UMNO perlu jelaskan sama ada tahu tindakan Ismail Lasim – Mujahid

LocalPolitics
17 Oct 2026 • 5:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: UMNO perlu jelaskan sama ada tahu tindakan Ismail Lasim – Mujahid

PETALING JAYA: UMNO perlu menjelaskan sama ada parti itu mengetahui atau merestui surat yang didakwa diutus Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara itu bukan isu kecil yang boleh didiamkan parti berkenaan khususnya selepas rakaman video memaparkan titah kemurkaan Tuanku Muhriz terhadap Ismail tular di media sosial.

Menurutnya, kandungan penuh surat berkenaan perlu didedahkan bagi membolehkan rakyat mengetahui perkara sebenar di sebalik dakwaan bahawa Ismail memaklumkan keputusan yang dibuat bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) adalah sah dan Tuanku Muhriz bukan lagi Yang Dipertuan Besar.

“UMNO tidak boleh sekadar menunggu dan berdiam diri. Parti itu perlu menjelaskan sama ada mengetahui atau merestui tindakan berkenaan.

“Ismail mesti segera mendedahkan dan menarik balik surat tersebut sekiranya benar kandungannya seperti yang dititahkan oleh Tuanku Muhriz,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mujahid berkata, tindakan yang didakwa mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz juga serius memandangkan Jabatan Peguam Negara dilaporkan menegaskan Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa untuk menurunkan atau mengisytiharkan kekosongan jawatan Yang Dipertuan Besar.

Katanya, Setiausaha Kerajaan Negeri juga dilaporkan enggan mewartakan proklamasi berkenaan kerana dianggap tidak sah dan tidak berperlembagaan.

Sehubungan itu, Mujahid mempersoalkan pendirian UMNO sama ada parti berkenaan menyokong tindakan Exco yang pernah mengiktiraf proklamasi tersebut serta sebab Ismail didakwa mengubah pendirian terhadap Tuanku Muhriz.

Beliau turut mempersoalkan sikap pimpinan Umno yang didakwanya lantang mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu apabila membabitkan pihak lain tetapi berdiam diri apabila pemimpin parti itu sendiri dikaitkan dengan isu berkenaan.

“Menteri Besar juga wajib memohon ampun kepada baginda serta meminta maaf kepada rakyat Negeri Sembilan dan seluruh rakyat Malaysia kerana sikap biadabnya terhadap institusi Raja Melayu,” katanya.

Mujahid turut menggesa UMNO mengambil tindakan disiplin tegas terhadap Ismail sekiranya dakwaan berkenaan terbukti.

Katanya, jika Menteri Besar gagal memberikan penjelasan yang meyakinkan dan memulihkan hubungan dengan istana, Ismail wajar meletakkan jawatan.

Sementara itu, PKR Negeri Sembilan turut menggesa Ismail memberikan penjelasan berhubung surat yang didakwa diutuskan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja itu.

Pengarah Komunikasi PKR negeri, Shariman Che Deris berkata, dakwaan yang dibangkitkan Tuanku Muhriz ketika menegur Ismail secara terbuka semalam memerlukan penjelasan sewajarnya daripada Menteri Besar.

“Dalam hal ini, Menteri Besar perlu memberikan penjelasan yang sewajarnya berkaitan perkara yang ditimbulkan oleh Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Tuanku Muhriz dalam rakaman video selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Beting, Kuala Pilah, dilihat menegur Ismail berhubung surat berkenaan.

Dalam rakaman yang tular itu, baginda mendakwa Ismail menulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dengan menyatakan keputusan yang dibuat bersama Exco adalah sah dan baginda bukan lagi Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Tuanku Muhriz kemudian mempersoalkan tujuan Ismail berhasrat menemui baginda.- UTUSAN

The post UMNO perlu jelaskan sama ada tahu tindakan Ismail Lasim – Mujahid appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved