
KUALA LUMPUR: Perlembagaan UMNO perlu dipinda bagi menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita diketengahkan dalam setiap Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Bendahari Wanita UMNO Kedah, Suraiya Md. Isa berkata, penyertaan wanita dalam politik tidak seharusnya hanya menjadi sasaran atau aspirasi, sebaliknya perlu diberikan jaminan melalui perundangan.
Katanya, calon wanita juga perlu diberikan kawasan yang mempunyai peluang untuk menang dan pemilihan hendaklah dibuat berdasarkan merit, kemampuan, integriti serta rekod perkhidmatan.
“Tuntutan kita hari ini jelas, calon wanita mesti diberikan kawasan yang mempunyai peluang untuk menang, pemilihan calon wanita hendaklah dibuat berdasarkan merit, kemampuan, integriti dan rekod perkhidmatan.
“Parti perlu menyediakan latihan, dana dan sokongan jentera yang setara kerana kita hendak bina sebuah UMNO yang mencerminkan masyarakat negara ini,” katanya katanya ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita UMNO pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO, di sini hari ini.
Beliau berkata, beberapa negara lain sudah menetapkan nisbah penyertaan wanita dalam politik yang menunjukkan sasaran 30 peratus itu mampu dilaksanakan.
“Di Indonesia, mereka menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon adalah wanita. Di Brazil pula menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus dan maksimum 50 hingga 70 peratus bagi kedua-dua jantina.
“Jika negara lain berani membuka ruang kepada wanita, kenapa Malaysia masih terlalu berhati-hati?” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO Keningau, Siti Noor Zati Kamelah Sairin berkata, pihaknya mahu sasaran 30 peratus penglibatan wanita diterjemahkan dengan memberi ruang kepada mereka yang mempunyai pengalaman, kemampuan dan rekod.
Beliau berkata, sudah sampai masanya parti melihat peranan wanita dalam perspektif lebih luas kerana pergerakan itu bukan sekadar tonggak, malah tunjang kepada UMNO.
Menurutnya, wanita sentiasa berada di barisan hadapan ketika parti berdepan kesukaran, termasuk menjadi antara jentera terawal turun bekerja dan terakhir meninggalkan medan ketika pilihan raya.
“Kita tidak meminta ruang semata-mata kerana kita wanita. Kita meminta ruang kepada wanita yang mempunyai pengalaman, kemampuan dan rekod perjuangan yang sudah terbukti.
“Wanita ini asyik-asyik diberi pujian tetapi kali ini, mohon sangat-sangat terjemahkan dengan kuota Wanita 30 peratus seperti yang Datuk Seri Presiden katakan semalam,” katanya. – UTUSAN
The post Perlembagaan UMNO perlu jamin 30 peratus calon wanita appeared first on Utusan Malaysia.






