
PEKAN: Siasatan lanjut akan dijalankan berhubung penahanan 30 orang rakyat Malaysia oleh pihak berkuasa Indonesia di Pontianak, Kalimantan Barat.
Siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu bagi menentukan sama ada mereka terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian secara bersindiket.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan itu penting bagi mengenal pasti sama ada 30 individu berkenaan hanya melakukan kegiatan berkenaan secara bersendirian atau mempunyai kaitan dengan rangkaian jenayah terancang.
Katanya, pihak berkuasa Indonesia lazimnya akan menghubungi PDRM untuk memberi ruang kepada pasukan penyiasat Malaysia mendapatkan akses dan menjalankan siasatan daripada sudut perundangan negara ini.
“Tujuannya untuk kita establish (mengesahkan) kedudukan sama ada mereka ini merupakan satu sindiket, satu gerakan yang bersindiket ataupun disebut organised crime (jenayah terancang),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Peluncuran Program Kampung dan Sekolah Angkat Madani Jabatan Imigresen Malaysia di Nenasi di sini hari ini.
Menurut Saifuddin, kerjasama antara pasukan polis Malaysia dan Indonesia membolehkan maklumat yang diperoleh hasil siasatan di negara berkenaan digunakan bagi menentukan tindakan susulan di Malaysia.
Katanya, pendekatan sama pernah dilakukan dalam kes membabitkan seorang juruterbang rakyat Malaysia berusia 39 tahun yang ditahan di Indonesia beberapa minggu lalu.
“Contohnya dalam kes pilot kita yang ditahan beberapa minggu lepas, mereka (Indonesia) maklum pada kita, kita turun pergi siasat. Prosesnya sama, sama ada dia maklum ataupun kita minta untuk diberi akses.
“Kita siasat, dapat maklumat, kita tangkap enam orang lagi. Itu bukan di Indonesia, kita tangkap di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan dalam kes 30 rakyat Malaysia yang ditahan di Pontianak itu juga akan menentukan sama ada tindakan susulan perlu diambil oleh PDRM di negara ini.
“Saya akan semak dengan Jabatan Siasatan Jenayah ataupun bahagian Jabatan Jenayah Komersial sama ada tindakan susulan telah diambil,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, siasatan Malaysia tidak terhenti hanya kerana individu berkenaan ditahan di Indonesia, sebaliknya PDRM akan meneliti kemungkinan wujud kesalahan lain di bawah undang-undang negara ini.
Katanya, aspek berkaitan undang-undang imigresen juga boleh diteliti sekiranya terdapat elemen kesalahan membabitkan akta berkenaan.
Semalam, media melaporkan 30 orang rakyat Malaysia terdiri daripada 22 orang lelaki dan lapan wanita serta seorang lelaki warga Taiwan ditahan pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki terbabit aktiviti penipuan dalam talian di Pontianak. – UTUSAN
The post PDRM siasat 30 rakyat Malaysia ditahan di Pontianak appeared first on Utusan Malaysia.






