. Algoritma pasca proses gambar yang digunakan Samsung tahun ini adalah terlalu “Apple” untuk saya yang lebih menyukai gambar gaya Samsung. Tetapi jika memang mahukan kamera mengambil gambar gaya Apple, S26 Ultra akan menepati citarasa anda.
Seperkara lagi ciri ejen AI Personal Intelligence hanya disokong di Amerika Syarikat dan Korea Selatan sahaja? Bila ia akan tiba ke Malaysia? Tiada siapapun tahu. Janji mungkin akan tinggal janji seperti sokongan Bahasa Melayu pada Galaxy AI yang masih belum tiba selepas menanti selama 2 tahun.
Di Malaysia Samsung Galaxy S26 Ultra bermula daripada RM5999 (12/256GB) sebuah dalam pilihan warna Pink Gold, Silver Shadow, Cobalt Violet, Black, Sky Blue and White.
Pro
- Rekaan tubuh yang masih teguh walaupun kembali ke aluminium.
- Ciri skrin privasi yang unik dan berguna.
- One UI 8.5 adalah amat lancar.
- Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy menawarkan kuasa tahap elit.
- Sokongan kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti
- Ketahanan bateri yang baik dengan pengecasan lebih pantas.
- Mod penstabilan video amat manfao.
Kontra
- Kapasiti bateri masih kecil dan pengecasan perlahan berbanding pesaing.
- Ciri bahari Ejen AI belum boleh diakses di Malaysia.
- Peningkatan harga disebabkan krisis RAM.

