Ulasan Samsung Galaxy Tab S10+ – Tablet Cukup Serba Boleh

TechnologyDigital
13 Nov 2024 • 9:31 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Penggunaan tablet mencanak naik ketika pandemik dipacu oleh keperluannya di kalangan pelajar yang terpaksa pergi ke kelas secara atas talian. Era pandemik telah berakhir dengan penekanan kepada tablet sudah tidak begitu dilakukan. Namun begitu dalam diam Samsung Galaxy Tab S10+ telah dilancarkan dan ia menawarkan pakej menarik yang menjadikannya tablet Android yang cukup serba boleh di pasaran.

SPESIFIKASI

Samsung Galaxy Tab S10+
Skrin12.4″ Dynamic AMOLED 2X, LTPO
1752 x 2800 Pixel , 120Hz, HDR10+
PemprosesDimensity 9300+ (4nm)
Cip1 x 3.4GHz Cortex-X4
3 x 2.8 GHz Cortex-X4
4 x 2.0 GHz Cortex-A720
Cip GrafikImmortalis-G720 MC12
RAM12GB LPDDR5X
Muatan Dalaman256GB UFS 4.0
Kamera Utama13MP f/2.0 (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
Kamera Swafoto12 Megapixel f/2.4
Bateri10090 mAh
Pengecasan berwayar 45W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin
Harga JualanRM5249 (12/256GB) WiFi+5g
RM4599 (12/256GB) WiFi

SKRIN

Skrin sebesar 12.4″ Dynamic AMOLED 2X menyokong kadar segara 120Hz LTPO. Ini ialah panel yang sama seperti yang digunakan pada telefon mercu S24 Ultra. Ia turut hadir dengan ciri Vision Booster yang meningkatkan keterangan skrin serta terdapat lapisan anti silau. Maka tidak mengejutkan pengalaman menggunakan skrin pada tablet ini setanding dengan yang saya alami apabila menggunakan S24 Ultra. Panel menggunakan nisbah 16:10 yang sama seperti siri Tab S9 tahun lalu.

image is not available

Terdapat bezel yang ketara di keempat-empat sudut tetapi adalah normal pada sebuah tablet. Yang tiada ialah takuk skrin yang pada ketika ini hanya wujud pada model Tab S10 Ultra sahaja. Cuma saya rasakan kerana nisbah 16:10 yang digunakan, tablet tidak begitu selesa digunakan dalam kedudukan menegak. Terlalu tinggi sehingga sukar dipegang. Tablet pada hemat saya lebih selesa digunakan jika skrin adalah 3:2.

Skrin cantik dengan penghasilan warna yang cukup realistik. Keterangan puncak membolehkan kandungan HDR10+ dipaparkan dengan terang dan ia menjadikan Tab S10+ sebuah pemain media yang tidak mengecewakan. Kandungan HDR dari Netflix, Prime Video, Disney+ Hotstar dan YouTube kesemuanya boleh dijalankan tanpa sebarang isu.

BIOMETRI

image is not available

Pengimbas cap jari bawah skrin adalah dari jenis ultrasonik digunakan pada tablet ini. Adalah lebih mudah mengimbas cap jari pada skrin berbanding pada butang kuasa seperti yang dilakukan oleh tablet pesaing. Ia beroperasi dengan cukup pantas sehingga nyahkunci boleh dilakukan sekelip mata.

S-PEN

image is not available

Sokongan stylus S Pen kembali dengan tiada perubahan dilakukan dari sudut spesifikasi. Ia masih mempunyai kemampuan mengesan 4096 tahap tekanan dan sudut sendeng. Ciri menjadikannya alat kawalan jauh kamera, mengawal zum kamera seakan kayu sihir Harry Potter, sokongan S Pen pada papan kekunci serta menulis terus pada kotak carian turut kembali. Bolehlah dikatakan Tab S10+ ialah sebuah S24 Ultra dengan saiz skrin yang lebih besar serta S Pen yang lebih selesa dipegang.

REKAAN

image is not available

Tubuh tablet diperbuat daripada bahan Armor Aluminium yang tahan lasak membolehkan peranti ini mempunyai kemampuan kalis air IP68 dan juga tahan hentakan apabila terjatuh. Bahagian sisi tablet adalah berkotak selari dengan rekaan siri S24. Pada bahagian atas terdapat butang kuasa dan butang laras audio.

Di atas ini juga terdapat tempat simpanan dan pengecasan S Pen secara bermagnet dan talam SIM merangkap slot untuk kad mikro SD. Storan dalaman Tab S10+ boleh ditambah lagi sehingga 1.5GB sekiranya storan 256GB yang diberikan tidak mencukupi.

image is not available

Sementara itu pada bahagian kiri dan kanan (apabila tablet diletakkan dalam kedudukan landskap) diletakkan empat kekisi audio untuk speaker. Ini membolehkan audio stereo dilontarkan dengan seimbang oleh Tab S10+.

Sisi kanan terdapat port pengecasan USB-C dan di bahagian bawah pula diletakkan pin POGO untuk sambungan papan kekunci fizikal. Sebuah lagi tempat simpanan S Pen diletakkan di belakang juga dengan sambungan magnet.

image is not available

Satu lagi perubahan kecil ialah bahagian belakang S Pen juga lebih rata supaya seragam dengan tubuh peranti yang seperti saya katakan tadi lebih rata. Tubuh peranti melepasi piawaian IP68 maka tidak perlu risau ia mengalami kerosakan jika terjatuh dalam kolam sehingga 15 minit.

Bahagian belakang menempatkan empat lensa kamera yang agak besar tetapi tidak begitu tinggi. Saya masih sarankan penggunaan kerangka bagi memastikan lensa tidak tercalar dan lebih penting sekali membolehkan peranti diletakkan rata pada permukaan meja.

image is not available

Papan Kekunci

Papan kekunci Book Cover Keyboard Slim diberikan percuma dengan setiap pembelian. Ianya cukup selesa digunakan ketika menaip dengan kekunci dari jenis chicklet. Tiada pad sesentuh seperti Magic Keyboard dan ia tablet hanya boleh diletakkan pada satu sudut sahaja. Samsung menawarkan sebuah lagi papan kekunci dengan pad sesentuh tetapi ia perlu dibeli berasingan.

image is not available

Untuk sekadar tugasan ringan, papan kekunci ini memuaskan walaupun butang kekunci adalah dari jenis membran yang lembut. Sebuah butang khas untuk Gemini/Galaxy AI juga disertakan untuk pintasan pantas bersama dengan butang untuk menggunakan mod Samsung DeX. Walaupun Book Cover Keyboard Slim bukanlah papan kekunci yang terbaik pernah saya gunakan, ia masih selesa digunakan tanpa menimbulkan sebarang isu yang besar.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi One UI 6.1.1 yang digunakan adalah berasaskan Android 14. Ini ialah versi terkini sebelum One UI 7.0 yang berasaskan Android 15 diberikan. Antaramuka One UI 6.1.1 versi tablet adalah sama sahaja dengan yang digunakan pada telefon pintar. Seperti pada telefon pintar, Samsung memberikan sokongan tujuh versi Android dan tampalan sekuriti selama tujuh tahun pada Tab S10+. Dengan ini pemilik tidak perlu risau mengenai sekuriti dan ciri tambahan selama tujuh tahun.

image is not available

Elemen-elemen antaramuka masih lagi minimalis, kemas dengan ikonografi yang mudah difahami. Tiada perubahan besar perlu dilakukan oleh pengguna telefon pintar untuk menggunakan Tab S10+. Ciri lain yang menarik ialah tambahan RAM sehingga 8GB secara maya menerusi RAM Plus.

Di bahagian bawah, terdapat sebuah taskbar yang memaparkan pintasan untuk lapan aplikasi yang boleh ditetapkan oleh pengguna. Pintasan untuk dua lagi aplikasi yang baru dibuka juga diletakkan pada taskbar. Sistem taskbar yang digunakan pada Tab S10+ adalah sama sahaja seperti yang digunakan pada siri Z Fold. Ia memudahkan proses bertukar antara aplikasi dengan lebih pantas.

image is not available

Galaxy AI – Kecerdasan Buatan Bukan Gimik Murahan

Terdapat banyak ciri-ciri Galaxy AI pada Tab S10+ yang sama sahaja dengan yang diberikan pada Galaxy S24, Z Fold6 dan Z Flip6. Saya tidak akan menyentuh kesemua ciri yang diberikan secara terperinci kerana akan sekadar mengulang semula ulasan terdahulu. Maka saya senaraikan beberapa ciri paling menarik di bawah.

Chat Assist – Ciri paling kerap saya gunakan kerana membantu untuk menulis status media sosial dengan pantas. Tulisan asal boleh diubah untuk menjadi lebih profesional, santai atau kasual.

image is not available

Photo Assist – Memberikan saranan suntingan pada gambar. Objek boleh diubah kedudukannya, memadam elemen gambar yang tidak diingini dan juga ciri meningkatkan resolusi gambar menerusi cir Remaster. Dalam video di atas imej pantulan saya pada cermin dipadam dalam masa beberapa saat sahaja daripada gambar asal. Ciri ini seakan magis bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran Photoshop.

Gemini – Terdapat butang khas yang disertakan pada papan kekunci. Dengan ini pengguna boleh menyeru Gemini dengan lebih pantas seperti butang CoPilot pada sebuah PC.

Circle To Search – Cara paling mudah untuk mencari sumber gambar, teks dan melalukan carian fakta. Circle to Search bukan ciri paling seksi tetapi pada hemat saya ia adalah ciri paling berguna dan perlu diberikan kepada semua peranti Android pada kadar segera.

Interpreter – Ciri alih bahasa masa nyata yang berguna apabila cuba berinteraksi dengan insan yang tidak berkongsi bahasa perbualan yang sama dengan anda.

image is not available

Sketch to Image – Mengubah lakaran menggunakan S Pen menjadi lukisan sebenar dengan bantuan AI. Pada Tab S10+, skrin gergasi membolehkan lakaran lebih besar dihasilkan berbanding pada skrin S24 Ultra dan Z Fold6.

Portrait Studio pula mengubah gambar wajah menjadi seakan kartun 3D, lakaran atau lukisan air. Ini kemudiannya boleh digunakan sebagai avatar peribadi di media sosial. Mod ini juga membolehkan pengguna menambah objek dalam gambar yang diambil. Berdasarkan lakaran topi di atas kepala, pelbagai topi yang kelihatan realistik boleh dijana tanpa pengguna melakukan suntingan secara manual.

image is not available

Composer – Terdapat tiga pilihan iaitu Email, Social Media dan Comment. Teks yang bersesuaian akan dijana oleh Galaxy AI sekiranya pengguna tidak mahu menulis sendiri emel panjang yang perlu dihantar misalnya.

PENANDA ARAS – Dimensity 9300+

Mari bandingkan cip Dimensity 9300+ dengan beberapa cip lain di pasaran sekarang. Kami bandingkan dengan Realme GT7 Pro (Snapdragon 8 Elite), Oppo Find X8 Pro (Dimensity 9400), iPhone 16 Pro Max (Aple A18 Pro), S24 Ultra (Snapdragon 8 Gen 3), iPhone 15 Pro Max (Apple A17 Pro), Google Pixel 9 Pro XL (Tensor G4) dan Vivo X100 Pro (Dimensity 9300)

image is not available

AnTuTu 3D

  • Dimensity 9300+ – 1,627,001
  • Snapdragon 8 Elite – 2,642,097
  • Dimensity 9400 – 2,629,017
  • Apple A18 Pro – 1,720,751
  • Snapdragon 8 Gen 3 – 2,200,000
  • Apple A17 Pro – 1,542,050
  • Tensor G4 – 1,016,712
  • Dimensity 9300 – 1,852,552

Geekbench 6

  • Dimensity 9300+ – 1619/6145
  • Snapdragon 8 Elite – 2,789/9,002
  • MediaTek Dimensity 9400  2663 / 8959
  • Apple A18 Pro – 3359 / 8129
  • Snapdragon 8 Gen 3 – 2329/7526
  • Apple A17 Pro – 2793/6925
  • Tensor G4 – 1916/4644
  • MediaTek Dimensity 9300 – 2071/5032

Geekbench AI

  • Dimensity 9300+ – 2000/1958/2793
  • Snapdragon 8 Elite – 2307/2323/3027
  • Dimensity 9400 N/A
  • Apple A18 Pro – 4516 / 7744 / 6204
  • Snapdragon 8 Gen 3 – 1704 / 1829/ 2773
  • Apple A17 Pro – 3705 / 6515 / 5696
  • Tensor G4 – 2058 / 2017 / 3129
  • Dimensity 9300 – N/A

3DMark Wild Life Extreme

  • Dimensity 9300+ – 4,091
  • Snapdragon 8 Elite – 5,922
  • Dimensity 9400 – 6251
  • Apple A18 Pro – 4560
  • Apple A18 – 3698
  • Apple A17 Pro – 3746
  • Tensor G4 – 2567
  • Snapdragon 8 Gen 3 – 4717
  • Dimensity 9300 – 4067

image is not available

Dimensity 9300+ ialah cip yang dilancarkan bersama dengan Snapdragon 8 Gen 3 tahun lalu. Walaupun sudah berusia setahun jagung, prestasi cip masih lagi memuaskan. Markah penanda aras yang dicatatkan masih lagi kompetitif jika dibandingkan dengan cip mercu lain di pasaran. Prestasi memainkan permua juga masih lagi baik dengan COD Mobile, GTA San Andreas, PUBG Mobile dan Mobile Legend semuanya boleh dijalankan dengan lancar.

Proses melancarkan dan memasang aplikasi turut amat pantas kerana penggunaan storan UFS 4.0 dan LPDDDR5X. Ini menjadikan Tab S10+ antara tablet mercu Android yang terbaik di pasaran sekarang.

TELEFONI Dan GPS

Model yang saya uji ialah versi WiFI sahaja dan prestasi internet adalah pantas kerana menyokong WiFI 6. Bagi mereka yang memiliki router pantas, Tab S10+ tidak mengecewakan langsung. Saya tidak menggunakan GPS sangat kerana tanpa sokongan selular, saya tidak menggunakan Tab S10_+ di luar rumah untuk menjejak lokasi. Tetapi walaupun di dalam rumah, lokasi di dalam Google Maps boleh dijejak dalam masa sesaat dua menggunakan WiFi.

image is not available

KAMERA

Kamera di belakang adalah kombinasi lensa lebar 13M dan ultra sudut lebar 12MP. Di hadapan pula kamera 12MP digunakan. Tiada sistem OIS diberikan serta tiada sistem zum optikal. Dengan sensor yang kecil saya tidak mempunyai harapan tinggi dengan kualiti gambar yang boleh diambil.

image is not available

Gambar hanya nampak memuaskan dalam situasi pencahayaan yang baik dan tablet dipegang dengan stabil. Kualiti gambar sekadar memuaskan. Apabila mengambil gambar dalam kawasan tertutup, ia mula nampak lembut dan warna nampak kurang menyerlah. Kualiti gambar yang diambil tablet memang secara lazimnya mengecewakan jika dibandingkan dengan sebuah telefon pintar.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

BATERI

Tab S10+ dilengkapi bateri 10,090mAh yang menyokong pengecasan 45W sahaja. Dalam ujian menstrim video di YouTube menggunakan WiFi, saya berjaya menonton sehingga 8 jam. Hayat akan menjadi lebih panjang sekitar 11 jam jika WiFi dimatikan. Saya uji sendiri bateri ketika dalam perjalanan dari Kualu Lumpur ke Hawaii awal bulan lalu. Sepanjang perjalanan Tab S10+ menjadi pengganti sistem hiburan dalam pesawat dengan cemerlang.

image is not available

Tempoh mengecas semula bateri yang cukup besar ini ialah sekitar 100 minit. Samsung tidak memberikan pengecas dengan setiap pembelian. Hanya seutas kabel USB-C ke USB-C disertakan dalam kotak.

AUDIO

Ada stereo dan ada juga Dolby Atmos yang dilontarkan daripada empat speaker. Audio adalah lantang tetapi masih jelas dan seimbang kerana sepasang speaker diletakkan di sisi kanan dan kiri Tab S10+. Menonton filem, mendengar muzik dan menikmati permainan semuanya dapat dinikmati dengan baik kerana sistem audio tablet yang mantap.

image is not available

APA ADA DALAM KOTAK?

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Samsung Galaxy Tab S10+
  • 1x S Pen
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

image is not available

KESIMPULAN

Tablet Samsung tidak dilayan seperti anak tiri atau rakyat yang mengundi parti yang tidak sehaluan dengan kerajaan memerintah sejak pandemik berakhir. Ia dilengkapi kesemua ciri yang diperlukan pengguna untuk menjadikannya bukan sahaja sebuah tablet mercu terbaik untuk hiburan, cukup berkuasa untuk santai dengan permainan video tetapi juga cukup lengkap untuk menjadi sebuah pengganti komputer riba. Perisian cukup matang dibantu oleh rekaan yang cukup tahan lasak. Sistem audionya juga boleh tahan. Bagi penggiat seni, stylus S Pen membolehkan anda berkarya terus pada skrin.

image is not available

Kekurangan ialah pada hemat saya terletak pada nisbah skrin. Skrin 16:10 membuatkan ia canggung digunakan pada kedudukan potret. Ada sebab mengapa iPad ialah tablet paling popular di pasaran kerana ia menggunakan nisbah 3:2 yang lebih ergonomik.

Di Malaysia Samsung Galaxy Tab S10+ dijual pada harga RM4599 untuk versi WiFi dan RM5249 untuk versi 5G dengan pilhan warna Moonstone Grey serta Platinum Silver. Dengan setiap pembelian, sebuah Book Cover Keyboard Slim diberikan secara percuma.

Pro

  • Rekaan tubuh tahan lasak serta IP68.
  • Dilengkapi cip berkuasa untuk pelbagai jenis aplikasi.
  • Menyokong S Pen.
  • Pelbagai ciri Galaxy AI yang berguna.
  • Prestasi bateri yang amat baik.
  • Sokongan tujuh versi Android dan tujuh tahun tampalan sekuriti.

Kontra

  • Pengecasan sekadar 45W.
  • Skrin 16:10 tidak selesa digunakan secara menegak.

image is not available