UMNO beri empat pilihan kepada DAP, termasuk bubar Parlimen - Azalina

LocalPolitics
13 Nov 2026 • 4:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO beri empat pilihan kepada DAP, termasuk bubar Parlimen - Azalina
Azalina

PUTRAJAYA – Suhu ketegangan antara UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan semakin terasa apabila UMNO mengemukakan empat pilihan kepada parti itu termasuk kemungkinan pembubaran Parlimen susulan ketidakpuasan hati DAP berhubung perkembangan pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pilihan berkenaan merangkumi mendapatkan pengantaraan menerusi Majlis Perundingan, membenarkan aturan sedia ada diteruskan, mengkaji semula Perenggan C Perjanjian Gabungan atau menamatkan kerjasama politik menerusi pembubaran Parlimen.

Menurutnya, Perjanjian Kerjasama Kerajaan Perpaduan Malaysia yang dimeterai pada 16 Disember 2022 tidak memperuntukkan klausa penamatan sebelum berakhirnya penggal Parlimen ke-15.

"Justeru, kesimpulan yang jelas dalam perkara ini adalah pembubaran Parlimen ke-15," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas desakan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sekiranya tidak menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Azalina menyifatkannya sebagai tindakan yang dikesali.

Beliau berkata, desakan secara terbuka terhadap presiden parti gabungan bukan pendekatan membina atau selari dengan semangat Perjanjian Gabungan.

Sebaliknya, katanya, sebarang perbezaan pandangan antara rakan gabungan perlu diselesaikan menerusi dialog dan rundingan, bukannya tekanan awam atau desakan supaya seseorang pemimpin meletakkan jawatan.

"Fasal 5(c) memperuntukkan mekanisme pengantaraan menerusi Majlis Perundingan yang terdiri daripada wakil gabungan yang mengambil bahagian bagi memantau pelaksanaan Perjanjian Gabungan serta memudah cara penyelesaian secara harmoni terhadap sebarang pertikaian atau salah faham.

"Dalam hal ini, agak menghairankan apabila klausa pengantaraan tersebut tidak digunakan lebih awal, sedangkan perkara berkaitan pengampunan ini telah diketahui umum sejak Januari 2024," tegas beliau.

Ujar Azalina, di bawah Fasal 4 Perjanjian Gabungan, UMNO mengiktiraf komitmen parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menyokong Anwar dalam perkara berkaitan usul percaya, rang undang-undang perbekalan serta urusan yang menjejaskan kesahan perlembagaan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun komitmen itu katanya, tidak bermaksud setiap parti perlu bersetuju tanpa syarat dengan semua pendirian atau kenyataan politik Anwar dan pemimpin parti lain.

Beliau turut menegaskan bahawa Perjanjian Gabungan bukan sekadar berkaitan kerjasama politik dan perkongsian kuasa, sebaliknya turut merangkumi komitmen mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam, orang Melayu dan Bumiputera serta institusi Raja-Raja Melayu.

"Perenggan C dalam Mukadimah Perjanjian merupakan bahagian paling penting dalam perjanjian tersebut turut menegaskan komitmen pihak yang menandatangani untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, termasuk kedudukan Islam, orang Melayu dan Bumiputera dari sudut perlembagaan serta institusi Raja-Raja Melayu," katanya.

Isu pertembungan kenyataan antara Gobind yang juga Menteri Digital dan Ahmad Zahid tercetus berikutan cadangan supaya Parlimen dibubarkan selepas peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.

Ahli Parlimen Damansara itu mencabar Ahmad Zahid Hamidi dan menteri daripada UMNO serta BN untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet jika mereka tidak lagi yakin atau bersetuju dengan kepimpinan Anwar.

Ahmad Zahid menolak desakan tersebut dan menegaskan tiada sebab untuk menteri BN meletakkan jawatan kerana sokongan terhadap Anwar di peringkat Persekutuan tidak pernah berbelah bagi.

Beliau sebaliknya menyarankan agar pemimpin DAP yang tidak sependapat supaya mengikuti langkah peletakan jawatan Anthony dan menyifatkan tindakan mendesak itu seperti gila talak.

Berhubung isu pengampunan Najib, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang- undang dan Reformasi Institusi) berkata, kuasa pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan merupakan kuasa perlembagaan yang terletak pada pihak berkuasa berkaitan dan tertakluk kepada prosedur serta aturan institusi ditetapkan.

Sehubungan itu, katanya, pelaksanaan kuasa berkenaan tidak wajar digambarkan sebagai keputusan politik unilateral yang boleh dikaitkan dengan mana-mana parti, termasuk UMNO.

Dalam pada itu, Azalina turut mempersoalkan keputusan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September 2026 yang memutuskan supaya Setiausaha Agungnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan perkembangan pengampunan bersyarat itu.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat secara unilateral tanpa rundingan terlebih dahulu, sekali gus menyumbang kepada ketidakstabilan politik dalam kalangan rakan gabungan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO akan terus menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai keputusan politik bersama demi kepentingan rakyat dan tanggungjawab kepada negara.

"UMNO akan terus menghormati komitmen yang telah dibuat, menghormati kepimpinan Perdana Menteri serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan," katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved