JOHOR BAHRU - Tindakan UMNO menerima semula 6,252 bekas pemimpin dan ahli UMNO bawah gagasan 'Rumah Bangsa' bukan kerana terdesak atau lemah.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, parti mahu memberi peluang kepada mereka selain memperkukuh kedudukan UMNO.
"Keputusan sebulat suara MKT UMNO itu tidak menunjukkan parti lemah atau terdesak apabila menerima semula pemimpin dan ahli yang mengkritik parti sebelum ini.
"Taklah (UMNO nampak lemah). Tujuannya adalah untuk menyatukan umah di bawah gagasan 'Rumah Bangsa' yang dicetuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
"Ini bertujuan untuk menguatkan lagi kedudukan bangsa Melayu di bawah payung UMNO. Sebab UMNO ini adalah sebuah parti yang dianggotai oleh ramai individu dan tak ada satu individu yang lebih daripada individu yang lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Pickleball Amal di 91 Pickleball Clubhouse, Skudai, di sini, pada Sabtu.
Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai, bekas pimpinan dan ahli UMNO di pelbagai peringkat yang diterima semula itu perlu menunjukkan keikhlasan mereka.
"Jadi, mereka yang nak masuk balik, mereka kena jujur, sebabnya kita tak tahu keikhlasan mereka.
"Sebab itu, kita tak senaraikan syarat, saya tak tahu kenapa soal syarat itu timbul," katanya.
Sebelum itu, pada malam Jumaat, mesyuarat MKT UMNO membuat keputusan menerima 6,252 bekas pemimpin dan ahli UMNO menyertai parti itu di bawah gagasan Rumah Bangsa.
Antara yang diterima semula Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin, Tan Sri Syed Hamid Albar dan bekas pimpinan serta ahli di pelbagai peringkat bawah gagasan Rumah Bangsa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui kenyataan media berkata, langkah itu merupakan sebahagian sokongan terhadap gagasan 'Rumah Bangsa' terhadap yang mana-mana ahli yang pernah digantung, dipecat atau keluar parti sebelum ini.
Dalam pada itu Nur Jazlan yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menambah, rakyat kini sudah bertambah yakin terhadap perjuangan UMNO malah yang parti itu boleh kembali gah seperti sebelum ini.
"Sekarang ini, saya menganggap bahawa UMNO semakin diyakini setelah memberi tumpuan kepada semua rakyat dan mereka juga percaya bahawa UMNO boleh kembali.
"Soalnya, dalam memilih pemimpin di negara kita ini, siapa pemimpin yang rakyat mahu itu, tak semestinya pemimpin yang UMNO mahukan," ujarnya.






