Chin Hin lupus segmen kenderaan berharga RM74 juta, fokus pembangunan hartanah

15/08/2025 - 09:23
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 15 Ogos – Chin Hin Group Property Berhad (CHGP) melupuskan empat anak syarikat dalam segmen kenderaan komersial dan badan kerja kumpulan berharga RM74 juta kepada N&K Resources (M) Sdn Bhd.
Transaksi ini dijangka menjana keuntungan kira-kira RM862,000.
Empat anak syarikat itu ialah Boon Koon Vehicles Industries Sdn. Bhd, BKCV Sdn. Bhd, Boon Koon Fleet Management Sdn. Bhd dan BK Fleet Management Sdn. Bhd yang secara kolektif menguruskan operasi kenderaan komersial Chin Hin.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Bahagian Pembangunan Hartanah Chin Hin, Chang Tze Yoong berkata, selepas pelupusan itu selesai, Chin Hin akan keluar sepenuhnya daripada segmen bukan teras tersebut dan keputusan kewangan syarikat terbabit juga akan dikeluarkan daripada akaun kumpulan.
Segmen kenderaan komersial adalah legasi perniagaan Chin Hin sebelum penyertaan pemegang saham utama pada 2017.
Ia tidak termasuk dalam teras ekosistem kumpulan yang memfokuskan kepada bahan binaan, kejuruteraan pembinaan, pembangunan hartanah serta projek kediaman.
Beliau berkata, pelupusan itu membolehkan Chin Hin memanfaatkan sepenuhnya sumber dan tenaga kepada pembangunan hartanah kediaman selepas ini.
“Hasil tunai RM74 juta ini akan memberi fleksibiliti kewangan yang lebih kukuh untuk mempercepatkan rancangan pembangunan hartanah kami.
“Dana ini akan digunakan untuk pembelian tanah strategik di lokasi pertumbuhan tinggi seperti Lembah Klang, selain menyokong projek semasa dan peluang pertumbuhan lain.
“Pada masa sama, transaksi ini mengukuhkan kedudukan tunai, meningkatkan kecairan dan memperkukuh daya tahan kewangan Kumpulan,” katanya. - DagangNews.com
standard
