AMD perluas operasi R&D dengan pembukaan pejabat dan makmal baharu di Pulau Pinang

LocalTechnology
14 Aug 2025 • 2:58 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

AMD perluas operasi R&D dengan pembukaan pejabat dan makmal baharu di Pulau Pinang

image is not available

14/08/2025 - 14:58

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Advanced Micro Devices Inc (AMD), peneraju teknologi global yang disenaraikan di Nasdaq, mengukuhkan komitmen jangka panjangnya di Malaysia dengan pelancaran pejabat dan makmal kejuruteraan baharu bersaiz 19,416.74 meter persegi di Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Pejabat baharu yang terletak di GBS by the Sea itu dibina untuk menampung lebih 1,200 pekerja dilengkapi ruang kerja terbuka dan makmal kejuruteraan berteknologi tinggi bagi memacu kemajuan dalam reka bentuk semikonduktor.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kejayaan AMD mencerminkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan mampan dan progresif, terutamanya dalam sektor teknologi tinggi.

“Apabila tren global bergerak pantas ke arah teknologi frontier seperti AI, kerajaan negeri, melalui InvestPenang, komited menyokong pelabur inovatif seperti AMD.

“Matlamat kami adalah melihat generasi pertama cip ‘Made by Malaysia’ direka, dibangunkan dan dipacu dari Pulau Pinang muncul di pasaran semikonduktor global,” katanya pada majlis pelancaran rasmi AMD @GBS by the Sea hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dan Naib Presiden Kanan Operasi Global AMD, Keivan Keshvari.

Sementara itu, Sikh Shamsul Ibrahim pula menyifatkan pejabat dan makmal baharu AMD adalah bukti hubungan berterusan Malaysia dengan peneraju teknologi global.

“Daripada kerjasama awal dalam pembuatan lima dekad lalu sehingga pelaburan penting kini dalam reka bentuk litar bersepadu dan perkhidmatan bernilai tinggi, perjalanan AMD mencerminkan kemajuan Malaysia dalam rantaian nilai semikonduktor.

“Dengan menempatkan R&D dan keupayaan canggih di sini, AMD bukan sahaja mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi, malah memupuk ekosistem dinamik di mana bakat dan firma tempatan dapat berkembang bersama inovator global,” katanya.

Beliau menambah, sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Semikonduktor Negara dan Rancangan Malaysia Ke-13, MIDA berbangga dapat menyokong pertumbuhan strategik AMD di Malaysia.

Sementara itu, Keivan pula berkata, pembukaan pejabat baharu itu mengukuhkan komitmen jangka panjang AMD terhadap ekosistem semikonduktor Malaysia yang berkembang pesat.

“Pejabat baharu ini membolehkan AMD membangunkan, membina dan menyampaikan generasi baharu penyelesaian pengkomputeran berprestasi tinggi, adaptif dan berasaskan AI, sambil menyokong pertumbuhan Malaysia sebagai hab inovasi teknologi.

“Dengan keupayaan diperluas dan fokus terhadap inovasi, kehadiran kami di Pulau Pinang akan memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan AMD serta memberi sumbangan bermakna kepada ekosistem semikonduktor Malaysia,” katanya. - DagangNews.com

standard