UMNO lancar kutipan tabung sumbangan, bantu Najib lunas denda RM50 juta - Ahmad Zahid

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 2:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO lancar kutipan tabung sumbangan, bantu Najib lunas denda RM50 juta - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid

SHAH ALAM - UMNO mengambil inisiatif melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu meringankan beban bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam melunaskan denda berjumlah RM50 juta yang dikenakan untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, oleh itu parti berharap seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong serta mereka yang ingin bersama-sama memberikan sokongan agar menyumbang secara sukarela.

Menurutnya, inisiatif itu akan dilaksanakan secara telus, teratur dan mematuhi segala peraturan serta undang-undang yang berkuat kuasa.

"UMNO menyambut dengan penuh kesyukuran keputusan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.

"Perkembangan ini amat bermakna buat beliau dan keluarga, serta seluruh keluarga UMNO yang selama ini tidak putus menaruh harapan dan menitipkan doa.

"Penghormatan kepada institusi raja, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan terus menjadi pegangan kita," ujarnya menerusi hantaran Facebook pada Jumaat.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.

Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan.

Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid, pendirian UMNO sejak awal adalah untuk membawa permohonan ini dengan penuh tertib dan rendah hati, melalui saluran yang ditetapkan.

Jelasnya, beliau bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO merafak sembah menjunjung kasih ke hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

"UMNO menjunjung tinggi kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku serta menzahirkan setulus-tulus penghargaan atas limpah ihsan baginda.

"Segala kerendahan hati, UMNO menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas perkembangan ini. Limpah ihsan Tuanku membawa kelegaan yang amat besar buat Najib dan keluarga serta akan sentiasa dikenang dengan penuh penghargaan oleh seluruh keluarga UMNO.

"Saya menyeru seluruh ahli UMNO agar menyambut perkembangan ini dengan rasa syukur, menjaga adab dalam setiap ungkapan dan menghormati segala proses yang ditetapkan," ujarnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved