
KUALA LUMPUR – UMNO dilihat lebih cenderung memberi fokus kepada rundingan dengan Pas berbanding Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kecenderungan itu dapat dilihat menerusi perbahasan dan pandangan yang disuarakan perwakilan sepanjang Perhimpunan Agung UMNO 2026.
Bagaimanapun kata beliau, keputusan mengenai bentuk rundingan dan pihak yang terlibat akan ditentukan kepimpinan parti.
“Kalau kita lihat daripada perbahasan-perbahasan dan perwakilan, wujud kecenderungan untuk kita memfokuskan kepada perundingan dengan pimpinan Pas berbanding melihat dalam konteks Perikatan Nasional itu sendiri.
“Dalam konteks ini sudah tentu pimpinan akan mengambil kira pandangan-pandangan yang telah dilontarkan,” katanya pada sidang akhbar di Laman Media, di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata, jawatankuasa rundingan itu akan dibentuk oleh kepimpinan parti apabila tiba masanya.
Beliau berkata, UMNO sebelum ini turut mengadakan rundingan dengan Pas dan PN pada pilihan raya terdahulu.
“Buat masa ini terlalu awal untuk membuat kesimpulan mengenai bentuk kerjasama kerana rundingan secara rasmi belum bermula.Seperti yang disebut oleh Presiden, tunggulah apabila pembubaran berlaku, barulah perundingan akan dimulakan.
“Itu yang berlaku di Johor, itu juga berlaku di Negeri Sembilan. Bila pembubaran diisytiharkan, maka perundingan bermula,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post UMNO lebih ‘cenderung’ berunding dengan Pas, berbanding PN – Asyraf Wajdi appeared first on Kosmo Online.






