UMNO, Pas: Tiada yang mustahil dalam politik

LocalPolitics
20 Jul 2026 • 10:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: UMNO, Pas: Tiada yang mustahil dalam politik
Barisan Nasional (BN) dan Pas kini semakin jelas sedang mengorak langkah ke arah persefahaman baharu. Gambar hiasan Foto: Sinar Daily

SELESAINYA penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu menjawab banyak persoalan yang berlegar beberapa minggu lalu.

Apa yang sebelum ini sekadar menjadi cakap-cakap politik kini semakin jelas membentuk satu gambaran Barisan Nasional (BN) dan Pas sedang mengorak langkah ke arah persefahaman baharu.

Walaupun tiada kenyataan rasmi mengumumkan kerjasama antara kedua-dua parti, keputusan pembahagian kerusi membuka ruang kepada pelbagai tafsiran.

BN hanya meletakkan calon di 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala baki kerusi menyaksikan laluan diberikan kepada calon Pas, Gerakan dan Wawasan.

Sebenarnya, perkembangan ini bukan sesuatu yang mengejutkan. Ramai pemerhati berpendapat bibit kerjasama tersebut sudah mula kelihatan ketika PRN Johor apabila kedua-dua parti dilihat mempunyai ‘persefahaman’ tertentu di beberapa kawasan walaupun tanpa sebarang pengumuman rasmi.

Ironinya, hanya beberapa tahun lalu hubungan UMNO dan Pas dikatakan berakhir apabila Muafakat Nasional (MN) dibentuk selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 gagal dipertahankan susulan keputusan Pas memilih bersama Perikatan Nasional (PN).

Namun, jika benar persefahaman ini menjadi permulaan kepada kerjasama yang lebih besar, kedua-dua pihak pastinya bergerak dengan penuh berhati-hati.

Episod perpecahan sebelum ini masih segar dalam ingatan. Kepercayaan yang pernah retak tidak mudah dipulihkan dalam sekelip mata, justeru setiap langkah selepas ini pasti diatur dengan lebih cermat.

Apa yang berlaku di Negeri Sembilan sekali lagi membuktikan hakikat dalam politik, tiada yang mustahil. Hari ini bertembung di pentas ceramah, esok boleh duduk semeja merangka strategi. Selagi matlamat politik bertemu pada titik yang sama, sejarah membuktikan tiada pintu yang benar-benar tertutup.

Mungkin inilah ironi politik Malaysia yang sukar dinafikan. Pengundi sering diminta memilih berdasarkan garis pemisah antara kawan dan lawan, sedangkan garis itu sendiri boleh berubah mengikut percaturan semasa.

Musuh politik boleh menjadi sekutu, manakala sekutu pula boleh membawa haluan masing-masing apabila kepentingan tidak lagi seiring.

Akhirnya, politik bukan sekadar soal prinsip dan idealisme, tetapi juga seni mengurus kemungkinan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved