Saban tahun siri Xiaomi T menawarkan kemampuan yang sedikit di bawah siri Xiaomi bernombor utama tetapi masih ditawarkan dengan ciri mercu seperti lensa kamera Leica. Maka menjadi kelaziman apabila muncul artikel peranti nilai terbaik, siri Xiaomi T pasti akan kami masukkan kerana ia adalah pakej yang cukup berbaloi.

Tahun ini Xiaomi 17T Pro berlainan sedikit kerana dilengkapi cip Dimensity 9500 yang setanding dengan Snapdragon 8 Elite Gen 5 yang digunakan pada Xiaomi 17T Ultra. Ulasan ini akan menyatakan sama ada tahun ini siri T masih lagi berbaloi ataupun tidak.
Spesifikasi
| Xiaomi 17T Pro | |
| Skrin | 6.83″ AMOLED QHD+, 144Hz, Dolby Vision |
| Pemproses | MediaTek Dimensity 9500 (3 nm) |
| Cip | 1x C1-Ultra 4.21 GHz 3x C1-Premium 3.5 GHz 4x C1-Pro 2.7 GHz |
| GPU | Mali-G1 Ultra MC12 |
| RAM | 12GB LPDDRR5x 12GB Memori maya |
| Storan | 256/512 GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama | 50MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 50MP f/3.0, OIS (Telefoto 5X) |
| Kamera Hadapan | 32 MP f/2.2 |
| Bateri | 7000 mAh Pengecasan berwayar 100W Pengecasan nirwayar 50W Berbalik nirwayar 10W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM/5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Cap jari bawah skrin ultrasonik Imbasan wajah |
| Harga | RM 2899 (12/256GB) RM 3199 (12/512GB) RM 3499 (12/1000GB) |
Skrin
Skrin adalah sebesar 6.83″ AMOLED, 144Hz tetapi bukan LTPO dan mempunyai keterangan maksimum 3500 nits. Ianya juga rata dengan saiz bezel yang cukup nipis. Skrin adalah sama seperti tahun lalu cuma sedikit lebih terang. Bezel sekata di keempat-empat bucu menjadikan wajah peranti nampak seimbang.

Skrin boleh memaparkan kandungan HDR10+ dan Dolby Vision daripada Netflix, Prime Video, HBO Max dan YouTube. Semua tatalan juga dikesan dengan baik dipadankan dengan sistem haptik yang sangat realistik.
Biometri

Sebuah pengimbas cap jari turut dikekalkan di bawah skrin dengan kedudukannya strategik memudahkan proses menyahkunci peranti. Imbasan wajah juga boleh digunakan asalkan bukan dalam situasi keadaan yang terlalu gelap gelita. Dalam majoriti situasi, skrin dinyahkunci dalam masa sekelip mata. Walaupun peranti tidak betul-betul di hadapan wajah, sistem imbasan boleh menyahkunci.
Rekaan
Rekaan tidak banyak berbeza dengan Xiaomi 15T tahu lalu iaitu sisi rata dengan bucu sahaja dibulatkan. Bingkai logam selesa di dalam dan terasa kukuh. Tak perlu risau dengan kualiti binaan terasa seakan aluminium murahan di sini. Kesemua butang fizikal pada sisi kanan juga terasa teguh serta sedap dipegang.

Talam dwi-SIM nano diletakkan di bawah dengan ia terletak di sisi kiri port pengecasan USB-C dengan terdapat juga lubang untuk speaker di bawah. Sebuah lagi lubang speaker diletakkan di atas alur skrin. Tiada lubang speaker diletakkan di bahagian atas.
Panel belakang nampak seperti logam tetapi sebenarnya polikarbonat bagi membenarkan pengecasan nirwayar. Bonggol empat segi menempatkan trikamera 50+12+50 MP setiap satunya dengan lensa yang sekata saiznya. Hanya tiga lensa walaupun ada 4 “lubang” kamera kerana lubang keempat menempatkan sensor spektrum cahaya. Lensa Leica kembali sekali lagi membuatkan peranti kelihatan lebih premium.

Pemancar infra merah juga diletakkan dalam bonggol kamera seperti Xiaomi 17. Saya tak perlu memegang 17T seperti alat kawalan jauh untuk menggunakannya. Dalam posisi menegak penyaman udara di rumah dapat dikawal. Ketinggian bonggol adalah sederhana sahaja dena dengan saiznya yang besar, membuatkan ia masih boleh diletakkan rata di atas permukaan meja.
Tubuh peranti turut melepasi piawaian kalis debu serta air IP68. Maka ia memberikan ketenangan apabila digunakan di luar serta serasi digunakan mereka yang banyak melakukan kerja di luar seperti jurutera dan rakan penghantar seru-pandu.

Walaupun bonggol besar, peranti masih seimbang di dalam tangan tanpa isu kepala berat yang menghantui Xiaomi 17 Ultra dan Huawei Pura 17 Pro Max. Secara keseluruhan rekaan Xiaomi 17T Pro dikitar semula tanpa sebarang perubahan drastik dilakukan.
Penggunaan dan Perisian
Sistem operasi HyperOS 3.0.302 yang saya gunakan adalah berasaskan Android 16. Antaramuka berfungsi dengan lancar serta cukup responsif. Antara yang menarik perhatian ialah HyperIsland yang mirip dengan Dynamic Island di iOS. Tingkap mini HyperIsland boleh memaparkan maklumat pengecasan, tahap bateri fon telinga, aktiviti secara langsung, kawalan muzik dan banyak lagi. Dua aktiviti boleh dipaparkan oleh HyperIsland dengan satu dalam tingkap berbentuk bujur dan satu lagi dalam bulatan.

Video sinematik boleh digunakan pada skrin kunci dengan menerusi maklumat 3D boleh menyorokkan widget seperti jam di belakang elemen dalam video. Bagi yang lebih gemarkan animasi, video sinematik boleh diubah menjadi gaya anime menggunakan kecerdasan buatan (AI). Pilihan yang diberikan oleh HyperOS adalah cukup menarik kerana meminjam elemen iOS yang disukai ramai.
Dengan skrin 144Hz kesemuanya terasa lebih lancar jika dibandingkan dengan pengalaman saya menggunakan Xiaomi 17 dan Poco X8 Pro sebelum ini. Harus dinyatakan ciri yang ada pada ketiga-tiga peranti adalah sama walaupun ketiga-tiganya dijual pada harga berbeza.

Bagi pencinta ekosistem Google, Terdapat sokongan Circle to Search dan Google Gemini. Xiaomi HyperAI pula boleh melakukan alih bahasa secara masa nyata, suntingan gambar, membesarkan gambar, ringkasan dokumen, menghasikkan transkrip daripada audio yang dirakam, dan menjana sari kata untuk video secara automatik.
Saya tidak akan menyentuh secara panjang lebar kerana semua ciri AI ini sama sahaja dengan yang kini ditawarkan pada majoriti peranti Android mercu cuma dengan “perisa” berbeza oleh setiap pengeluar. Pada ketika ini, peranti Android kelas pertengahanpun mempunyai semua ciri ini dan ia adalah kemenangan bagi pengguna Android.
Kekurangan hanyalah ciri lebih premium Google Personal Intelligence dan Gemini Intelligence masih terkunci untuk peranti Google serta Samsung sahaja. Pada waktu yang sama ciri tambahan lebih berkuasa ini memerlukan langganan Google AI untuk dinikmati sepenuhnya.

Xioami 17T Pro turut boleh digunakan bersama ekosistem Apple seperti iPhone, iPad dan Macbook. Selepas aplikasi Xiaomi Interconnectivity dipasang saya boleh memaparkan skrin Xiaomi 15T pada MacBook sama seperti sebuah iPhone menerusi Home screen+. Penghantaran fail rentas platform turut boleh dilakukan menggunakan Xiaomi Share.
Sokongan AirDrop secara natif menerusi Quick Share akhirnya tiba minggu ini meletakkannya setanding dengan Google Pixel, Samsung, Vivo dan Oppo. Google berjanji ciri ini akan diterima semua peranti Android menjelang penghujung 2026.
Xiaomi 17T Pro akan menerima sokongan kemas kini 5 versi Android dan 6 tahun tampalan sekuriti yang saya rasakan memadai untuk kebanyakan pengguna walaupun tidak sebaik diberikan Samsung, Google dan Oppo pada peranti mercu mereka.
Penanda Aras
Cip Snapdragon Dimensity 9500 digunakan dengan ia dipadakan dengan memori 12GB LPDDR5X dan storan sehingga 512GB UFS 4.1. Ini kali pertama siri Xiaomi T dipadankan dengan cip kelas mercu sebenar. Berikut adalah markah dicatatkan dalam ujian Antutu 3D, Geekbench dan 3D Mark Wildlife Extreme. Malang sekali hanya ujian Geekbench6 boleh saya lakukan kerana perisian 17T Pro menghalang ujian lain daripada dilakukan. Skor di bawah akan dikemaskini sejurus selepas Xiaomi membenarkan aplikasi penanda aras dijalankan pasca pelancaran.
- Samsung Galaxy S26 Ultra – Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy
- Realme GT8 Pro – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- iQOO 15 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Honor Magic8 Pro – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Vivo X300 Pro – Dimensity 9500
- OnePlus 15 – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Oppo Find X9 Pro – Dimensity 9500
- Apple iPhone 17 Pro – A19 Pro
AnTuTu 3D
| Peranti | Skor |
| Xiaomi 17T Pro | 3,352,325 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Realme GT8 Pro | 3,066,488 |
| iQOO 15 | 3,726,305 |
| Honor Magic8 Pro | 3,424,247 |
| Vivo X300 Pro | 3,507,869 |
| OnePlus 15 | 3,720,096 |
| Oppo Find X9 Pro | 3,472,342 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Xiaomi 17T Pro | 3158 | 9766 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10,819 |
| Realme GT8 Pro | 3482 | 8153 |
| iQOO 15 | 3480 | 9789 |
| Honor Magic8 Pro | 3587 | 9853 |
| Vivo X300 Pro | 3507 | 10469 |
| OnePlus 15 | 3553 | 10484 |
| Oppo Find X9 Pro | 3158 | 9298 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Xiaomi 17T Pro | 6939 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Realme GT8 Pro | 5461 |
| iQOO 15 | 6788 |
| Honor Magic8 Pro | 7659 |
| Vivo X300 Pro | 7075 |
| OnePlus 15 | 6741 |
| Oppo Find X9 Pro | 6127 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |

Peranti amatlah lancar apabila digunakan kerana kombinasi pemproses berkuasa, RAM besar pantas dan storan yang juga bagai halilintar. Memuat turun, memasang dan melancarkan permua besar mengambil masa yang pendek. Permainan seperti COD Mobile, Wuthering Waves dan Genshin Impact boleh dimainkan pada tetapan tinggi tanpa sebarang isu besar. Suhu peranti hanya menjadi sedikit suam tetapi sama sahaja dengan peranti dengan Snapdragon 8 Elite Gen 5 dan Dimensity 9500 lain di pasaran.
Kamera
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP f/1.7, ultra lebar 12MP f/2.2 dan telefoto 5X 50MP f/3.0 yang dipadankan dengan kamera hadapan 32MP f/2.2. Kombinasi sensor kamera yang tidak menakjubkan di atas kertas jika dibandingkan dengan peranti mercu Honor, Samsung dan Vivo yang hadir dengan sensor 200MP. Tetapi anda dan saya tahun megapixel bukan segalanya.

Mod Leica Vibrant, Leica Authentic, Leica BW dan Leica BW High Contrast kembali dengan setiap satunya dengan “resipi” warna berbeza. Saya paling sukakan profil Leica Vibrant yang meningkatkan keterangan warna dan paling serasi untuk kebanyakan situasi. Leica Authentic nampak lebih gelap dan moody seperti diambil menggunakan filem.
Saya ingin membuat pengakuan. Sebelum ini saya sukakan rupa Leica pada gambar kerana ianya sinematik. Tetapi sejak beberapa bulan lalu saya sempat menguji Oppo Find X9 Ultra dan Vivo X300 Ultra. Pada hemat saya color science pada dua peranti ini nampak lebih realistik tetapi tajam. Maka saya merasakan walaupun kualiti gambar 17T Pro ini menarik, ada kamera pada peranti lain lebih serasi dengan jiwa saya. Sunggguhpun begitu dua peranti yang saya katakan tadi dijual pada harga lebih RM6000 menjadikan perbandingan ini kurang adil.
Dalam semua situasi gambar yang boleh diambil sistem kamera ini adalah sangat-sangat memuaskan. Pujian saya berikan kepada penghasilan semula warna dan mod malam yang masih nampak terang dibantu oleh sistem HDR dan OIS yang memastikan semua objek dapat dilihat dengan baik serta tajam. Kamera juga berfungsi dengan pantas apabila diperlukan.










Audio
Terdapat speaker stereo dengan audio yang sedikit kurang seimbang kerana speaker bawah kedengaran lebih kuat berbanding di atas. Sistem audio Dolby Atmos dan Xiaomi Sound boleh digunakan dengan terdapat tetapan EQ terbina untuk mengubah profil audio mengikut kehendak pengguna. Untuk menonton video saya rasakan memuaskan. Tetapi untuk pengalaman audio terbaik gunakan aksesori fon telinga atau kepala berasingan.

Bateri
Bateri 7000 mAh yang digunakan adalah daripada jenis SiC yang kini menjadi standard pada peranti keluaran China. Ianya berkapasiti besar tetapi bersaiz kecil. Peningkatan kapasiti tahun ini adalah amat tinggi kerana pada 15T Pro bateri yang disertakan hanya sebesar 5500 mAh.

Bateri boleh bertahan lebih daripada sepanjang hari dalam penggunaan sederhana dan biasa. SOT sekitar 14-15 jam boleh dinikmati dengan konsisten. Hayat bateri yang sangat cemerlang sehingga saya tidak perlu lagi keluar membawa powerbank.
Terdapat sokongan pengecasan 100W secara berwayar dan sehingga 50W secara nirwayar. Xiaomi memberikan pengecas 100W dengan setiap pembelian dengan ia adalah dari jenis USB-A. Masa mengecas semula bateri 7000 mAh ini daripada 0-100% adalah sekitar 45 minit yang adalah amat pantas.
Pesaing
| Xiaomi 17T Pro | OnePlus 15 | Vivo X300 Pro |
|---|---|---|
| 6.83 AMOLED 144Hz Dolby Vision, 3500 nit | 6.78″ LTPO AMOLED, 165Hz Dolby Vision, 1800 nit | 6.78″ LTPO AMOLED, 120Hz Dolby Vision, 4500 nit |
| Dimensity 9500 (3nm) 1 x 4.21 GHz C1-Ultra 3 x 3.5 GHz C1-Premium 4 x 2.7 GHz C1-Pro | Snapdragon 8 Elite Gen 5(3nm) 2 x 4.6 GHz Oryon V3 Phoenix L 6 x 3.62 GHz Oryon V3 Phoenix M | Dimensity 9500 (3nm) 1 x 4.21 GHz C1-Ultra 3 x 3.5 GHz C1-Premium 4 x 2.7 GHz C1-Pro |
| Mali-G1 Ultra MC12 | Adreno 840 | Mali-G1 Ultra MC12 |
| 12 GB LPDDR5X | 16 GB LPDDR5X | 16 GB LPDDR5X |
| 256/512/1000 GB UFS 4.1 | 512 GB UFS 4.1 | 512 GB UFS 3.1 |
| Kamera Utama 50MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 50MP f/3.0, OIS (Telefoto 5X) Lensa Leica | Kamera Utama 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.0 (Ultra Lebar) 50MP f/2.8, OIS (Telefoto 3.5X) | Kamera Utama 50MP f/1.6, OIS (Sudut Lebar) 50MP f/2.0 (Ultra Lebar) 200MP f/2.7, OIS (Telefoto 3.5X) Lensa Zeiss |
| Kamera Hadapan 32 MP f/2.2 | Kamera Hadapan 32 MP f/2.4 | Kamera Hadapan 50MP f/2.0 |
| IP68 | IP69K | IP69 |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 7000 mAh Berwayar 100W Nirwayar 50W | 7300 mAh Berwayar 120W Nirwayar 50W | 6510 mAh Berwayar 90W Nirwayar 40W |
| HyperOS 3, Android 16 Kemas kini 5+6 tahun | OxygenOS 16, Android 16 Kemas kini 4+6 tahun | OriginOS 6, Android 16 Kemas kini 5+7 tahun |
| Dilancarkan Mei 2026 | Dilancarkan November 2025 | Dilancarkan November 2025 |
| RM 2899 (12/256GB) RM 3199 (12/512GB) RM 3499 (12/1000GB) | RM 4399 (16/512GB) | RM 5099 (16/512GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Xiaomi 17T Pro
- 1x Kerangka getah
- 1x Pengecas 100W USB-A
- 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.

Kesimpulan
Dengan harga jualan bermula RM 2899 sebuah, Xiaomi 17T Pro sekali lagi menawarkan pakej kuasa tinggi, kemampuan fotografi, rekaan, audio, visual dan ciri AI menarik tanpa perlu menyebabkan defisit pada akaun bank anda. Peranti lain menawarkan ciri yang sama tetapi pada harga yang sekurang-kurangnya 40% lebih mahal.

Kekurangan masih ada iaitu sokongan perisian hanya 5+6 tahun sedangkan Honor, Samsung dan Google sudah mula menawarkan 7+7 tahun. Tetapi saya yakin ramai orang di Malaysia lebih peduli dengan harga jualan daripada sokongan jangka panjang. Xiaomi 17T Pro memang mercu dan padu tetapi masih mampu milik.
Pro
- Rekaan tubuh yang kukuh dan selesa dalam tangan.
- Dimensity 9500 berkuasa untuk aplikasi biasa dan permua.
- Prestasi kamera yang amat bagus dengan lensa Leica.
- Kalis air dan debu IP68
- Ketahanan bateri amat baik, pengecasan pantas dan pengecas diberikan.
Kontra
- Menerima kemas kini 5 versi OS dan 6 tahun tampalan sekuriti sahaja.
- Speaker tidak seimbang.



