UMediC perluas operasi ke segmen perkhidmatan perubatan

LocalBusiness & Finance
15 Aug 2025 • 5:28 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

UMediC perluas operasi ke segmen perkhidmatan perubatan

image is not available

15/08/2025 - 17:28

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Ogos – UMediC Group Bhd kini melebarkan operasinya ke dalam segmen perkhidmatan perubatan, langkah strategik dalam mengembangkan perniagaan sedia ada syarikat dalam pemasaran, pengedaran peranti serta pembuatan barangan perubatan.

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif UMediC, Lim Taw Seong berkata, segmen baharu itu akan memanfaatkan skala operasi serta kehadiran aktif UMediC di kalangan hospital dan penyedia penjagaan kesihatan tempatan.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk pusat penjagaan untuk rawatan susulan selepas pemulihan serta perkhidmatan ambulans lengkap dengan peranti perubatan.

“Selain itu, UMediC juga menubuhkan pusat pembelajaran yang menyediakan bengkel latihan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai penjagaan kesihatan dan memberi latihan profesional kepada kakitangan perubatan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, segmen perkhidmatan perubatan itu adalah satu transformasi penting dalam model perniagaan syarikat.

"Kami menyediakan spektrum lengkap dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan untuk menangani cabaran utama yang sering dihadapi pemain industri kesihatan tempatan.

“Ini termasuk kekurangan kapasiti hospital untuk menampung semua pesakit memandangkan bilangan katil yang terhad," katanya.

Beliau berkata, perkhidmatan ambulans dikenalpasti sebagai sektor berpotensi tinggi untuk pertumbuhan, memandangkan syarikat mampu menyediakan penyelesaian menyeluruh kepada hospital, dilengkapi dengan rangkaian produk terkini melalui cabang pemasaran dan pengedaran UMediC.

“Langkah ini bukan sahaja dapat meningkatkan nilai kepada pelanggan sedia ada, tetapi juga membuka peluang pertumbuhan baru dalam pasaran perkhidmatan perubatan di Malaysia, sejajar dengan misi syarikat untuk memperluaskan spektrum penyelesaian penjagaan kesihatan yang komprehensif,” katanya. - DagangNews.com

standard